Respons Terhadap Kenyataan CodeBlue Berkaitan Program Rakan KKM: Young Syefura Seru Penstrukturan Semula Sistem Kesihatan Awam Secara Holistik

whatsapp image 2025 07 08 at 15.14.45
Jika kita lihat dari kajian, untuk tahun ini saja kita punyai defisit sebanyak 10,798 doktor pakar, yang mana defisit doktor pakar perubatan keluarga merupakan yang paling tinggi. Menjelang 2030, kita memerlukan sebanyak 79,931 doktor perubatan (keseluruhan) dengan 22,435 daripadanya ialah doktor pakar.
Bagi saya, sepertimana yang pernah dibangkitkan oleh pihak lain juga, ada 3 perkara utama yang perlu diberi perhatian dan ditangani :
1. Kemampanan kewangan kesihatan awam perlu diperkukuh dengan meningkatkan perbelanjaan kesihatan kita kepada 5% daripada KDNK negara seperti mana yang telah dinyatakan di dalam Kertas Putih Kesihatan. Ini termasuk menilai semula struktur fi semasa di fasiliti kesihatan berdasarkan kemampuan serta meneroka dengan lebih meluas kerjasama sektor-awam swasta dalam memberikan khidmat kesihatan. Initiatif Rakan KKM yang sedang dilakukan dengan kerjasama GLIC merupakan satu usaha yang baik untuk menawarkan perkhidmatan “ekonomi premium” di hospital awam terpilih. Ia memberikan saingan yang sihat kepada sektor swasta serta peluang tambahan pendapatan kepada petugas kesihatan bagi meningkatkan motivasi dan kecemerlangan perkhidmatan mereka serta memberikan keupayaan kewangan yang lebih kukuh dan mampan kepada sektor kesihatan awam tanpa menjejaskan akses perubatan kepada golongan rentan.
2. Selain faktor kewangan, kerajaan juga perlu memastikan kerjasama rentas kementerian yang utuh dalam membuat perancangan keperluan tenaga kerja kesihatan. Ini kerana, beberapa tahun lalu, kita menghadapi krisis lambakan graduan perubatan terutamanya graduan IPTS kerana kadar perjawatan yang terhad. Akibatnya, kerajaan terpaksa mengambil banyak doktor kontrak dan berlaku kekangan untuk diserap kepada lantikan tetap. Kini, bilangan pelajar perubatan mulai berkurang saban tahun, menyebabkan unjuran kekurangan tenaga pakar semakin meningkat menjelang 2030. Dengan berkuatkuasanya Akta Perubatan (Pindaan) 2024, pendaftaran pakar melalui “parallel pathway” telah diperkemas dan diperkukuhkan bagi memastikan laluan kerjaya yang jelas dan menyediakan akses yang lebih meluas kepada doktor pakar yang berkualiti. Tempoh housemanship pula sedang dirancang dan dicadangkan untuk dikurangkan kepada hanya setahun dengan syarat kualiti latihan ditingkatkan. Ini sudah tentu akan menggalakkan lebih ramai pelajar yang berminat untuk menyambung bidang pengajian perubatan sekiranya penempatan dan perjawatan dijamin, insentif gaji dan elaun yang setimpal serta budaya kerja kesihatan awam yang sihat dan bebas dari kes buli dan persekitaran yang toksik.
3. Tidak dapat tidak, kita memerlukan pendekatan “whole-of-nation” dalam menggalakkan pencegahan berbanding rawatan. Ini termasuklah kempen kesihatan dan budaya hidup sihat yang memerlukan pendekatan menyeluruh yang struktural seperti sistem budaya kerja yang seimbang , persekitaran perumahan yang sihat seperti taman permainan dan sebagainya, akses terhadap makanan sihat yang berpatutan serta tersedia secara meluas. Ini mestilah juga disertakan dengan peranan sosial media melalui pempengaruh yang sentiasa mengajak kepada budaya hidup sihat dan menggurangkan makanan bergula dan kolestrol tinggi yang menyebabkan peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan darah tinggi yang memberi tekanan berbillion ringgit kepada institusi kesihatan awam.
Tanpa pertimbangan perkara-perkara ini, krisis kekurangan doktor pakar, jururawat serta kesemua petugas kesihatan akan sentiasa berulang saban tahun dan sektor kesihatan awam akan sentiasa dihimpit kadar kewangan yang terhad, beban tugasan yang bertambah serta penghijrahan bakat dalam negara ke luar negara berlatar belakangkan inflasi perubatan yang meningkat, kadar populasi yang semakin menua serta kadar pesakit yang semakin bertambah.
Apa-apa pun, saya yakin kerajaan sedang dalam perancangan yang terbaik dan mengambil kira pandangan semua pihak.

Recommended Posts