
Saya mengambil maklum bahawa Dewan Undangan Negeri Sarawak telah meluluskan Rang Undang-Undang Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 pada 7 Julai 2025, yang menambah 17 kerusi baharu dan menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN kepada 99.
Namun demikian, sebagai wakil rakyat dari Sarawak di Parlimen Malaysia, saya ingin menyatakan pendirian bahawa apa yang lebih mendesak dan wajar dilakukan ketika ini adalah proses persempadanan semula kawasan pilihan raya yang adil dan menyeluruh, bukan sekadar menambah bilangan kerusi DUN.
- Keutamaan ialah semakan sempadan, bukan penambahan bilangan
Banyak kawasan Parlimen dan DUN hari ini melangkaui sempadan daerah dan kawasan PBT, menyebabkan urusan pentadbiran, pembangunan dan penyelarasan menjadi tidak efisien. Contohnya, kawasan Parlimen Santubong merentasi dua daerah iaitu Daerah Kuching dan Daerah Lundu serta melibatkan kawasan PBT yang berlainan. Akibatnya, rakyat sering mengadu kesukaran mendapatkan maklumat, menyampaikan aduan, atau berhubung dengan wakil rakyat kerana tiada pusat khidmat tetap yang boleh diakses secara praktikal dan dekat dengan mereka. Penambahan kerusi tanpa membetulkan asas sempadan yang sedia pincang hanya akan mengeruhkan lagi isu malapportionment dan gerrymandering.
- Fokus kepada pemulihan representasi Parlimen Sarawak
Saya juga ingin menggesa agar Kerajaan Persekutuan memulakan proses penambahan kerusi Parlimen Sarawak terlebih dahulu, iaitu antara 14 hingga 17 kerusi, bagi mengembalikan nisbah asal satu pertiga perwakilan Sabah dan Sarawak dalam Dewan Rakyat seperti yang dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963. Ini lebih mendesak daripada menambah kerusi DUN di peringkat negeri.
- Beban tugas bukan alasan untuk tambah kerusi
Alasan bahawa kononnya ADUN luar bandar terbeban kerana keluasan kawasan yang besar seperti yang dibahaskan oleh beberapa ADUN GPS tidak wajar dijadikan asas untuk menambah kerusi DUN. Hakikatnya, setiap ADUN, khususnya daripada pihak kerajaan, menerima peruntukan pembangunan yang besar, sekurang-kurangnya RM9 juta setahun, manakala kawasan DUN yang dimenangi pembangkang langsung tidak menerima sebarang peruntukan.
Lebih ketara lagi, terdapat 10 kawasan DUN seperti Opar, Tanjong Datu, Tasik Biru, Serembu, Tarat, Kedup, Bukit Semuja, Tebedu, Mambong dan Balai Ringin yang turut menerima geran khas daripada Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), dengan nilai sehingga RM150 juta bagi setiap kawasan. Sekiranya masih wujud kekangan dalam pelaksanaan pembangunan, penyelesaiannya ialah melalui penambahan projek dan peruntukan yang bersesuaian, bukan dengan menambah bilangan kerusi, terutamanya di kawasan luar bandar.
- Keseimbangan etnik dan kepadatan penduduk mesti dihormati
Proses persempadanan mesti mengiktiraf kepelbagaian komposisi etnik dan keseimbangan jumlah penduduk antara kawasan bandar dan luar bandar. Tidak boleh ada satu kaum atau kawasan yang terlalu dominan diwakili manakala yang lain semakin terpinggir. Prinsip “One person, one vote, one value” mesti menjadi asas utama dalam proses ini.
- Mesti telus dan libatkan rakyat
Akhir sekali, saya menyeru agar Kerajaan Sarawak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan proses persempadanan secara telus, inklusif dan berasaskan data awam. Proses ini mestilah terbuka kepada pandangan rakyat, NGO, pembangkang dan pakar bebas. Penambahan kerusi yang dilakukan secara unilateral tanpa konsultasi hanya akan mencetuskan ketidakpercayaan awam terhadap institusi demokrasi.
Mordi Bimol
Ahli Parlimen Mas Gading