Pulau Pinang Namakan Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi Sebagai Tanda Menghargai Jasa Pak Lah

whatsapp image 2025 04 18 at 12.26.59 pm

Ramai pihak rasa terharu dengan pengumuman yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini apabila Lebuhraya Bandar Cassia secara rasmi akan dinamakan semula sebagai Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam satu kenyataan media di Facebook-nya. Beliau memaklumkan bahawa keputusan itu dicapai sebulat suara oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri sebagai tanda kasih dan penghormatan mendalam rakyat negeri ini terhadap tokoh negarawan itu.

Cadangan dibawa oleh Chow Kon Yeow sendiri ini adalah amat siginifikan dalam menghargai jasa dan bakti Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah membawa impak pembangunan kepada negeri Pulau Pinang sepanjang perkhidmatan sebagai Perdana Menteri dari tahun 2003 hingga 2009.

Allahyarham Tun Abdullah bukan sekadar seorang pemimpin negara. Beliau adalah anak jati Bayan Lepas, Pulau Pinang, yang sentiasa membawa denyut nadi negeri ini ke peringkat tertinggi. Sumbangan beliau tidak ternilai – jasanya terpahat dalam setiap sudut pembangunan yang dinikmati rakyat hari ini.

Antara legasi terbesar yang ditinggalkan Allahyarham di Pulau Pinang ialah Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah – yang menjadi nadi penghubung penting di Pulau Pinang. Pengumuman jambatan itu dalam pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) pada tahun 2003 adalah detik bersejarah yang masih segar dalam ingatan rakyat.

“Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau Jambatan Kedua Pulau Pinang merupakan ‘hadiah’ terbesar Allahyarham Tun Abdullah kepada penduduk Pulau Mutiara apabila beliau mengumumkan projek itu dalam ucapan pembentangan RMKe-9 di Parlimen pada tahun 2003.

Impaknya, jambatan kedua telah merancakkan pertumbuhan ekonomi antara Batu Maung (bahagian pulau) dan pembangunan Bandar Cassia di Batu Kawan sebagai zon perindustrian baharu khasnya,” katanya.

Penamaan semula lebuh raya utama di kawasan itu kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan hanya tindakan simbolik, tetapi sebuah penghormatan tulus dari seluruh rakyat Pulau Pinang untuk memastikan legasi beliau tidak pernah dilupakan.

Selain projek infrastruktur utama, Pulau Pinang turut menerima banyak manfaat lain di bawah kepimpinan Allahyarham termasuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dengan peruntukan RM1 bilion, pembangunan Penang Sentral bernilai RM2.7 bilion, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) serta pelaksanaan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER).

Semua inisiatif ini membuktikan betapa Allahyarham sentiasa mengutamakan kemajuan rakyat dan negeri kelahirannya. Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar – bukan sahaja buat negara, tetapi buat rakyat Pulau Pinang yang amat menyanjungi keperibadian dan ketulusan kepimpinan beliau.

Sebagai tanda berkabung dan penghormatan, Kerajaan Negeri turut mengarahkan pengibaran bendera negeri separuh tiang pada hari Jumaat, 18 April 2025 di semua premis kerajaan dan pihak berkuasa tempatan. Premis-premis bukan kerajaan turut diseru untuk turut serta menzahirkan rasa hormat terhadap tokoh yang banyak berjasa ini.

Recommended Posts