
Adalah tidak wajar bagi Muhyiddin Yassin selaku bekas Perdana Menteri & Pengerusi Perikatan Nasional (PN) untuk tidak bercakap benar dan memesongkan fakta dalam soal peruntukan kawasan.
Saya merupakan bekas Setiausaha Politik Ahli Parlimen Teluk Intan ketika zaman PN memerintah dan saya boleh mengesahkan bahawa tiada peruntukan sama rata dibagikan antara kerajaan dan pembangkang ketika Muhyiddin memerintah.
Adakah Muhyiddin Yassin berniat untuk mendiskriminasi antara yang sokong dan tidak sokong pada ketika itu seperti mana menuduh kerajaan Madani kini?
Keduanya, kenyataan Muhyiddin Yassin bahawa peruntukan dahulu dibagi tanpa syarat adalah tidak benar lantaran semua mengetahui bahawa pembangkang pada ketika itu iaitu Pakatan Harapan telah menandatangani MoU dengan kerajaan Ismail Sabri yang merangkumi PN dan antara syaratnya termasuklah menyokong kestabilan kerajaan dan usaha pembaharuan undang-undang seperti Akta Lompat Parti.
Saya yakin kerajaan Madani bukan sezalim kerajaan Muhyiddin yang menatijahkan rakyat untuk mengangkat bendera putih.
Penetapan syarat bahawa kestabilan politik adalah keutamaan dan penolakan segala tindakan menukarkan kerajaan mengikut pintu belakang adalah wajar dan wajib dalam perihal ini.
Ataupun PN yang tidak ingin menerima syarat sedemikian masih beria-ria hendak tumbangkan kerajaan sedia ada dengan kaedah pintu belakang?
Cukup-cukuplah membinasakan ekonomi negara dengan Langkah Sheraton, jangan memalukan negara di persada dunia sekali lagi dengan Langkah Sheraton 2.0.
Sekiranya kerajaan menetapkan syarat wajib untuk pembangkang menyokong segala langkah reformasi institusi seperti Akta Perkhidmatan Parlimen, apa salahnya untuk pembangkang menerima syarat dan menyokong prakarsa kerajaan dalam hal ini?
Namun dukacitanya PN memilih untuk tidak menyokong langkah reformasi institusi sedemikian, malah tidak mengundi biarpun usaha kerajaan adalah demi pemerkasaan badan legislatif.
Sudah terang lagi bersuluh, PN hanya cenderung untuk bersandiwara politik dalam isu peruntukan, yakni mencuba untuk mewujudkan persepsi bahawa kerajaan kini menzalimi rakyat kawasan pembangkang dan pada masa yang sama pula enggan menerima syarat lumrah yang bertujuan untuk kebaikan negara, malah pembangkang juga berdegil untuk berbincang dan meneruskan mentaliti “segala salah kerajaan”.
Sekiranya enggan berbincang untuk soal peruntukan, patutnya berdepan dengan rakyat dengan jujur dan terus-terang, bukannya baling batu dan sembunyikan tangan yang merancang langkah pintu belakang.
Jangan berhipokrit dan menipu dalam bulan murni ini.
Ketua DAPSY Malaysia
YB Woo Kah Leong