Menghayati Makna 1 Mei: Cerita Menteri Pekerja Yang Buat Perubahan Besar

stevem grab

“Sesetengah orang ketawakan saya. Mereka kata kamu Menteri Pekerja… Saya kata, saya tidak malu.” Kata-kata ini bukan sekadar defensif, malah memperlihatkan satu iltizam tulen daripada Steven Sim, Menteri Sumber Manusia yang kini menjadi wajah utama reformasi tenaga kerja negara. Beliau tidak sekadar berkata-kata, sebaliknya menjadikan gelaran “Menteri Pekerja” itu sebagai semangat untuk memperkasa pekerja Malaysia.

Dalam landskap kementerian yang lazimnya dipenuhi idea-idea ekonomi dan pelaburan, Kementerian Sumber Manusia – atau kini dengan nama yang lebih bermakna, KESUMA – tampil dengan agenda jelas: pekerja kesuma bangsa. Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan sendiri mengiktiraf keindahan nama itu, seraya mengajak kita menghayati maknanya. Nama yang indah hanya akan bermakna jika diisi dengan tindakan – dan di sinilah Steven Sim mula mencorak perbezaan.

Dengan lapan reformasi perundangan yang telah digerakkan, termasuk pindaan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Akta Perhubungan Perusahaan, serta cadangan Akta Pekerja Gig, ia memberi isyarat bahawa pekerja mesti dilayan dengan bermaruah. Di bawah KESUMA, pekerja – tidak kira bergaji tinggi atau rendah, sektor formal mahupun gig – mula diberikan perhatian menyeluruh.

Yang lebih mengesankan ialah penyelesaian terhadap isu yang tertangguh selama 20 tahun: pembaharuan Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak. Kini, pekerja di Malaysia Timur menikmati hak yang sama seperti rakan mereka di Semenanjung – cuti bersalin dinaikkan, cuti paterniti diperkenalkan, dan waktu kerja mingguan dikurangkan. Ia bukan hanya soal perundangan, tetapi pengiktirafan terhadap maruah pekerja.

Pendekatan Steven Sim juga bersifat menyeluruh – daripada peningkatan gaji minimum dari RM1,500 naik RM1,700, serta peruntukan RM200 juta untuk Dasar Gaji Progresif, dan latihan bertaraf dunia oleh kerjasama HRDCorp, Proton dan Huawei hingga kepada peluang internship berbayar menerusi Program Ilham KESUMA.

Bahkan, apabila berlakunya kes pekerja terabai seperti dalam kes di Pengerang, KESUMA campur tangan, memulihkan hak dengan pampasan RM1 juta kepada 733 pekerja.

Dalam usaha memerangi ketirisan, Ops Tunjang membuktikan KESUMA juga tidak gentar menumpaskan kartel tuntutan palsu Perkeso. Ketegasan ini menunjukkan KESUMA bukan lagi sekadar pentadbiran kebajikan pekerja, tetapi benteng utama integriti dalam ekosistem pekerjaan negara.

Maka, panggilan “Menteri Pekerja” itu bukti bahawa Steven Sim adalah menteri yang #janjibuatkerja untuk kesemua pekerja di Malaysia. Sebuah negara tidak akan maju dengan hanya mengejar pelaburan dan pertumbuhan, jika nasib para pekerjanya diabaikan. Dan Steven Sim telah memilih untuk berdiri di sisi mereka – dengan dasar, reformasi, dan keberanian moral.

Recommended Posts