Baru-baru ini, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Dr Akmal Saleh telah mengeluarkan kenyataan mendakwa Menteri Pengangkutan merangkap Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook sebagai seorang yang ‘sombong’. Kenyataan ini membalas kepada satu jawapan yang diberi oleh menteri tersebut bahawa beliau lebih memberi tumpuan kepada kerja yang penting seperti melaksanakan dasar-dasar kerajaan dan meningkatkan ekonomi berbanding dengan mengambil perhatian kepada apa-apa kritikan dari mana-mana pihak.
Sebagai respon kepada kenyataan YB Dr Akmal, pimpinan DAPSY telah secara individu mengeluarkan kenyataan sebagai tanda solidariti kepada Sdr Anthony Loke.
Ahli Dewan Negeri DUN Astaka, Perak merangkap Ketua Biro Dasar Awam DAPSY Kebangsaan, Sdr Jason Ng mengatakan yang YB Dr Akmal sebagai seorang EXCO di Melaka sepatutnya bertindak lebih matang dan rasional dalam berpolitik. Sdr Jason juga berkata sebagai ahli EXCO yang bertanggungjawab ke atas pembangunan luar bandar, pertanian dan keterjaminan makanan di Melaka, beliau harus memberi tumpuan kepada tugas hakiki. Namun jarang sekali kita dengar beliau mengemukakan pandangan tentang tugas-tugas tersebut.
“Oleh itu, jika beliau tidak berminat untuk menjalankan tugas sebagai EXCO Melaka dan sebaliknya hanya ingin meraih publisiti politik murah dengan mengkritik pemimpin rakan parti, lebih baik beliau menarik diri dari kerajaan dan menjadi seorang ahli dewan ‘backbencher’”
Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu, Selangor merangkap Timbalan Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Sdri Pack Sock Tao pula berkata sebagai seorang pemimpin muda, beliau perlu menghormati pemimpin tertinggi parti yang sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. Sdri Pang juga mengingatkan YB Dr Akmal bahawa tugas seorang pemimpin, tidak kira peringkat rendah, tinggi atau apa sekalipun, adalah untuk menyatukan rakyat.
“Kestabilan politik dan sosial negara adalah elemen utama bagi memastikan keberkesanan usaha Kerajaan Madani dalam memulihkan ekonomi serta membawa kemakmuran kepada semua rakyat Malaysia”
Naib Ketua DAPSY Kebangsaan, Sdr Raja Ahmad Iskandar Fareez juga tidak ketinggalan dari berkata yang pemimpin muda wajar fokus perjuangan bina negara dan bukan mengejar nama. Beliau juga bertanya kepada YB Dr Akmal apa niat sebenar mencetuskan polemik yang tidak berkesudahan. Jelas ini bukan kali pertama Ketua Pemuda UMNO itu mendatangkan kontroversi yang keterlaluan di ambang keharmonian Kerajaan Perpaduan.
“Jadi saya khuatir, kalau pemimpin muda seperti Akmal hanya sibuk mengejar nama, jadi tugas untuk membina negara ini perlu diserahkan kepada siapa?”
Akhir sekali, Setiausaha DAPSY Kebangsaan, Sdr Lim Chun Weng berkata yang beliau menyokong bahawa menteri dalam kabinet perlu lebihkan tumpuan kepada isu-isu rakyat dan bukan melayan publisiti murahan.
“Kita boleh lihat di bawah kepimpinan saudara Loke Siew Fook, Kementerian Pengangkutan telah melaksanakan beberapa dasar baharu, seperti pas bulanan tanpa had pengangkutan awam My100 & My50 dan dasar pendigitalan JPJ. Dasar-dasar ini dengan jelasnya telah memudahkan hidup rakyat. Saya ingin menegaskan bahawa melaksanakan dasar sebegini ini lebih membawa manfaat kepada rakyat dan negara berbanding membalas retorik kosong Akmal”