PN gagal kerana tak dapat tangani 3 krisis

Ucapan Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan Pada Konvensyen Biasa Negeri DAP Melaka Di Melaka Pada 18.4.2021.

PN adalah kerajaan yang gagal kerana tidak dapat menangani tiga krisis berganda gelombang ketiga jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat, ketidakstabilan politik yang kronik dan tekanan ekonomi yang semakin parah bagi perniagaan dan pekerjaan. Jangkitan Covid-19 (Rt) di Malaysia telah mencapai tahap baru tertinggi tahun ini pada 1.18 pada 16 April 2021, di mana semakin tinggi bilangan Rt di atas 1.0, semakin besar pertumbuhan eksponen dalam jumlah jangkitan.

Ketika perintah darurat diisytiharkan bersama dengan perintah kawalan pergerakan (PKP), dengan tujuan utama untuk memerangi COVID-19 pada 11 Januari, Rt Malaysia adalah 1.11. Lebih dari 3 bulan selepas Darurat, Rt tidak turun di bawah 1.11 malah meningkat menjadi 1.18. Jelas bahawa Kerajaan PN yang menggunakan Darurat, telah gagal untuk menangani krisis kesihatan awam yang menyebabkan Malaysia mencatatkan jumlah jangkitan COVID-19 tertinggi di ASEAN dari segi per kapita.

Oleh kerana Darurat dan penggantungan Parlimen tidak berkesan untuk membendung lonjakan jangkitan COVID-19, Parlimen harus dibuka semula dengan segera. Parlimen tidak boleh digantung dan Malaysia dalam keadaan politik yang terawang-awang hanya kerana Muhyiddin telah kehilangan majoriti parlimennya berikutan perpecahan terbuka dengan UMNO. Tidak ada alasan untuk tidak membenarkan sejumlah 220 Ahli Parlimen yang telah diberi vaksin untuk bersidang di Parlimen, ketika semua pusat perniagaan, sekolah, pasar malam dan bahkan stadium sukan boleh dibuka semula.

Kemarahan orang ramai juga meningkat terhadap amalan dua darjat, di mana orang awam dihukum tetapi tidak ada tindakan atau hukuman ringan sahaja diambil terhadap Menteri seperti Azmin Ali, Annuar Musa, Zuraida Kamarudin, Khairuddin Aman Razali dan Edmund Santhara kerana melanggar sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan SOP kuarantin?

Keyakinan orang ramai yang telah hancur berkali-kali disebabkan pengurusan krisis yang gagal dan amalan dua darjat, bertambah teruk dengan kelembapan pelaksanaan program vaksinasi negara, bekalan vaksin yang terhad dan kadar pendaftaran yang rendah. Kurang dari 2% populasi telah menerima sekurang-kurangnya satu daripada dua dos vaksin.

Ekonomi Dalam Krisis

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akhirnya mengakui bahawa kerajaan kekurangan dana setelah memperuntukkan lebih dari RM622 bilion untuk Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan ekonomi. RM622 bilion tersebut tidak membantu memperlahankan penutupan perniagaan dan menyelamatkan pekerjaan, terutamanya sektor pelancongan yang kerugian RM100 bilion tahun lalu. Ke mana perginya RM622 bilion itu?

Selain membeli kesetiaan politik, bagaimana pelantikan Senator Guan Dee Koh Hoi sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang baharu, dapat membantu sektor pelancongan yang sudah lumpuh? Daripada meminjam lebih banyak wang untuk dibelanjakan oleh rakyat, kerajaan memberikan senjata kepada agensi-agensi yang berkenaan dengan undang-undang yang keras dan taktik menindas untuk memerah wang dari rakyat dan perniagaan.

Rakyat sudah menderita akibat kenaikan kos keperluan asas dan makanan, yang sebahagiannya digambarkan sebagai yang tertinggi dalam dua dekad terakhir.  Pengangguran yang tinggi pada 4.8% pada Februari 2021, dengan pengangguran belia yang tertinggi dalam 30 tahun pada 13.9%, berserta gaji yang tidak stabil hanya menambah tekanan ekonomi kepada rakyat biasa. Daripada melindungi hak pekerja dengan menghukum mereka yang membayar upah di bawah gaji minimum RM 1,200 setiap bulan, Menteri Sumber Manusia M. Saravanan menasihati graduan untuk menerima pekerjaan dengan gaji RM1,000.

Masa depan digital untuk anak-anak kita nampaknya berdepan dengan risiko berikutan keputusan Facebook dan Google untuk mengenepikan Malaysia dengan memilih Indonesia dalam memasang kabel bawah laut. Aliran masuk pelaburan asing di Malaysia turun 68% kepada USD 2.5 bilion tahun lalu, peratusan penurunan terburuk di ASEAN dan IBM memutuskan untuk menutup Pusat Penyampaian Global teknologi maklumat (IT) bernilai RM1 bilion di Cyberjaya pada akhir Mei, mengakibatkan kehilangan 1,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.

Apa sudah jadi dengan pelaburan besar bernilai RM1 bilion oleh syarikat teknologi gergasi digital terkemuka di Peguh, Melaka yang telah dimulakan oleh pentadbiran PH? Mengapa Kerajaan PN gagal menunaikan janjinya untuk meneruskan Keretapi Berkelajuan Tinggi KL-Singapura?

DAP mencadangkan agar kerajaan berubah dari model lama pemberian bantuan sekali dan komited untuk memberikan bantuan bersiri dan berkala kepada orang miskin dan penganggur.  Muhyiddin masih belum menunaikan janjinya yang dibuat dalam pilihan raya negeri Sabah untuk menaikkan bantuan bulanan kebajikan kepada RM1,000, yang sepatutnya diberikan juga kepada penganggur.

DAP Akan Sentiasa Menjadi Orang Malaysia Dahulu, Bukan Cina Dahulu, Melayu Dahulu atau India Dahulu.

DAP akan sentiasa menjadi orang Malaysia Dahulu, bukan Cina Dahulu, Melayu Dahulu atau India Dahulu.  Berbeza dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang secara terang-terangan mengisytiharkan bahawa dia adalah Melayu Dahulu, Orang Malaysia Kedua, DAP tidak akan pernah melepaskan cita-cita kita untuk membangun bangsa yang terbentuk di landasan persaudaraan kaum, keharmonian agama, peluang yang sama, keadilan sosio-ekonomi, demokrasi berparlimen  dan kesejahteraan ekonomi untuk semua.

Perjuangan DAP sentiasa tertumpu pada rakyat, berdasarkan prinsip asas dan dasar yang bermanfaat kepada negara, tidak pernah tergila-gila dengan jawatan kuasa dan kedudukan kerajaan. Itulah sebabnya mengapa tidak satu pun dari 42 MP DAP kita membelot dan mengkhianati mandat rakyat yang diberikan dalam pilihan raya 2018. Walaupun merupakan parti terbesar di parlimen, DAP tidak pernah tamak dan tidak pernah mengidam jawatan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

Saya ingin memberi jaminan bahawa kepimpinan CEC bersedia berjuang untuk menolak pemimpin yang ingin menyimpang dari kerangka pelbagai kaum dan agama kita bagi mengekalkan nilai Malaysia dalam DAP. DAP bukan parti Cina, parti India atau parti Melayu. Kita adalah parti Malaysia untuk semua dengan wakil rakyat dari semua kumpulan etnik termasuk Sabah dan Sarawak.

Sekiranya DAP menjadi parti Cina atau India, DAP tidak akan berbeza dengan PAS. CEC tidak akan membenarkan DAP menjadi ekstremis seperti PAS, yang bergantung pada politik kebencian untuk mendapatkan sokongan hanya dari satu etnik atau agama. PAS menutup ketidakcekapan dan pemerintahan mereka yang lemah dengan bergantung pada perkauman dan ekstremisme agama.  Tidak seperti era PAS di bawah pemimpin sederhana seperti Almarhum Tok Guru Nik Aziz, orang bukan Islam akan didiskriminasi dan dipinggirkan, selagi PAS di bawah Abdul Hadi Awang berada dalam kerajaan.

Sebagai contoh, cadangan PAS untuk mendapatkan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya akan datang, bertujuan untuk gerrymander kawasan pilihan raya secara berat sebelah dan hanya menguntungkan orang Islam dan orang Melayu. Ini secara efektif merupakan sebuah pilihan raya berdasarkan apartheid agama dan kaum yang jelas tidak berperlembagaan.  Namun tidak ada Menteri bukan Islam atau bukan Melayu yang berani mengemukakan bantahan di Kabinet.  Melihat MCA, MIC dan GPS menjadi ‘pak turut’ kepada PAS amat menyedihkan.

Daripada MIC menyalahkan PAS kerana merobohkan kuil Hindu, MIC menyalahkan masyarakat India kerana mengaibkan Dewa mereka. MCA dan MIC berdiam diri apabila peruntukan untuk sekolah vernakular dikurangkan walaupun Belanjawan dinaikkan menjadi yang tertinggi dalam sejarah.

“Khemah Besar” Pembangkang Bersatu Bersama Demi Mengalahkan Kerajaan PN Yang Gagal.

Tidak seperti pada masa lalu, Menteri tidak lagi malu untuk membuat pernyataan rasis atau ekstremis agama yang melukakan perasaan rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia, terutama yang membayar cukai, hanya mahu Kerajaan berlaku adil. Rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang menghormati kepelbagaian, inklusif untuk semua dan berusaha menyatukan setiap warganegara Malaysia untuk memerangi COVID-19 bersama.

Saya ingin memuji kepimpinan DAP Melaka dan semua wakil rakyat kerana dapat bersatu sebagai satu pasukan Roket untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.  DAP Melaka adalah negeri kedua selepas DAP Kedah di mana tidak ada pertandingan pemilihan parti dengan hanya 15 calon yang bertanding untuk 15 jawatan jawatankuasa negeri. Bukan mudah untuk membentuk pasukan perpaduan tetapi semangat berpasukan ini menunjukkan komitmen sepenuh hati semua ahli kita untuk mengalahkan PN.

Tidak ada gunanya memenangi pemilihan parti tetapi kalah dalam pilihan raya umum. Lebih mustahak untuk mengalahkan pengkhianat mandat rakyat dan mengembalikan kerajaan rakyat yang berkhidmat untuk rakyat dan mendengar suara rakyat. Biarkan sejarah menilai pengkhianat-pengkhianat ini. Kita ingin memberi penghormatan kepada wakil rakyat kita yang enggan dibeli atau diancam untuk melompat dan menyokong PN.

DAP Malaysia berasa bangga kerana DAP Melaka dapat menunjukkan perpaduan kita pada masa Kerajaan PN sedang berpecah. Sama seperti semua ahli DAP Melaka yang dapat bersatu dan menyokong satu sama lain untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang, kita berharap semua parti pembangkang dapat melakukan perkara yang sama. Marilah kita bina “Khemah Besar” pembangkang yang menyatukan semua parti pembangkang demi mengalahkan Kerajaan PN yang gagal.

Marilah kita ganti Kerajaan PN yang gagal ini bukan hanya di Putrajaya tetapi juga di Melaka di bawah kepimpinan Pengerusi PH Melaka Adly Zahari.

Recommended Posts