TEMERLOH, 26 OKT: Satu pertemuan telah diadakan di antara Ahli Jawatankuasa Bersih 5 Temerloh bersama polis semalam bagi membincangkan aspek keselamatan peserta konvoi bersih di sini menjelang kemuncaknya di Dataran Merdeka 19 November hadapan.
Pertemuan itu dihadiri 10 AJK Konvoi Bersih 5 kawasan ini bersama Pemangku Ketua Polis Temerloh Superintendan Zundin.
Koordinator Konvoi Bersih 5 Temerloh Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji berkata, pihaknya telah menerangkan kepada polis mengenai konvoi dan program Bersih 5 yang akan dijalankan di Daerah Temerloh, Mentakab, Bera dan Teriang.
Konvoi itu akan bermula 5 hingga 12 November 2016 sebelum meneruskan ke Bentong seterusnya di Dataran Merdeka.
“Superintenden Zundin menerangkan aspek keselamatan serta perkara yang tidak dibenarkan dalam perhimpunan aman seperti kehadiran kanak-kanak, orang tua dan provokasi seperti kumpulan Baju Merah.
“Pihak polis berjanji untuk menjaga keselamatan serta ketenteraman awam dan ianya mengikut garis panduan perhimpunan aman,” katanya yang juga Adun Mentakab.
Pertemuan ini dibuat berikutan beberapa provokasi melampau kumpulan samseng Baju Merah UMNO di beberapa lokasi seluruh negara yang mampu mencetuskan gangguan keselamatan awam serta bertentangan dengan undang-undang. – Roketkini.com