Rakan Muda diberi nafas baru selepas penubuhannya, 30 tahun yang lalu

rakan muda

Sekitar lawatan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, ke Pahang beberapa hari yang lalu, beliau sempat bertandang ke Dewan Kompleks Sukan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Gambang untuk program Rakan Muda di sana.

Beliau diperlihatkan pelbagai gaya hidup yang sempat diperkenalkan seperti bengkel muzik tradisional (#RakanMuzik), bengkel asas pertolongan cemas CPR (#RakanMahir), bengkel ‘public speaking’ (#RakanEkspresi) dan sebagainya, termasuklah pertukaran MoU Rakan Prihatin antara UMPSA dan Yayasan Prihatin Nasional.

Bagi yang kurang tahu, program Rakan Muda ini adalah hasil pengenalan semula KBS pada tahun lepas.

Asal-usul program Rakan Muda yang menyatu padukan belia

Mula dilancarkan seawal tahun 1994 oleh Perdana Menteri ketika itu, program Rakan Muda oleh KBS ini muncul dengan harapan sebagai platform pengisian masa berkualiti dan penyatuan perpaduan belia yang berumur 15 hingga 30 tahun. 

Cabaran pencapaian misi ini ialah membentuk generasi muda yang lengkap dengan gugusan nilai-nilai murni, berfikiran positif, menguasai ilmu dan kemahiran bagi menempuh kemajuan peradaban yang akan datang. Walaupun pernah popular sekitar tahun 90-an, nama Rakan Muda ini mula tenggelam dan semakin kurang dikenali oleh belia yang lahir sekitar tahun 2000-an.

Memandangkan misi teras Rakan Muda adalah untuk melahirkan potensi tertinggi generasi muda demi pembangunan negara, ia adalah satu idea yang perlu diteruskan. Semestinya, dengan nafas baru dan program yang lebih sesuai dan dekat di hati belia masa kini, sesuai dengan perubahan zaman.

Rakan Muda diberi nafas baru oleh KBS, di bawah Kerajaan Madani

Jadi pada tahun lepas, Rakan Muda diperkenalkan semula oleh Kerajaan Madani. Dalam usaha memperkukuh jenama Rakan Muda pelbagai penambahbaikan yang meliputi pembangunan potensi dan semangat kesukarelawanan. Tujuannya supaya dapat memberi impak lebih menyeluruh dan positif kepada golongan belia masa kini.

Selaras dengan perkembangan teknologi masa kini, antara idea baru yang diperkenalkan adalah Rakan Demokrasi dan Rakan Litar. Ia adalah dua daripada 10 gaya hidup yang diperkenal sendiri oleh Hannah Yeoh melalui Kementerian Belia dan Sukan.

Pengenalan Rakan Demokrasi bersesuaian dengan keputusan kerajaan yang sebelum ini telah menurunkan hak mengundi kepada golongan belia berusia 18 tahun, manakala Rakan Litar pula diperkenal selari dengan populariti sukan permotoran yang semakin meningkat. 

Lapan lagi gaya hidup Rakan Muda ialah Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Muzik, Rakan Mahir, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin. 

Ini bertepatan dengan idea asal Progam Rakan Muda yang dizahirkan melalui “10 Gaya Hidup” mengadunkan elemen-elemen Pembangunan Minda, Pembangunan Kemahiran, Pembangunan Rohani, Pembangunan Kemasyarakatan dan Kecergasan Fizikal.

Rakan Muda di Pahang bukti kejayaan awal inisiatif KBS

Setahun berlalu selepas pelancaran semula program Rakan Muda ini, nampaknya program Rakan Muda di Pahang baru-baru ini menunjukkan keberhasilan awal mengikut landasan, seperti yang diinginkan semasa pelancaran semula pada pertengahan tahun lalu. 

Tak terhenti di situ, inisiatif Rakan Muda oleh Kerajaan Madani ini juga diharap mampu menarik minat lebih ramai anak muda dan menyasarkan penyertaan lebih sejuta belia, dan mampu dibangunkan dan berkembang secara organik di setiap daerah dan negeri di seluruh Malaysia.

Malah Hannah yakin, sekiranya semua kemahiran ini diperkasakan lagi, ia mampu menjadi peluang pekerjaan bagi golongan belia di Malaysia kerana di bawah Rakan Muda, ada pelbagai sektor yang boleh membuka peluang dan platform kepada mana-mana individu dan pertubuhan untuk terlibat secara langsung.

Recommended Posts