
Di bawah kepimpinan Kerajaan Madani, landskap pengangkutan negara tidak lagi hanya berlegar pada isu perkhidmatan awam domestik semata-mata. Ia kini melangkaui sempadan, menyumbang secara langsung kepada integrasi serantau dan antara tonggaknya ialah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Lawatan rasmi Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone ke Ibu Pejabat KTMB baru-baru ini bukan sekadar acara protokol. Ia adalah detik penting yang menandakan penghormatan negara jiran terhadap peranan strategik KTMB dalam menjayakan inisiatif ASEAN Express, satu projek kereta api kargo antarabangsa yang semakin mendapat perhatian dunia.
Lebih simbolik, lawatan itu disambut sendiri oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke. Sambutan tersebut menunjukkan keseriusan kerajaan dalam memperkukuh kerjasama rel rentas negara. Malah, ini merupakan destinasi utama yang dikunjungi Siphandone dalam lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Laos pada Disember 2022.
ASEAN Express, yang dilancarkan pada Jun 2024, merupakan hasil kerjasama erat yang melibatkan beberapa pihak termasuk KTMB dan Lao National Railway Enterprise (LNRE). Perkhidmatan ini menghubungkan empat negara iaitu Malaysia, Thailand, Laos dan China, dan membolehkan kargo dihantar dari Selangor ke Chongqing dalam hanya sembilan hari, berbanding 14 hingga 21 hari menerusi laut. Ini merupakan satu revolusi logistik yang mengubah permainan perdagangan serantau.
Bagi Malaysia, manfaat ASEAN Express tidak sedikit. Pertama, ia menjimatkan kos logistik sehingga 20%, memberi kelebihan besar kepada pengeksport tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pertanian, elektronik dan makanan. Kedua, perkhidmatan ini membuka akses yang lebih luas kepada pasaran China bagi produk mudah rosak seperti durian segar, sambil mengekalkan kualiti penghantaran.
Ketiga, ASEAN Express menawarkan laluan darat alternatif yang stabil dan bebas dari ketegangan geopolitik seperti di Laut China Selatan, sekali gus mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan negara. Keempat, ia menyokong agenda kelestarian negara melalui pengurangan pelepasan karbon, menjadikan pengangkutan rel sebagai pilihan yang lebih hijau berbanding udara atau jalan raya.
Tidak kurang penting, ASEAN Express turut memberi impak langsung kepada pembangunan wilayah utara Malaysia. Integrasi Pelabuhan Darat Perlis dalam jaringan rel ini meletakkan kawasan utara sebagai hab logistik strategik, berpotensi menjana pertumbuhan ekonomi baharu dan mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
Tambahan pula, Malaysia kini merupakan pelabur asing kelima terbesar di Laos dengan pelaburan mencecah hampir RM4 bilion, meliputi sektor tenaga, telekomunikasi, logistik dan pembinaan. Maka tidak hairanlah apabila kerjasama KTMB dan LNRE dianggap penting dalam memperkukuh hubungan dua hala yang saling menguntungkan.
ASEAN Express bukan sekadar laluan kargo. Ia adalah simbol kesungguhan Malaysia untuk memimpin integrasi serantau melalui pengangkutan yang cekap dan lestari. Dalam projek berskala besar ini, peranan Anthony Loke dan KTMB amat signifikan, bukan sekadar pelaksana, tetapi pencorak hala tuju masa depan logistik ASEAN.