PLKN diperkenal semula, pertingkat jati diri anak muda

plkn

Kerajaan pada hari Isnin lalu bersetuju untuk meneruskan kembali Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang telah dimansuhkan pada 2018. 

Dalam menjawab soalan Ahli Parlimen Ledang sewaktu sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, Menteri Pertahanan Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Hasan berkata bahawa kerajaan telah bersetuju untuk meneruskan PLKN setelah mendapat kelulusan daripada Jemaah Menteri pada 2021. 

plkn4 2
Menteri Pertahanan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Rembau, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Hasan

Menurut keputusan Jemaah Menteri pada ketika itu, PLKN dilihat sebagai suatu program yang amat penting kepada belia Malaysia dan negara kerana program tersebut memberikan asas ketatanegaraan kepada golongan belia, khususnya yang baru sahaja tamat pengajian sekolah.

Kerajaan telah pun meneliti dan memperkenalkan kerangka baharu, termasuk memendekkan tempoh latihan. Jika sebelum ini PLKN berlangsung selama 3 bulan, PLKN 3.0 hanya akan berlangsung selama 45 hari sahaja.

Menurut Mohamad Hasan, sebanyak 13 buah kem latihan Askar Wataniah akan digunakan untuk program latihan tersebut.

plkn2 1

“Kita ada Pusat Latihan Askar Wataniah sebanyak 13 di seluruh negara serta Pusat Latihan Polis (PULAPOL) yang dapat menampung latihan untuk satu tahun sekurang-kurangnya 4,000 orang,” jelas Mohamad Hasan.

Pemilihan peserta program ini akan merangkumi dua fasa iaitu pelajar tingkatan empat menerusi kelab badan beruniform manakala fasa kedua terdiri daripada mereka yang telah selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

plkn3 1

Modul latihan dalam kerangka baru ini terdiri daripada dua aspek di mana 90 peratus modul ini akan terdiri daripada latihan sebagai anggota tentera dan 10 peratus lagi melibatkan latihan kewarganegaraan.

“Disiplin itu penting, kita perlu anak muda yang memiliki disiplin tinggi dan latihan ketenteraan ini boleh memberikan semangat jati diri yang kuat kepada anak muda,” kata Ahli Parlimen Rembau tersebut sewaktu berucap di Dewan Rakyat.

Tambahan itu, kos untuk melaksanakan PLKN 3.0 ini dicadangkan agar tidak melebihi RM100 juta setahun, jauh lebih rendah berbanding perbelanjaan sebanyak RM500 juta sebelum ini iaitu penjimatan sebanyak RM400 juta.

“Kita mahu supaya kali ini, kita tidak berbelanja banyak tetapi ia lebih memberikan ulangan baik kepada modal insan,” jelas beliau.

Recommended Posts