
Pengumuman oleh Menteri Pengangkutan, Sdr Anthony Loke untuk mengembalikan semula pengecualian di bawah dasar kabotaj Malaysia, khusus untuk kapal-kapal yang digunakan bagi memasang dan menyelenggara kabel dasar laut, yang merupakan tulang belakang kepada infrastruktur internet dunia, merupakan detik pembaharuan penting yang bakal menarik pelaburan digital bersaiz mega untuk masuk ke Malaysia.
Langkah yang diambil oleh Loke, berkuat kuasa 1 Jun ini, adalah selepas ianya dimansuhkan oleh Menteri Pengangkutan PN sebelum ini iaitu Wee Ka Siong pada tahun 2020. Pengecualian dasar kabotaj di bawah Seksyen 65U Ordinan Perkapalan Saudagar ini bakal terpakai kepada semua kapal pemasangan kabel yang terlibat dalam kerja-kerja pemasangan, penyelenggaraan dan baik pulih kabel telekomunikasi dasar laut yang terletak di mana-mana pusat pendaratan kabel dasar laut dalam perairan Malaysia.
Pembatalan yang dibuat oleh Wee sebelum ini telah menarik perhatian umum, dek kerana membatalkan keputusan awal Loke yang memberikan pengecualian itu, satu keputusan yang dilihat telah merencatkan kemasukan pelaburan digital yang bernilai berbilion ringgit. Pengembalian semula pengecualian ini oleh Anthony Loke, seperti yang telah dijangka umum; akan membantu untuk mendapatkan dan menarik semula pelaburan digital.
Ini terbukti dengan pelaburan digital berbilion-bilion dolar Amerika Syarikat daripada gergasi internet dan digital, yang terbaru ialah pelaburan bernilai AS$2 bilion (RM9.4 bilion) oleh Google di Selangor untuk membangunkan pusat data pertama dan storan awan. Ini merupakan komitmen pelaburan terbesar Google di negara Asia Tenggara, menurut Ketua Pegawai Kewangan Alphabet Inc. Ruth Porat.
Rangka kerja pengawalseliaan progresif oleh Anthony Loke ini pastinya akan menggalakkan lebih banyak pelaburan di dalam sektor teknologi dan mempercepatkan lagi pembangunan infrastruktur digital di Malaysia.
LIM GUAN ENG



