
Kerajaan Madani kian membuktikan bahawa visi “Road to Rail” bukan sekadar retorik, tetapi sedang diterjemah kepada realiti. Langkah mengurangkan pergantungan pada jalan raya bagi kenderaan muatan berat, lalu memindahkan tumpuan kepada rel, kini memperlihatkan hasil paling jelas di Tanjung Malim, pusat pengeluaran Proton yang semakin strategik.
Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, mengumumkan bahawa kilang baharu Proton bakal dilengkapi dengan kemudahan kereta api khusus untuk mengangkut kenderaan elektrik (EV) terus dari kilang ke pelabuhan dan bandar utama. Beliau menegaskan:
“Ini sejajar dengan dasar Road to Rail oleh MOT untuk mengurangkan kenderaan berat di jalan raya, memudahkan logistik ke pelabuhan dan bandar-bandar utama serta memangkinkan aktiviti industri dan pekerjaan tempatan.”
Inilah gambaran Malaysia Baharu, negara yang mengutamakan kelestarian, kecekapan logistik, dan daya saing global. Langkah membina jajaran sisihan (spurline) terus ke kilang Proton bukan sahaja menyelesaikan masalah trafik dan kesesakan di lebuh raya, malah membuka jalan ke arah sistem logistik pintar berasaskan rel.
Lebih daripada itu, inisiatif ini menjadi nadi kepada pembangunan Automotive High Tech Valley (AHTV), yang telah dikenal pasti dalam Rancangan Malaysia Ke-13 sebagai projek berimpak tinggi. AHTV bakal menjadi hab utama untuk kenderaan tenaga baharu dan generasi seterusnya, sekaligus menarik pelaburan asing berskala besar ke negara ini.
Bayangkan dari Tanjung Malim, rangkaian rel menghubungkan terus ke pasaran global, meletakkan Malaysia di tengah-tengah peta automotif dunia.
Dasar Road to Rail ini melambangkan dua perkara penting. Pertama, ia menandakan peralihan besar ke arah ekonomi hijau, mengurangkan pelepasan karbon melalui pengangkutan rel yang lebih mesra alam. Kedua, ia membuktikan keberanian kerajaan Madani untuk membuat keputusan strategik jangka panjang, meskipun manfaatnya mungkin tidak serta-merta kelihatan.
Hab logistik berasaskan rel di AHTV ini bukan sekadar projek infrastruktur. Ia simbol perubahan budaya, dari “jalan raya dahulu” kepada “rel sebagai tunjang masa depan”. Dan jika kejayaan Proton Tanjung Malim menjadi model, maka tidak mustahil lebih banyak industri lain akan mengikut jejak.