PENDEKATAN AKMAL BOLEH MEMBENIHKAN EKSTRIMISME

sheikh umar bagharib ali twitter 261019

1. Saya bimbang, pendekatan Akmal dalam mendepani isu ‘stokin kalimah Allah’ mutakhir ini hanyalah akan menggalakkan Islam ekstrim.

2. Saya tiada masalah dengan niat beliau yang ‘mahu mempertahankan Islam dari dihina’. Bahkan saya percaya, masyarakat Islam umumnya berkongsi rasa yang sama. Namun bagi saya, cara serta pendekatan beliau yang kadangkala bernuansa provokatif adalah tidak bertanggungjawab serta berlebihan.

3. Ini bahaya. Atas nama ‘mempertahan kesucian agama’, tanpa disedari pendekatan beliau boleh membenihkan ekstrimisme. Ini bukan apa yang diajarkan oleh Islam. Islam menitik beratkan seruan yang berhikmah, nasihat tauladan yang baik serta perbahasan yang bernas sepertimana ayat 125 surah An-Nahl.

4. Namun pada hemat saya, Akmal membawa pendekatan sebaliknya. Pendekatan yang boleh mendorong masyarakat Islam di negara ini bertindak ganas atas nama agama.

5. Kita telah dikejutkan dengan 2 serangan bom di KK Mart. Bagi saya Akmal mungkin tidak sedar bahawa setiap tindakan, kenyataan dan seruan berlebihan yang beliau keluarkan dalam isu ini nampaknya boleh memangkin lebih banyak tindakan-tindakan ganas luar jangka antara rakyat berbilang agama meskipun beliau tidak menginginkannya.

6. Saya harap Akmal ambil pengajaran daripada peristiwa Amanat Haji Hadi 1981. Ketika itu, PAS mendakwa UMNO mengekalkan perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliyah. PAS menggunakan hujah ‘mempertahankan Islam’ yang sebenar.

7. Namun tanpa disedari implikasinya, masyarakat terpecah belah. Suami isteri bercerai berai, solat jemaah dilaksanakan 2 imam berasingan, setengah muslim tidak makan sembelihan muslim yang lain, dan sebagainya. Akmal perlu belajar agar lebih berjati-hati, mengutamakan jalan damai dan tidak mengambil peluang menunggang sentimen keagamaan secara semberono.

8. Bagi saya, tiada keperluan apa juga lagi kenyataan dikeluarkan Akmal khususnya selepas titah YDP Agong serta tindakan undang-undang diambil berhubung isu ini. Itu pun jika Akmal benar-benar ikhlas dan tidak mahu keadaan bertambah tegang bahkan menjadi lebih buruk dari apa yang sudah pun terjadi sekarang ini.

 

SHEIKH UMAR BAGHARIB BIN ALI

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP
Naib Pengerusi DAP Johor

Recommended Posts