Respon terhadap penukaran hari cuti Johor dari Jumaat kepada Ahad

462749670 1063290575168922 5673210511778406732 n

1. Saya menyeru agar tiada pihak yang sewenang-wenangnya mengheret titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkaitan penukaran hari cuti hujung minggu negeri ini dari Jumaat kepada Ahad sebagai mewarisi ‘peninggalan penjajah’.

2. Jika alasan ini digunapakai, adakah anda akan turut menyatakan bahawa sistem beraja di negara kita sebagai mewarisi peninggalan penjajah juga? Bagaimana pula dengan amalan sistem demokrasi dan pilihan raya? Bagaimana dengan sistem parlimen? Tidakkah ini semua diwarisi penjajah?

3. Jadi saya ingin bertanya, apakah mesej sebenar yang anda ingin cuba sampaikan kepada masyarakat?

4. Sememangnya ada cabaran yang perlu diatasi berkaitan penukaran ini memandangkan Johor mengamalkan cuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu sejak 10 tahun lalu. Namun ia tidak boleh menjadi lesen kepada mana-mana pihak dengan semudah-mudahnya memanipulasi perlaksanaan cuti Sabtu dan Ahad ini dengan konotasi negatif.

5. Kita harus ingat, bukan segala perkara yang ditinggalkan oleh penjajah atau apa-apa juga pengamalan golongan terdahulu sebagai suatu yang tidak baik. Ambillah pengajaran dari Hadith “Hikmah itu adalah barang yang hilang dari orang mukmin, ambillah ia jika kalian temui”.

6. Meski ramai ulamak menyatakan hadith ini sebagai lemah, namun umum nas-nas dari Al-Quran dan Hadith yang lain telah menyokong intipati hadith ini yang membawa maksud; Apa sahaja perkataan atau tindakan yang bermanfaat meskipun bukan dari tradisi Islam, tetap boleh digunapakai asal ia tidak bercanggah dengan nas.

7. Jadi sekiranya kita bimbang penukaran hari cuti dari Jumaat kepada Ahad seakan-akan menghakis ‘keIslaman’, itu tidak benar sama sekali.

8. Dalam ayat 9 Surah Al-Jumu’ah, Allah mengarahkan orang beriman agar bersegera menunaikan solat Jumaat dan meninggalkan aktiviti jual beli apabila mendengar azan. Bahkan ayat berikutnya telah menyeru orang beriman supaya kembali bertebaran di muka bumi untuk menjalankan urusan dan mencari apa sahaja yang dihajati dari limpah kurnia Allah.

9. Ini bermakna, bukan soal cuti pada hari Jumaat yang menjadi ukuran keIslaman, akan tetapi menjurus kepada ibadah khusus solat Jumaat itu sendiri.

10. Dalam hal ini, kita tidak bimbang kerana titah Pemangku Sultan Johor cukup jelas agar semua syarikat-syarikat swasta, pihak kerajaan serta pihak yang berkaitan memberi ruang dan masa yang secukupnya untuk orang Islam menunaikan solat Jumaat pada waktunya.

Sheikh Omar Ali
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP
Naib Pengerusi DAP Johor

Recommended Posts