Tahun 2024 melabuhkan tirai dengan pelbagai pencapaian penting yang dicapai oleh pentadbiran Kerajaan Madani di Pulau Pinang, sekaligus membuktikan negeri ini sedang bergerak ke arah kemajuan yang lebih cemerlang.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata bahawa pencapaian tersebut telah mencerminkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial yang memberangsangkan bagi negeri tersebut.
Sepanjang 2024, Pulau Pinang berjaya menarik pelaburan sebanyak RM31.38 bilion dan dijangka mewujudkan lebih 6,600 peluang pekerjaan, terutamanya dalam sektor pembuatan bernilai tinggi, perkhidmatan termaju serta pertanian moden.
Tambahnya, Pulau Pinang turut mencatatkan kadar pematuhan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketiga tertinggi di Malaysia sebanyak 99.15 peratus, di samping muncul sebagai hab pelancongan perubatan terkemuka di Asia Tenggara.
“Malah pada Disember 2024, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah menandatangani perjanjian bersama dengan SkyWorld Development Berhad untuk membangunkan 37,300 unit rumah mampu milik di bawah inisiatif ‘Bakat Baru Madani’ yang mana projek ini merupakan salah satu pencapaian terbesar dalam sejarah pembangunan perumahan mampu milik dalam negara.
“Namun, kejayaan demi kejayaan ini hanyalah permulaan dan menjadi harapan saya untu melihat Pulau Pinang terus menjadi pusat kecemerlangan ekonomi dan teknologi dengan memperkukuh kedudukan sebagai hab pelaburan berteknologi tinggi serta destinasi pilihan pelabur global.
“Di samping itu, saya juga mahu melihat Pulau Pinang dinobatkan sebagai sebuah negeri hijau, sihat dan selamat untuk membina keluarga dengan komuniti yang berilmu serta mampan,” jelasnya dalam ucapan pada majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Pulau Pinang tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Sri Pinang, Geogetown.