Perjuangan DAP demi bangsa dan tanah air Malaysia

whatsapp image 2023 09 11 at 1.27.56 pm

Jangan ada mana-mana pihak lagi, sama ada kawan atau lawan yang mempersoalkan asas perjuangan dan pendirian parti DAP yang menjunjung tinggi perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Saudara Anthony Loke Siew Fook pada Persidangan Parti DAP 2023 yang diadakan semalam; Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman; Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali menegaskan bahawa perjuangan DAP akan sentiasa berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

“Kenyataan ini mengulangi sekali lagi pendirian parti bahawa DAP sentiasa menjunjung, menghormati dan mempertahankan perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini ditekankan lagi melalui resolusi yang telah diluluskan oleh para pewakilan pada Persidangan Parti yang mengukukuhkan komitmen parti seperti yang dinyatakan dalam Deklarasi Shah Alam lebih sedekad lalu,” jelas mereka dalam sebuah kenyataan bersama.

Deklarasi Shah Alam dibentangkan dalam Persidangan DAP pada tahun 2012 yang antara lain menggariskan komitmen parti untuk untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan termasuk Islam sebagai Agama Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Orang Asal Sabah dan Sarawak, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan serta hak dan kepentingan sah kaum dan masyarakat lain dalam Malaysia.

Jelas mereka lagi, DAP adalah parti untuk semua kaum, bangsa, ras dan keturunan dalam Malaysia, termasuk orang Melayu.

“Perjuangan DAP adalah demi Malaysia untuk rakyat Malaysia,” kata mereka sambil menambah bahawa anggota Melayu dalam DAP juga memainkan peranan penting menyumbang kepada parti dan menabur bakti.

DAP kini menampilkan aktivis dan pimpinan Melayu yang mempunyai peranan di setiap lapisan parti; baik sebagai ahli biasa, AJK cawangan, Ahli Majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen mahupun Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat.

Recommended Posts