Reformasi 2.0 dilancar, penerus perjuangan rakyat menentang UMNO-BN

KAJANG, 22 MAC: Pakatan Rakyat (PR) semalam melancarkan gerakan Reformasi 2.0 bagi meneruskan perjuangan rakyat menentang kezaliman kerajaan UMNO-BN selama lebih 50 tahun di tampuk kuasa.

Gerakan itu tercetus selepas mahkamah menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berikutan kes fitnah liwat 2.

Kira-kira 10,000 hadirin pelbagai kaum membanjiri Stadium Kajang bagi menyertai acara penuh meriah itu.

Lebih mengujakan, rata-rata hadirin terdiri daripada golongan muda, yang kebanyakannya masih di bangku sekolah ketika Reformasi pertama pada 1998, apabila Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Anwar selepas melancarkan Reformasi 2.0 menggesa seluruh rakyat Malaysia menentang salah guna kuasa UMNO-BN, terutama dalam menjadikan institusi kehakiman sebagai alat untuk kekal berkuasa.

“Jumaat (7 Mac) saya (dijatuhkan hukuman), Isnin (10 Mac) Karpal Singh dan sekarang beratur yang lain. Anthony Loke (Setiausaha Publisiti DAP), Rafizi Ramli (Pengarah Strategi PKR), Syed Azman (Ahli Jawatankuasa PAS Pusat) dan puluhan lagi.

“Negeri apa ini? Saudara nak biarkan samseng ini terus berkuasa?” katanya dan disambut laungan “tidak” oleh hadirin.

“Kamu boleh fitnah sebanyak mungkin, guna jentera sebanyak mungkin…Rakyat tetap bangkit gulingkan kamu daripada tampuk kekuasaan,” tegasnya lagi.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang pula dalam ucapan ringkasnya menggesa hadirin memberikan kemenangan besar kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam PRK Kajang, Ahad ini (esok).

Katanya, kemenangan Dr Wan Azizah membawa pengertian besar, melangkaui sekadar memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang yang baru.

“Dengan kemenangan besar Kak Wan untuk selamatkan Anwar dan Karpal daripada kezaliman, untuk selamatkan Parlimen dan negara kita,” katanya.

‘Kegelapan’ di bawah UMNO BN

Sebelum Anwar berucap, pengacara Badrul Hisham Shaharin meminta urusetia memadamkan lampu stadium, menggambarkan ‘kegelapan’ negara di bawah UMNO-BN.

Diiringi lagu ‘Teman Sejati’ nyanyian kumpulan nasyid Brothers, beliau mengimbas kembali peristiwa pemecatan Anwar yang menjadi pencetus dan simbol kebangkitan rakyat melawan UMNO-BN.

Beliau kemudian menjemput Dr Wan Azizah selaku calon PRK Kajang untuk menyampaikan ucapan.

Wan Azizah menyatakan rasa terharunya kepada sokongan yang ditunjukkan hadirin dan mengajak rakyat untuk bersama-sama dalam perjuangan.

“Marilah kita semua bertekad demi negara, berjuang untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Antara pimpinan Pakatan yang hadir dan berucap adalah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Naib Presiden PKR, Tian Chua merangkap pengarah program itu. -Roketkini.com

Recommended Posts