“PAS sebenarnya berharap untuk mendapat kuasa dengan menggunakan sokongan orang Cina melalui DAP. Oleh itu saya ingin menegaskan agar masyarakat Cina tidak menyokong DAP kerana ia sama seperti memberi kuasa kepada PAS.” – Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, sebagaimana yang dilaporkan oleh lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia pada 16 Feb 2012.
Sekalipun ianya benar, apa salah dan dosanya jika PAS menagih undi dari kaum Cina di Johor untuk memenangi pilihan raya yang akan datang ini? Hukum mana pula yang menjadikan keinginan PAS ini satu dosa besar? Adakah terdapat mana-mana fatwa yang mengharamkan hasrat PAS itu?
Apa pula hukumnya orang Melayu dan Islam yang mengundi MIC, MCA, Gerakan dan lain-lain parti komponen Barisan Nasional?
Mesej tersirat UMNO Johor
Mesej di sebalik ucapan Menteri Besar Johor itu sebenarnya memperlekeh kemampuan MCA dalam usaha menarik undi kaum Cina untuk BN. Lebih menyedihkan ia diucapkan di hadapan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek sendiri.
Jelas, rasa hormat dan kebersamaan pemimpin UMNO pada parti komponen BN, telah terhakis sama sekali.
Pada dasarnya, ungkapan ini juga telah mendedahkan kecetekan ilmu demokrasi di kalangan pemimpin UMNO dan BN. Demokrasi ini adalah rentas budaya dan warna kulit, agama dan status ekonomi.
Namun tidaklah menghairankan jika para pemimpin UMNO memahami demokrasi berdasarkan fahaman asabiyah menerusi amalan mereka selama berdekad-dekad ini.
Mesej penting yang harus disedari oleh MIC, MCA dan Gerakan cukup jelas. Mereka telah diikat oleh UMNO dengan bentuk parti perkauman.
Dengan itu, MIC tidak akan boleh ada ahli Melayu, begitu juga dengan MCA. Dasar lapok ini akan dikekalkan sampai bila-bila walau pun ada ramai ahli MIC dan MCA meronta-ronta untuk mendapatkan hak dan peluang saksama, sebagaimana yang menjadi asas perjuangan DAP.
Mesej Ghani yang tersirat itu bermakna hanya dengan tunduk kepada hegemoni UMNO, barulah parti-parti kompnen BN mampu menang. Inilah perangkap UMNO untuk MIC dan MCA serta parti-parti komponen lain di Malaysia.
Benarkah Johor kubu kuat UMNO-BN?
Jika UMNO-BN benar-benar selesa berkubu di Johor, mereka tidak perlukan kenyataan secetek itu dari seorang pemimpin besar untuk menjalankan propaganda pilihan raya mereka.
Tetapi kini jelas sekali kerisauan mereka muncul apabila ada ura-ura Pakatan Rakyat akan menampilkan calon Menteri Besar yang berwibawa jika diamanahkan oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-13 kelak.
Memang ini bakal menjadi satu sejarah penting untuk negeri Johor kerana buat pertama kalinya Johor berpeluang untuk menghirup udara pemerintahan baru yang menjanjikan ketelusan dan kebajikan yang lebih baik, seperti mana yang diamalkan di Selangor dan Pulau Pinang.
Nada Menteri Besar Johor itu dapat dibaca sebagai petanda seseorang yang sedang kerisauan, bimbang dan stress. Dalam strategi perang, ini boleh dianggap sebagai satu kekalahan psikologi di pihak UMNO-BN untuk menghadapi tsunami kedua PRU ke-13.
Adakah kehebatan dan kekuatan UMNO-BN di Johor selama ini hanyalah ilusi yang digahkan melaui imaginasi media massa kawalan UMNO-BN sendiri?
Langkah awal untuk mara lebih jauh
Selama ini keseriusan politik pembangkang di Johor selalu sahaja diperlekehkan oleh UMNO- BN kerana kepaduan jentera dan manifestonya tidak cukup ampuh dan lengkap tanpa adanya pemimpin alternatif untuk peringkat tertinggi negeri.
Kini sudah sampai masanya Pakatan Rakyat mengenepikan hal kecil demi matlamat yang lebih besar dan lebih baik. DAP sebagai parti yang demokratik tidak terliur untuk merebut jawatan Menteri Besar kerana menyedari realiti politik semasa.
Siapa pun pemimpin atau tokoh yang dipersetujui bersama oleh Pakatan, mereka ini pastilah benar-benar layak baik dalam aspek kecekapan dalam menjalankan tugas dan kredibiliti.
Sudah tentu juga realiti politik memaklumkan bahawa bakal Menteri Besar Pakatan Rakyat Johor adalah seorang pemimpin Melayu Islam yang dihormati ramai.
Rakyat Johor mahukan persekitaran yang baru dan lebih baik. Mereka sudah jemu mendengar banyak tanah-tanah Johor dijual kepada kroni atas alasan kemajuan dan pembangunan.
Politik Johor mempunyai sejarah tersendiri dalam demokrasi Malaysia, pastinya ia mempunyai signifikan yang penting untuk satu lagi sejarah baru yang bakal dicipta kelak.
Kemaraan ini tidak dapat dibendung lagi oleh United Malays National Organistion dan BN yang selama ini membawa ajaran pecah perintah mengikut kaum dan agama.
Warga Johor sudah semakin sedar bahawa majoriti pemimpin PAS dan PKR adalah Melayu Islam juga, malah DAP juga kini sedang menampilkan ahli-ahli Melayu yang demokrat.
Apa pun Pakatan Rakyat tidak menjadikan kaum sebagai ideologi politik. Yang menjadi keutamaan ialah kejujuran, ketelusan dan sikap anti-rasuah. – Roketkini.com