RM132 Juta Yang Dibelanjakan Oleh 10 Pelatih Pembedahan Kardiotorasik, 7 Pelatih Pembedahan Plastik Dan 1,403 Pelatih Perubatan Keluarga Terancam Sekiranya Akta Perubatan Tidak Dipinda Untuk Merangkumi Latihan Kepakaran “Parallel Pathway”

441875492 998002898363133 3436969266475046179 n

Semua doktor warganegara Malaysia patut diberikan peluang untuk merealisasikan potensi penuhnya untuk menjadi seorang doktor pakar agar dapat memberikan rawatan perubatan terbaik kepada pesakit tempatan. RM 132 juta yang dibelanjakan oleh 10 pelatih pembedahan kardiotorasik, 7 pelatih pembedahan plastik dan 1,403 pelatih perubatan keluarga terancam sekiranya Akta Perubatan tidak dipinda untuk merangkumi latihan kepakaran “parallel pathway”.

DAP menyokong sepenuhnya cadangan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad Kerajaan meminda Akta Perubatan dalam sesi Parlimen pada Julai ini, untuk mensahihkan dan memperundangkan sistem Latihan Kepakaran Laluan Parallel atau “parallel pathway”. Pindaan Akta Perubatan perlu demi menyelamatkan nyawa pesakit tempatan yang kini berbaris-baris menunggu pembedahan dan rawatan daripada doktor pakar dalam hospital kerajaan.

449484569 1030416135121809 681340879424747831 n

449469577 1030416141788475 1171652784490385301 n

Di samping itu, “parallel pathway” merupakan satu saluran penting untuk melatih bakat yang paling cemerlang di kalangan doktor-doktor tempatan kita untuk menjadi doktor pakar yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Tidak gunanya kita hanya menjadi jaguh kampung dengan kepakaran kita hanya diiktiraf diperingkat tempatan.

Akhirnya perbelanjaan besar sebanyak RM 132 juta telahpun ditanggung samada oleh Kerajaan atau secara persendirian untuk Latihan “parallel pathway” yang tidak harus dibazirkan. Kita kena ingat bahawa warna kulit dan latar belakang tidak mengenali pesakit dan doktor yang berkelayakan.

Pesakit harus menerima rawatan terbaik tanpa kira kaum dan latar belakang doktor. Sebilangan besar doktor tempatan daripada semua kaum yang ingin jalankan latihan kepakaran lebih cenderung memilih saluran “parallel pathway”.

Perbelanjaan latihan kepakaran baik oleh Kerajaan mahupun secara persendirian dalam bidang kardiotorasik, pembedahan plastik dan perubatan keluarga sebanyak RM 132 juta akan sia-sia dibazirkan sekiranya Akta Perubatan tidak dipinda untuk mensahihkan “parallel pathway”. Anggaran perbelanjaan 132 juta kos latihan kepakaran di bawah “parallel pathway” oleh 10 pelatih pembedahan kardiotorasik, 7 pelatih pembedahan plastik dan 1,403 pelatih perubatan keluarga ini didedahkan oleh Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dalam jawapan bertulis kepada soalan Parlimen saya seperti berikut.

“ Tuan yang di-Pertua,

1. Jumlah Pegawai Perubatan yang sedang menjalani Latihan Kepakaran Laluan Parallel dalam bidang:

(a) Pembedahan Kardiotorasik ialah seramai 16 pelatih;
(b) Pembedahan Plastik ialah seramai 7 pelatih; dan
(c) Perubatan Keluarga ialah seramai 1403 pelatih.
– 1058 pelatih dari Fellowship of the Royal Australasian College of General Practitioners, (FRACGP)
– 345 pelatih dari Membership of The Irish College of General Practitioners, (MICGP)

2. Pegawai yang telah berjaya tamat Latihan Kepakaran Laluan Parallel bagi bidang Pembedahan Kardiotorasik adalah seramai 4 orang, Pembedahan Plastik 6 orang dan Perubatan Keluarga adalah seramai 102 orang (MICGP – 30 dan FRACGP – 72). Pegawai-pegawai ini masih belum didaftarkan dalam National Specialist Register (NSR) di bawah Majlis Perubatan Malaysia. Walau bagaimanapun, pegawai-pegawai ini sedang menjalani proses pewartaan pakar bagi sektor awam sahaja oleh Ketua Pengarah Kesihatan atas syor Jawatankuasa Khas Perubatan yang ditubuhkan di bawah Bab F Perintah-perintah Am.Pindaan Akta Perubatan 1971 sedang dijalankan bagi mengatasi isu pendaftaran pegawai ini sebagai pakar dalam Daftar Pakar Kebangsaan di bawah Majlis Perubatan Malaysia.

3. Kos Latihan seorang pegawai dalam bidang Pembedahan Kardiotorasik bagi tempoh enam (6) tahun pengajian adalah RM250,000.00 manakala seorang pegawai dalam bidang Pembedahan Plastik dalam tempoh empat (4) tahun pengajian adalah RM180,000.00. Bagi pegawai dalam bidang Perubatan Keluarga bagi tempoh empat (4) tahun pengajian MICGP ialah RM100,000.00 dan FRACGP ialah RM60,000.00.

Sekian, terima kasih. ”

Lim Guan Eng
Ahli Parlimen Bagan

Recommended Posts