
Jika ada satu perkara yang membuka mata ramai tentang nasib peniaga kecil semasa era Perikatan Nasional (PN), ia adalah bagaimana segelintir mereka diperlakukan dengan keras tanpa belas kasihan. Kisah Wan Mohd Faisal Wan Kadir, seorang peniaga burger di Kampung Rambutan Rendang, adalah antara contoh paling jelas. Ketika itu, beliau dikenakan kompaun RM50,000 hanya kerana berniaga melebihi waktu yang ditetapkan.
Namun, suasana ini berubah dengan kehadiran pentadbiran Madani di bawah kepimpinan Menteri Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming. Di bawah kepimpinannya, KPKT melancarkan inisiatif MyKiosk, sebuah program yang dirangka khusus untuk memperkasakan ekonomi peniaga kecil. Inisiatif ini bukan sekadar retorik, tetapi satu langkah yang nyata memberikan impak positif kepada peniaga kecil di seluruh negara.
MyKiosk 1.0 yang diperkenalkan pada Ogos 2022 selepas sesi libat urus dengan peniaga kecil, menunjukkan sambutan yang amat baik. Dengan kadar pengisian sebanyak 84.35%, jelas bahawa inisiatif ini tepat pada masanya. MyKiosk 2.0, versi terkini yang diperkenalkan beberapa bulan lalu, terus mendapat sambutan memberangsangkan dengan kadar pengisian 61.5% – tanda bahawa keperluan peniaga kecil diambil serius.
Dalam satu program turun padang melawat peniaga kiosk, Nga Kor Ming pernah bertanya mengenai keuntungan yang dijana salah seorang peniaga ayam goreng. Kata peniaga itu:
“Jual 3,000-5,000 ketul. 1 ketul harga RM4.50.”
Nga Kor Ming mengira sendiri, katanya:
“RM4.50 x 4,000 ketul. Oh RM20,000. Wow! Hebat sungguh ni.”
Ini adalah gambaran jelas bagaimana inisiatif MyKiosk membuka peluang kepada peniaga kecil untuk meraih pendapatan yang lebih besar dengan modal yang jauh lebih rendah. Dengan kos RM25,000 seunit, MyKiosk 2.0 menawarkan kemudahan seperti tenaga solar berkapasiti tinggi, sistem elektrikal moden termasuk lampu LED, serta reka bentuk yang lebih mesra pengguna. Tambahan pula, kadar sewa bulanan yang tidak melebihi RM300 serta pengecualian bayaran untuk enam bulan pertama menjadikannya pilihan yang jauh lebih berpatutan berbanding kos operasi premis kekal.
Peniaga kecil di seluruh negara juga menyuarakan sokongan mereka terhadap program ini. Di Pantai Batu Burok, Terengganu, seorang peniaga wanita berkata, “Di kiosk ni, harga sewa alhamdulillah, sangat membantu.” Seorang lagi peniaga lelaki muda menambah, “Pengunjung dengan kawasan ni, orang pun ramai datang. Membantu jugalah menaikkan ekonomi macam peniaga kecil macam kami.”
Inilah bezanya pendekatan kerajaan Madani – daripada menekan peniaga kecil dengan denda yang membebankan kepada menyokong mereka dengan inisiatif yang nyata memberikan manfaat. Dengan lebih 446 kontraktor terlibat dalam projek ini, MyKiosk bukan sahaja menyokong peniaga kecil, tetapi turut mengukuhkan ekosistem ekonomi tempatan secara keseluruhan.
Mungkin sudah tiba masanya untuk kita bertanya – adakah ini bukan bukti jelas bahawa kerajaan Madani lebih memahami dan mengambil berat tentang nasib rakyat berbanding mereka yang pernah memerintah sebelumnya?