
Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bukan sekadar dokumen dasar, ia adalah pelan tindakan lima tahun yang mencerminkan iltizam kerajaan untuk membawa perubahan menyeluruh yang berpaksikan rakyat. Dalam perancangan ini, sektor pengangkutan jelas menjadi antara fokus utama, menandakan pendekatan holistik Kerajaan Madani yang tidak meninggalkan mana-mana sektor kritikal di belakang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menegaskan bahawa pengangkutan bukan hanya soal jalan raya dan tren, tetapi merupakan nadi penghubung antara kesejahteraan rakyat dan daya saing ekonomi negara.
“Kalau kita dengar betul-betul, yang berhormat Perdana Menteri kita sebut beberapa inisiatif termasuklah tambang percuma untuk menggunakan bas berhenti-henti hampir di seluruh negara. Lepas itu, My50 untuk pengangkutan awam di Lembah Kelang. Mahasiswa pula, kita berikan bantuan untuk pelajar antara Semenanjung dan juga Sabah Sarawak. Ini memang akan diteruskan,” jelas beliau.
Bagi rakyat marhaen, insentif seperti tambang bas percuma, pas My50, dan bantuan FlySiswa merupakan kelegaan besar dalam menghadapi kos sara hidup. Namun RMK13 bukan sekadar tentang inisiatif bantuan. Ia mengangkat visi jangka panjang melalui transformasi pengangkutan dari sistem berasaskan jalan raya ke sistem rel yang lebih lestari.
Mengulas mengenai strategi Road to Rail, Loke berkata:
“Apa maksudnya? Maksudnya ialah kita nak memperbanyakkan lagi perkhidmatan menggunakan tren. Sama ada untuk membawa penumpang ataupun membawa barangan, kargo.”
Peningkatan jumlah kargo di pelabuhan negara menjadi indikator ekonomi yang rancak. Namun, ia turut membawa kesan kesesakan dan risiko keselamatan di jalan raya. Oleh itu, kerajaan merancang pelaburan besar dalam sistem rel dan tren baharu bagi mengurangkan beban jalan raya. Dalam RMK13, lebih 200 set tren baharu akan ditambah.
“Salah satu pendekatan baru yang kerajaan Madani bawa ialah menggunakan konsep ‘leasing’. Kita boleh mendapat set tren ini dengan lebih cepat kerana kita tak perlu bayar ‘upfront’,” tambah beliau.
Ini mempercepatkan proses perolehan aset tanpa beban kos tinggi di awal, selain turut menyertakan kos penyelenggaraan dalam pakej, mengelakkan isu kerosakan tren yang berpanjangan seperti yang berlaku sebelum ini.
Lebih jauh ke hadapan, Malaysia sedang mempersiapkan diri untuk menjadi negara pengeluar tren melalui kilang di Batu Gajah, Perak. Ini selari dengan visi RMK13 untuk menjadikan negara bukan sekadar pengguna, tetapi pencipta nilai dalam industri pengangkutan.
Anthony Loke memberi analogi menarik:
“Warung apabila nak diperbesarkan, nak beli mesin, nak beli kerusi meja baru… nak membesarkan warung kita menjadi restoran. Jadi, itu sama konsepnya dengan negara sekarang ini kita nak rancang.”
Inilah semangat RMK13. Daripada warung kecil, Malaysia mahu membina restoran bertaraf dunia, bukan sekadar melayani keperluan harian rakyat, tetapi meletakkan negara di peta pembangunan serantau dan global.
RMK13 bukan dokumen kosmetik. Ia pelan sebenar untuk membina infrastruktur fizikal dan sosial yang mampan. Dan dalam sektor pengangkutan, ia membuktikan bahawa Kerajaan Madani mendengar denyut nadi rakyat sambil memandang jauh ke masa depan.