PRN Melaka: Satu pandangan

Oleh Nor Miswary Ramli

Banyak yang saya baca, terima komen, mesej, panggilan telefon berjam-jam lamanya sampai kering tangan isteri saya di meja makan. Terlalu banyak kritikan yang membina, tidak kurang jua lebih banyak yang langsung tidak membina.

Saya mengambil sedikit masa untuk melontarkan pandangan, walaupun saya sedar, saya tidak perlu melakukannya. Saya tidak punyai kelayakan untuk menulis ataupun bercakap panjang lebar mengenai kegagalan Pakatan Harapan memeluk kemenangan di negeri Melaka tempoh hari. Saya tidak bekerja keras seperti rakan-rakan saya yang lain. Saya tidak lama berkampung di Melaka. Saya cuma sebentar di sana dan membantu dengan sumber dan kudrat yang terhad. Tapi, percayalah, seikhlasnya – saya benar2 mencuba dan bersungguh-sungguh mencuba.

Cuma apa yg saya ralat ialah sikap kita pasca kekalahan. Sebagai pemimpin atau kalau berhajat menjadi pemimpin, ujian kepada sikap kepimpinan kita adalah di saat kita mengemudi bahtera berdepan dengan gelombang dan ombak keras di tengah lautan. Hujan ribut dan dalam pekat malam. Kepimpinan tidak diuji ketika air laut tenang dan angin dingin menyapa kulit muka. Tidak.

Guru saya pernah mengingatkan betapa seekor kera di hutan tidak akan sesekali jatuh dipukul angin ribut taufan dan hujan lebat. Saat itu, kera ini akan kuat merangkul dan memeluk kemas pada batang pokok. Namun, kera yang sama akan jatuh disebabkan angin sepoi-sepoi bahasa yang melirik lembut ke telinganya dan membuai sehingga memejamkan matanya, lalu lemah-lah pelukkannya pada batang pokok dan jatuhlah ia.

Kita akan diuji dalam keributan. Lalu, sebagai pemimpin – besar ataupun kecil, sudah dan sedang memimpin atau bercita-cita mahu menjadi seorang pemimpin – saat ini elok sahaja kita mencari jalan untuk menyatukan sesama kita. Tunjukkan tarikan kepimpinan dengan menghentikan pertelagahan yang sia-sia di medan terbuka. Atau sekurang-kurangnya menunjuk jalan teladan dengan tidak membuat komen yang tidak membantu kita menyatu, malah hanya tambah memporak-peranda. Jangan kita lupa, kekalahan PH juga barangkali disumbangkan oleh sikap kita yang gemar memperagakan “pergaduhan” di media sosial. Demokrasi konon.

Ya, post-mortem, bedah siasat, muhasabah itu perlu. Tetapi dengan hanya membuat analisa dari hujung keyboard sehingga terlupa kepada mereka yang siang malam bertungkus lumus berpanas, masuk ke pelusuk kampung dan warong, dipulau dan diherdik, tanpa rehat dan tanpa tidur yang cukup. Kemudian, kita pula seronok bergaduh sesama sendiri di media sosial; mencari salah siapa atau menunjukkan siapa yang mesti dipersalahkan. Telah menjadi tabiat buruk orang kita, kalau menang, tentunya kita akan bersorak bersama, menggenggam tangan bersama di pentas pengumuman. Sebaliknya apabila kalah, kita tidak pula mahu pikul bersama. Kata menang bersama, kalah pun bersama, apa dah jadi?

Saya yakin, saat ini kita sesama sendiri telah pun sedar akan kekurangan dan kesilapan sepanjang kita mendepani BN dan PN di Melaka. Saya akui ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki segera oleh kita dan saya pasti rakan-rakan kita yang lebih berpengalaman tentunya lebih mengetahuinya. Perkara tu biarlah saya kongsikan di kesempatan yang lain.

Kita wajar berbangga kerana Pakatan Harapan sebenarnya melawan dua gabungan parti terbesar yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan di Pusat. Mereka punya sumber yang tidak terbatas berbanding Pakatan Harapan. Kita adalah pakatan yang mahu memberikan harapan kepada rakyat. Tunjukkanlah semangat kekitaan yang menjadi kekuatan kita selama ini. Satukan-lah wira-wira kita yang tidak didendang. Tidak semua provokasi atau andaian-andaian perlu mendapat respon balas. Tenang, kumpul semula kudrat yang tersisa, susun semula pasukan dan jentera dan bangkit semula melawan! – Roketkini.com

Recommended Posts