Pengumuman Kabinet baharu kecewakan banyak pihak

Oleh B. Suffian

Pengumuman barisan Kabinet baharu yang dilihat hampir sama seperti kerajaan gagal sebelum ini telah mengecewakan banyak pihak. 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, sebaliknya mereka mengharapkan beberapa muka baharu untuk mencari jalan penyelesaian baharu terhadap pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi sekarang. 

“Kembalinya Kabinet yang dikitar semula daripada Kerajaan PN yang gagal sebelum ini akan memberi keraguan terhadap komitmen Perdana Menteri baharu untuk bukan hanya memenangi pertempuran melawan Covid-19 dan krisis ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan. 

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, pengumuman tersebut juga akan meningkatkan penelitian terhadap sama ada Ismail benar-benar ikhlas mahu melakukan reformasi institusi yang nyata untuk melindungi hak demokratik dan perlembagaan. 

Beliau menambah, perkara itu seperti yang dinyatakan semasa pertemuan bersama tiga pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) dua hari lalu.

“Semua orang tahu masalah yang telah berlaku dengan lonjakan semasa Covid-19 yang mencatat 24,599 kes dan 393 kematian pada 26 Ogos dengan jumlah kumulatif 1,640,843 kes dan 15,211 kematian, walaupun terdapat sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Proklamasi Darurat,” katanya. 

Guan Eng menegaskan, kerajaan sekarang perlu menghentikan kegagalan sebelum ini dari segi amalan dua darjat dalam penguatkuasaan, dasar yang berubah-ubah dan pusingan U dalam prosedur operasi standard (SOP). 

Selain itu tambahnya, kerajaan perlu menyelesaikan kelewatan pelaksanaan vaksinasi, melaksanakan program ujian yang menyeluruh dan saringan massa.

“Adalah penting bagi kita untuk tidak melupakan pengajaran lalu agar tidak mengulangi kegagalan Perdana Menteri sebelum ini. 

“Kabinet kitar semula ini menimbulkan keraguan sama ada terdapat penyelesaian baru untuk krisis pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi sekarang serta ruang yang cukup bagi reformasi institusi yang progresif,” katanya. – Roketkini.com

Recommended Posts