Kerajaan Pakatan Harapan perlu dengan segera menyatakan semula prinsip-prinsip asas dalam Perlembagaan Merdeka 1967, Perlembagaan Malaysia 1963 dan Rukun Negara sebagai dasar pembinaan Malaysia Baharu.
Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, penegasan semula itu dapat membendung penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian yang cuba memecah-belahkan masyarakat pelbagai kaum negara ini.
“Setiap etnik harus keluar daripada perasaan takut dan kebencian yang dibangkitkan daripada keyakinan palsu bahawa kononnya mereka berdepan dengan ancaman eksistensial.
“Kerana jika setiap masyarakat, etnik dan budaya berdepan dengan ancaman eksitensial, siapa yang sebenarnya menciptakan kesemua ancaman ini terhadap setiap masyarakat, etnik dan budaya di negara ini?” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rukun Negara yang diwujudkan pada 1970 bertujuan mencapai satu pegangan atau pengertian terhadap aspirasi nasional antara pelbagai kaum di Malaysia tanpa mengira asal usul dan keturunan masing-masing.
Konsep dalam ideologi ini adalah untuk memupuk semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Lima matlamat Rukun Negara ialah; Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya; Memelihara cara hidup demokratik; Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama; Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai corak serta Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
Mengulas lanjut, kata Kit Siang, penggunaan berita palsu dan ucapan kebencian dalam menyebarkan politik toksik kaum dan agama bukan perkara baru di negara ini, namun semakin meningkat sejak dua bulan lalu sehingga memusnahkan keharmonian dan perpaduan nasional.
Kata pemimpin veteran DAP itu, penyebaran berita palsu juga semakin memuncak beberapa bulan sebelum Najib Razak hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
“Contohnya, apabila Najib tuduh kononnya ceramah Pakatan Harapan tidak dapat sambut orang Melayu, kononnya beribu-ribu yang hadir untuk mendengar ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad di Langkawi, Gombak, Jerlun, Batu Katil, Putrajaya, Lembah Pantai, Pandan, Kuantan and Wangsa Maju adalah penyokong DAP yang dibawa dengan bas oleh DAP, sedangkan unit Cawangan Khas sendiri tahu bahawa dalam sejarah 52 tahun DAP, kami tidak pernah mengangkut penyokong DAP berbas-bas ke acara anjuran DAP atau Pakatan,” ujarnya. – Roketkini.com