Pilihan raya kecil Mahkota

461654305 1078728153609288 7003953831492690657 n

Kemenangan besar calon Barisan Nasional, Sdr Syed Hussien Syed Abdullah dalam PRK Mahkota menunjukkan bahawa formula terbaik untuk memenangi pilihan raya umum ke-16 nanti adalah kerjasama rapat di antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Syed Hussien memperolehi 27,995 undi, iaitu 79% daripada jumlah undi, manakala lawannya calon Perikatan Nasional, Mohamad Haizan Jaafar atau lebih dikenali sebagai Coach Haizan hanya mendapat 7,347 undi. Majoriti yang diperolehi Syed Hussien adalah 20,648 undi.

Pada pilihan raya negeri Johor pada Mac 2022, berlaku pertandingan tiga penjuru di Mahkota, dengan Barisan Nasional mendapat 16,611 undi, Pakatan Harapan 11,445 undi manakala Perikatan Nasional 7,614 undi di kerusi DUN ini.

Apabila kita gabungkan undi yang diperolehi kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Harapan pada PRN Johor, jumlahnya adalah 28,056 undi, hampir sama dengan keputusan PRK semalam.

Ini bermakna, melalui kempen dan pujukan bersungguh-sungguh, kebanyakan pengundi Pakatan Harapan sudi memindahkan undi mereka kepada Barisan Nasional bagi PRK Mahkota.

Ini juga bermakna keputusan semalam menjadi petanda baik kepada parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan memupuk kerjasama yang lebih erat.

Melalui kerjasama yang lebih kukuh ini serta pentadbiran yang lebih cekap, adil dan meyakinkan, lebih ramai pengundi atas pagar, terutama mereka yang tidak keluar mengundi semalam, akan dapat dipujuk untuk kembali menyokong Kerajaan Perpaduan yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

Kerajaan Perpaduan perlu memenangi pilihan raya akan datang melalui kerjasama Pakatan Harapan dan Barisan Nasional untuk kestabilan dan kesinambungan pentadbiran demi kesejahteraan negara.

Liew Chin Tong
Pengerusi DAP Johor

Recommended Posts