Kedudukan Malaysia naik dalam Ranking Daya Saing Dunia 2025. Apa kepentingannya kepada Malaysia?

Ketika dunia bergelut dengan ketidaktentuan geopolitik dan kelembapan ekonomi, Malaysia tampil dengan berita yang menyuntik harapan. Dalam Ranking Daya Saing Dunia 2025 oleh IMD (Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa, Switzerland), Malaysia melonjak ke kedudukan ke-23, naik 11 anak tangga daripada tahun sebelumnya. Ini menjadikan Malaysia antara negara yang menunjukkan peningkatan daya saing tertinggi di dunia.
“Dalam kalangan negara ASEAN, hanya lima negara yang tersenarai, dan Malaysia berada di kedudukan kedua selepas Singapura, mengatasi Filipina, Thailand dan Indonesia,” ujar Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Ranking IMD ini berdasarkan empat kriteria: prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan, dan infrastruktur. Malaysia mencatatkan lonjakan ke tangga ke-4 dunia dari segi prestasi ekonomi, manakala kecekapan kerajaan dan perniagaan masing-masing meningkat 8 anak tangga.
Antara pendorong utama ialah kemasukan besar pelaburan dalam sektor semikonduktor dan elektronik. Menurut Malaysian Investment Development Authority (MIDA), jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2024 mencecah RM378.5 bilion, paling tinggi dalam sejarah negara. Daripada jumlah itu, RM48.1 bilion disumbang oleh sektor semikonduktor, menandakan kepercayaan global terhadap Malaysia sebagai hab teknologi utama rantau ini.
Beberapa nama besar telah memperluas operasi mereka:
•⁠  ⁠Intel melabur lebih RM30 bilion di Pulau Pinang dan Kedah.
•⁠  ⁠Infineon memperbesar fasilitinya di Melaka dengan RM25 bilion.
•⁠  ⁠Amazon Web Services dan Microsoft membina pusat data dan AI hub.
•⁠  ⁠Syarikat seperti Texas Instruments dan ASE Group turut menambah pelaburan.
Pelaburan ini bukan berlaku dalam vakum. Ketegangan geopolitik Amerika Syarikat–China telah memacu strategi mencari negara neutral yang stabil. Malaysia, dengan lokasi strategik, infrastruktur canggih dan dasar pelaburan yang mesra industri, menjadi pilihan utama.
Namun, satu faktor penting yang memperkukuh daya saing Malaysia ialah pengurangan rasuah dan reformasi birokrasi. Menurut Transparency International 2024, skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) meningkat kepada 50/100, naik dari kedudukan ke-47 pada tahun sebelumnya. Kedudukan global turut naik ke tangga ke-57 daripada 180 negara.
IMD turut mengiktiraf peningkatan dalam kategori kecekapan kerajaan, termasuk perundangan yang lebih telus, kecekapan fiskal dan ketelusan dalam pentadbiran. Antara langkah yang menyumbang:
•⁠  ⁠Pendigitalan perkhidmatan awam seperti e-Tanah, e-Procurement.
•⁠  ⁠Penguatkuasaan SPRM terhadap kes berprofil tinggi.
•⁠  ⁠Pelaksanaan dasar perolehan yang lebih terbuka dan kompetitif.
Kesemua ini memberi isyarat jelas kepada pelabur: Malaysia kini lebih bersih, lebih cekap, dan bersedia memacu pertumbuhan ekonomi berkualiti tinggi.
Kesan kepada rakyat? Sangat ketara. Lebih 88,000 peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan dalam sektor elektrik & elektronik (E&E) antara 2024–2026. Gaji sektor ini juga tinggi dan menawarkan prospek masa depan yang cerah. Malah, universiti dan politeknik kini melihat peningkatan kemasukan pelajar dalam bidang teknologi, kejuruteraan dan AI.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia juga mencecah 5.1% pada tahun 2024, melepasi ramalan Bank Dunia. Dividen KWSP turut naik ke 6.3%, berbanding 5.35% pada tahun sebelumnya. Kadar pengangguran pula jatuh ke paras pra-pandemik sekitar 3.3%, membuktikan pemulihan yang kukuh.
Kesimpulannya, peningkatan ranking IMD ini bukan sekadar angka di atas kertas. Ia adalah gambaran bahawa dasar-dasar ekonomi MADANI mula menunjukkan hasil, dan Malaysia sedang menuju ke arah sebuah ekonomi maju, bersih dan inklusif.

Recommended Posts