
Pulau Pinang sering dikaitkan dengan isu tiada azan berkumandang, jika parti tertentu mahu menyerang DAP. Sedangkan, di negeri itu, azan setiap waktu berkumandang seperti biasa di semua masjid dan surau hinggakan azan subuh pun dikumandangkan dua kali bagi mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW.
Apabila sudah terlalu benci dan dengki, maka politik murahan dijadikan modal. Jika dilihat, tiada sikit pun serangan mengenai prestasi ekonomi kerajaan negeri tersebut kerana terbukti ia semakin maju dan berkembang di bawah pemerintahan DAP. Dalam menjaga hal ehwal agama pun tiada isu boleh dibangkitkan, malah semakin subur dengan inisiatif-inisiatif oleh kerajaan negeri.
Baru-baru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP, Chow Kon Yeow sekali lagi membuktikan bahawa syiar Islam di negeri itu terus dipelihara apabila peranan para guru takmir yang merupakan penyumbang terpenting dalam pembangunan pendidikan peringkat akar umbi masyarakat Islam di Pulau Pinang dihargai.
Dalam satu majlis berbuka puasa yang penuh bermakna di perkarangan luar Masjid Jamek Al-Muhsi Simpang Tiga Tasek Gelugor, beliau mengumumkan sagu hati RM1,200 seorang untuk para guru takmir di sana. Bukan itu sahaja, hampir RM1 juta juga diperuntukkan untuk membiayai program keilmuan dan kursus upskilling untuk para guru takmir.
Strategi Chow kon Yeow dalam memperkasa guru takmir ini sangat bijak jika difikirkan. Ini kerana dengan pemerkasaan para guru takmir, maka pendidikan anak-anak beragama Islam di negeri tersebut akan semakin berkualiti. Sekaligus, melahirkan generasi yang akan menjadi ejen penamat pada sebarang usaha menyemarakkan isu politik berkaitan kaum dan agama suatu hari nanti.
Menariknya, dalam majlis sama, Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Muhsi Simpang Tiga Tasek Gelugor, Mohd. Jais Khalid menyatakan penghargaan yang tinggi kepada pentadbiran Chow Kon Yeow dari DAP atas kesungguhannya memakmurkan ekonomi negeri serta menyemarak semangat muhibah dalam kalangan rakyat negeri yang berbilang kaum dan agama.
“Kami amat menghargai usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Pemimpin seperti Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow inilah yang kita perlukan untuk terus membawa Pulau Pinang ke arah kemajuan,” katanya dalam ucapan penuh bersemangat.
Dalam majlis sama, Chow Kon Yeow tidak melupakan ‘duit raya’ untuk 50 anak yatim terpilih serta sagu hati kepada hampir 100 guru KAFA.
Ini bukti bahawa syariat Islam sentiasa terpelihara di bawah pemimpin yang baik dan berintegriti walaupun dari DAP.