
KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke Siew Fook mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan melanggar Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 yang dikenakan.
Beliau menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 15 (3) APA 2012 dan diwakili peguamnya, Keppy Wong dan Thomas Su Keong Siong.
Turut disabitkan tuduhan sama ialah Ahli Parlimen PKR Pandan, Rafizi Ramli yang diwakili peguam Lawyers For Liberty (LFL), N Surendran dan Latheefa Koya.
Anthony Loke dan Rafizi juga didakwa mengikut Seksyen 9 (1) akta sama kerana gagal mematuhi arahan Ketua Polis Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad supaya memaklum kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan ketua polis berhampiran dalam tempoh 10 hari sebelum perhimpunan diadakan.
Anthony yang juga Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan sekali lagi mengecam dakwaan berat sebelah terhadap dirinya dan pimpinan Pakatan Rakyat serta aktivis lain yang jelas bermotifkan politik.
“Dakwaan yang dikenakan ke atas kami ini adalah dakwaan yang jelas bermotifkan politik.
“APA 2012 mengizinkan perhimpunan aman dibuat di seluruh negara dan ia termaktub dalam piagam hak asasi manusia,” katanya kepada wartawan di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta, hari ini.
Menyokong kenyataan Anthony Loke itu, Rafizi berkata, sebelum dan sepanjang himpunan semua pimpinan PR memberi kerjasama kepada polis dan DBKL seperti yang diminta.
“Sepanjang penganjuran himpunan, kami memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan DBKL. Perhimpunan juga berlaku dengan aman tanpa sebarang kekecohan.
“Saya ingin nyatakan bahawa jika mereka fikir tindakan mengheret kami ke mahkamah seperti ini boleh melemahkan semangat rakyat, bacaan mereka sangat salah.” ujarnya.
Empat aktivis pelajar iaitu Adam Adli Abdul Halim, Safwan Anang, Ekhsan Bukharee dan Bukhari Soffian pula turut didakwa mengikut Seksyen 4(2b) akta yang sama kerana berhimpun di perkarangan Masjid Abdul Rahman, Universiti Malaya sebelum berarak ke Padang Merbok untuk menghadiri Himpunan Blackout 505.
Kakitangan Ibu Pejabat PKR, Adib Ishar turut didakwa dengan pertuduhan sama. Semua mereka tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.
Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh memohon agar setiap tuduhan dikenakan ikat jamin RM5,000 dan Hakim Mahkamah Seksyen, Ghani Abdullah kemudiannya memutuskan agar semua tertuduh dilepaskan dengan bon jaminan tanpa cagaran RM3,000 setiap seorang.
Mahkamah seterusnya menetapkan tarikh pendengaran bagi kes Anthony dan Rafizi pada 7 dan 8 Oktober serta 9,10 dan 12 Disember ini.
Antara pimpinan oposisi yang hadir ke mahkamah memberi sokongan ialah Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Teo Kok Seong, Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail. -Roketkini.com