2 JUN: Gender merupakan pendekatan kepada kesaksamaan sosial, politik dan ekonomi antara kedua-dua jantina, serta kepada sebuah gerakan yang dikendalikan berdasarkan keyakinan bahawa jantina tidak harus merupakan faktor penentu yang membentuk identiti sosial atau hak-hak sosiopolitik dan ekonomi seseorang.
Sesetengah feminis memperdebatkan bahawa sistem ciptaan masyarakat—paternalisme—memerlukan perempuan untuk mengikut norma-norma yang telah ditentukan. Ideologi lelaki sebagai pelindung ini hanya akan melanjutkan lagi masalah yang tidak bernama. Masing-masing, lelaki dan perempuan perlu hidup dalam ruang yang selayaknya, bukan yang ditentukan. Ruang ini yang akhirnya dilihat sama ada sebagai alat opresif atau alat pembebasan dalam mengaktualisasikan hak individu dalam bermasyarakat.
Ketidaksetaraan ini mengalami proses panjang yang telah berakar umbi dalam fikiran masyarakat. Menjadikan ia lebih sulit apabila ia dibancuh sekali dengan agama, budaya, kelas sosial dan sistem yang ada. Walau pun ia mengambil masa yang lama dalam merubah kebiasaan masyarakat, proses itu telah lama berlangsung dan akan berterusan.
Pada dekad 1960-an dan 1970-an, wujud fenomena teologi kebebasan di Amerika Latin dan Amerika Tengah. Di kalangan tokoh-tokoh dan pemikir agama Katolik di sana, lahirlah suatu wacana keagamaan yang menampilkan sifat kepeduliannya terhadap isu-isu keadilan sosial dan kemasyarakatan. Pemimpin-pemimpin gerakan teologi kebebasan ini mula mengunakan idea dan nilai agama Nasrani untuk menentang kezaliman dan ketidakadilan.
Gerakan teologi kebebasan ini bagaimana pun gagal mencapai kebebasan yang sempurna. Namun, kelebihan gerakan begini terserlah melalui demonstrasi jalanan, mogok dan lain-lain fenomena penentangan yang begitu hebat dan popular.
Dan seperti juga halnya dengan agama Islam dewasa ini, yang diwacanakan nilai manusiawinya seperti keadilan sosial, kesetaraan dan kebebasan oleh para pemikir lalu dituangkan ke dalam bentuk tulisan di mana buku-bukunya bertebaran sebagai pencetus kesedaran masyarakat. Pujian harus diberikan kepada mereka yang tidak alpa, yang menggalas upaya ini dalam membangun masyarakat daripada kesedaran semu terutamanya perempuan yang digelar Betty Friedan (1963) sebagai happy housewife heroine.
Ajaran Islam dan ajaran agama yang lain berpunca dari wawasan sosialnya – aturan yang menentang kesalahan, kemungkaran dan kemunafikan orde sedia ada. Menyentuh tentang agama Islam yang dikatakan syumul ini, ia justeru menjadi alat yang paling mudah digunakan pemerintah dalam mengawal majoriti rakyatnya di Malaysia. Agama menjadi sesuatu yang penting berikutan pengaruhnya terhadap perempuan Islam.
Tetapi Islam yang dipraktikkan oleh Muslim khususnya Muslim Melayu di Malaysia, meletakkan posisi perempuan di tempat kedua. Islam menjunjung tinggi nilai-nilai kesaksamaan dan keadilan gender, tetapi Islam yang ideal dan Islam yang dipraktikkan adalah dua perkara yang berbeza.
Islam yang dipraktikkan memang jelas meletakkan posisi perempuan di tempat kedua. Hal ini disebabkan pengaruh budaya patriaki setempat, yang mempengaruhi tafsiran terhadap kedudukan perempuan. Banyak alasan-alasan agama yang muncul untuk memperkukuhkan patriarki ketika wujud gerakan untuk membebaskan perempuan dari patriarki yang mengongkong. Namun ternyata budaya patriarki lebih kuat daripada nilai kesaksamaan dan keadilan gender yang diangkat oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Beberapa pemikir dan filosuf Barat menganggap agama hanyalah salah satu bentuk mitos dan ilusi, yang harus dikupas dan dilawan. Namun, agama yang dimaksudkan ini bukanlah bermakna agama yang dianuti setiap kita tetapi agama yang ditafsir pemerintah. Tidak mustahil jika tindakan menjatuhkan pemerintahan yang korup, kini dilabel sebagai “tidak mengenang budi”, rakyat juga akan dihukum berdosa jika “menentang jelmaan Tuhan atau khalifah di muka bumi”. “Islam” di sini tidak mengizinkan Faridah Hanum, Siti Zubaidah dan Salmah berada dalam masyarakat kerana perempuan dikatakan harus bersifat seperti perfect lady.
Terdapat keperluan akan interpretasi teks agama dan fekah yang demokratik dan sensitif gender sebagai sumber yang amat penting kepada perempuan. Menurut Norani Othman, “Who defines which interpretation becomes the one Truth to be obeyed by all others- is a political decision not a religious act”.
Ajaran–ajaran tradisional kemudian terserap ke dalam kesedaran umat Islam dan diambil sebagai ajaran Islam yang ‘benar’. Kemudian, ajaran tersebut dihegemonikan demi mereka yang mempunyai kepentingan politik. Islam tidak mengajarkan penindasan tetapi keadilan; meletakkan sesuatu pada tempatnya sebagai manusia yang punya prestasi dan ekuiti yang sama tanpa ada diskriminasi gender/ etnik/ agama atau apapun.
Yang dituntut adalah hubungan mu’awadhah. Nilai dan pengaruh agama ini jelas sebati dalam dinamik kuasa dan politik di negara ini, malah dari dulu lagi. Ketidakyakinan masyarakat terhadap keupayaan perempuan dalam kepimpinan politik menyebabkan kaum perempuan perlu membuktikan keupayaan mereka sebagai pemimpin. Perubahan pandangan masyarakat bergantung pada kesedaran dalam kalangan perempuan bahawa mereka mesti menjadi ejen perubahan dalam masyarakat. Nilai-nilai agama dan budaya yang lebih memihak kepada lelaki membentuk konstruksi masyarakat tentang siapa yang patut mendominasi ruang awam.
Perempuan sering sahaja menerima kesan yang paling besar daripada satu-satu kekuasaan – Jeanne D’ Arc dibunuh dan Philomela dipotong lidahnya. Kedua-dua tokoh ini bukanlah aktor pasif justeru ia harus ‘ditiadakan’. Mitos Philomela ini berupa simbol, bagaimana di bawah satu kekuasaan, perempuan dibisukan. Apabila tiada suara, ia seolah tidak ber‘ada’. Perempuan tidaklah pula pasif tetapi sebaliknya cuba membebaskan diri – penentu nasibnya sendiri. Pembunuhan anak lelaki itu sebagai simbol bahawa perlunya menghentikan ideologi maskulin. Namun, bukanlah dalam erti memusnahkan kewujudan jantina lelaki, tetapi sifat maskulin sebegitu.
Sifat yang mungkin akan ada bukan sahaja pada lelaki tetapi juga perempuan, karangan Hamka dalam cerita Calon Arang melengkapkan lagi pemahaman tentang sifat patriarkal ini. Christine De Pisan menggunakan pena untuk membebaskan dirinya dan berjaya menunjukkan keberadaan dirinya sehingga sekarang begitulah sastera dimulai di Eropah. Simone de Beauvoir pula datang meminjam ideanya dan berlakulah debat tentang the second sex. Beliau menyatakan perlunya untuk perempuan bersuara dan melibatkan dirinya, menjadi individu seutuhnya yang mempunyai autonomi. Jacques Lacan pula mendesak, mengatakan seorang perempuan perlu memaksakan dirinya ke dalam aturan phallus ini atau kekal delirium (tidak difahami).
Tetapi akhirnya perempuan hanya dilihat bukan didengar. Oleh itu, perempuan masih sahaja dilihat terpenjara dalam sistem penandaan kaum lelaki (phallosentric). Jacques Derrida lalu datang dengan idea dekonstruksinya itu bukan untuk mencari kebenaran, membenarkan dominasi atau membentuk hierarki yang baru tetapi menunjukkan hubungan kekuasaan yang boleh berubah.
Menurut Derrida, pemikiran manusia akan lebih cenderung melebihkan satu pihak dan menindas satu pihak yang lain. Gejala ini yang dikatakan sebagai “binary opposites”. Hubungan gender yang ditentukan secara hierarki mempunyai pengaruh besar ke atas kesemua aspek kehidupan sosial manusia, termasuk pemikiran yang berbeza antara dan juga terhadap perempuan dan lelaki. Fenomena ini mewujudkan satu siri binarisme seperti pelindung-dilindung, kuat-lemah, rasional-emosional. Dekontruksi perlu untuk meruntuhkan idea yang meletakkan manusia dalam hierarki kekuasaan yang tempang. Oleh itu, perbezaan gender harus dilihat berlainan bukan berlawanan.
Jika di Eropah punya tokoh seperti Christine de Pisan, di Malaysia juga ada – Syed Sheikh al-Hadi dan Sheikh Tahir Jalaluddin. Pelopor dan penggerak gerakan Islamisme moden dan progresif iaitu Kaum Muda. Syed Sheikh al-Hadi sebagai seorang ulama’ dan lelaki juga menampilkan sikap kepedulian terhadap persoalan-persoalan gender dan hak bersama antara lelaki dan perempuan.
Hikayat Faridah Hanum yang dikarangnya dianggap novel yang sangat revolusioner pada waktunya. Syed Sheikh al-Hadi memberi gambaran watak Faridah Hanum itu merupakan seorang perempuan yang berkeperibadian kuat dan mulia, mempunyai agensi rasional yang individualistik dan boleh membuat pilihan hidupnya sendiri. Para ulama konservatif masa itu cuba mengharamkan buku itu, atas alasan “pornografi”. Beliau juga malah dituduh menghina Islam dan menyesatkan orang lain.
Hal yang dilakukan oleh Syed Sheikh al-Hadi juga boleh dikatakan sebagai usaha mendekonstruk pemahaman dan kebiasaan masyarakat pada masa itu. Beliau mencuba sedaya mungkin melakukan tafsiran kembali terhadap bacaan sedia ada lalu menyedarkan masyarakat dengan tulisannya yang sangat segar. Di mana-mana pasti akan ada yang membawa pembaharuan, pembawa lentera (cahaya).
Dan tentangan yang datang pastinya maha hebat. Ada yang bangun, jatuh, bangun semula. Persoalannya, di mana Guan Hanqing, Gandhi dan Ali Syariati zaman ini? Yang sanggup menentang sebarang unsur ketidakadilan. Dan ada yang mati kerananya. – Roketkini.com