
Susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mencadangkan cukai tarif setinggi 24% ke atas barangan eksport dari Malaysia, negara kita kini berhadapan dengan cabaran ekonomi yang serius, khususnya sebagai sebuah ekonomi yang bergantung besar kepada perdagangan luar. Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh sokongan terhadap Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), termasuk menangguhkan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), mengekalkan subsidi RON95, membekukan kenaikan tarif elektrik industri, serta memperluaskan pembiayaan dan bantuan kepada PKS berorientasikan eksport.
Sektor eksport utama negara seperti elektrik dan elektronik, minyak sawit serta produk perkilangan dijangka terkesan daripada segi daya saing dan permintaan pasaran antarabangsa. Ketidaktentuan ini turut memberi tekanan kepada nilai ringgit, pelaburan asing dan pasaran pekerjaan dalam negara.
Walaupun terdapat penangguhan selama 90 hari terhadap pelaksanaan tarif baharu tersebut dan kadar tarif masih dikekalkan pada 10% buat masa ini, saya menyambut baik tindakan YB Menteri MITI, Tengku Zafrul yang telah mengetuai delegasi Malaysia ke Amerika Syarikat untuk memulakan rundingan dua hala. Saya juga menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini, yang memperincikan enam strategi kerajaan dalam menghadapi cabaran perdagangan daripada Amerika Syarikat. Ini merupakan langkah yang strategik dan wajar disokong oleh semua pihak.
Namun demikian, usaha ini tidak mendatangkan hasil yang berimpak tinggi sekiranya kerajaan tidak memberi perhatian khusus kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), yang merupakan tulang belakang ekonomi negara. Berdasarkan data SME Corp, 97.4% daripada syarikat di Malaysia terdiri daripada PKS. Mereka menyumbang sebanyak 48.2% kepada jumlah pekerjaan negara dan lebih 10.5% kepada nilai eksport negara. Justeru, sebarang peningkatan kos eksport akibat tarif luar negara akan memberi kesan langsung terhadap pendapatan PKS dan kelangsungan pekerjaan rakyat Malaysia.
Dalam konteks ini, saya menggesa agar kerajaan menangguhkan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) buat masa ini. Langkah ini penting agar beban tambahan tidak menimpa perusahaan yang sedang bergelut dengan cabaran pasaran global. Selain itu, kerajaan juga perlu mengelakkan daripada menaikkan kadar tarif elektrik industri dalam tempoh yang mencabar ini, serta mengekalkan subsidi RON95 bagi mengelakkan kesan rantaian terhadap kos logistik dan pengeluaran PKS.
Saya juga menyarankan agar kerajaan memperluaskan skim sokongan bersasar kepada pengusaha eksport PKS yang terjejas, selain daripada Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Dana Pembiayaan Mudah. Ini termasuk meningkatkan pemberian geran untuk membantu mereka menembusi pasaran luar negara seperti Asia Barat dan rantau BRICS serta memperkukuh daya saing eksport tempatan.
Pada masa sama, saya menyambut baik keputusan kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan e-Invois, yang dilihat sebagai langkah tepat bagi mengurangkan beban pematuhan dan kos peralihan sistem digital dalam kalangan PKS.
Kita tidak mahu rundingan tarif yang sedang berlangsung ini terbantut akibat tekanan kos dari dalam negara sendiri. Tindakan menambah beban ke atas perusahaan kecil hanya akan menggagalkan usaha rundingan antarabangsa dan menggugat pemulihan ekonomi secara keseluruhan.
Perang tarif memerlukan solidariti ekonomi nasional. Semua dasar fiskal dan struktur perlu diselaraskan dengan teliti demi menjaga daya saing dan survival perusahaan tempatan, terutamanya PKS yang menjadi nadi ekonomi rakyat.
Tan Hong Pin
Ahli Parlimen Bakri