Perbelanjaan Lencana RM8.4 Juta VS CCTV RM3 Juta – Kerajaan Perlu Utamakan Keperluan Sebenar Sekolah

Saya terpanggil untuk menyuarakan kebimbangan terhadap pengumuman perbelanjaan kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membabitkan RM8.4 juta untuk pembekalan lencana Jalur Gemilang dan RM3 juta untuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berasrama terpilih.

Sebagai seorang wakil rakyat, saya menghormati keperluan simbolik seperti lencana yang membentuk identiti pelajar. Namun, keutamaan sepatutnya diberikan kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan pelajar yang menjadi asas suasana pembelajaran kondusif.

Dalam keadaan negara berdepan isu keselamatan di sekolah seperti kes buli, pencerobohan luar, serta kebimbangan ibu bapa terhadap anak-anak mereka, pemasangan CCTV seharusnya diberikan keutamaan.

Banyak sekolah, termasuk di kawasan luar bandar, tidak mempunyai sistem keselamatan yang lengkap. Guru tidak mampu mengawasi setiap sudut sekolah sepanjang masa. CCTV boleh membantu:

1.⁠ ⁠Mengurangkan kes buli dan gengsterisme.
2.⁠ ⁠Mencegah pencerobohan luar.
3.⁠ ⁠Menyediakan bukti jika berlaku kejadian tidak diingini.

Sistem keselamatan yang berkesan bukan sahaja dapat menghalang kejadian tidak diingini, malah memberi keyakinan kepada ibu bapa dan guru.

Gesaan saya:
1.⁠ ⁠Kerajaan perlu menilai semula keutamaan peruntukan ini.
2.⁠ ⁠Telus dalam pemberian kontrak – rakyat berhak tahu siapa yang mendapat manfaat daripada projek lencana ini.
3.⁠ ⁠Pelan keselamatan sekolah yang menyeluruh – CCTV, pagar keselamatan, rondaan, serta kerjasama komuniti ibu bapa.

Saya akan terus mendesak supaya kerajaan menjelaskan isu ini secara terbuka di Parlimen, kerana anak-anak kita tidak boleh dijadikan mangsa keutamaan yang salah.

Mordi Bimol
Ahli Parlimen P.192 Mas Gading

Recommended Posts