Pada tahun 2016, aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza telah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) atas dakwaan bahawa beliau telah membuat hantaran komunikasi yang plasu sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Hantaran yang dibuat itu menjadikan parodi suatu notis yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai bentuk kritikan kepada SKMM dan pihak berkuasa pada ketika itu.
Pertuduhan terhadap Fahmi Reza adalah berpaksikan fakta bahawa SKMM tidak pernah mengeluarkan notis tersebut, maka oleh sebab itu hantaran tersebut dikatakan bersifat ‘palsu’.
Untuk kes tersebut, saya telah mewakili Fahmi Reza sebagai peguamnya. Pembelaan utama kami adalah bahawa hantaran Fahmi Reza itu adalah suatu bentuk parodi dan oleh yang demikian, ianya bukanlah ‘palsu’ di bawah Seksyen 233 Akta 588 dan tidak menjadi suatu kesalahan.
Di Mahkamah Sesyen, Puan Hakim yang bijaksana selepas mendapati bahawa terdapatnya kes prima facie, menyatakan dalam alasan penghakimannya bahawa walaupun hantaran tersebut adalah suatu parodi sekalipun, “…tiada apa-apa peruntukan di bawah Akta 588 yang memperuntukan bahawa parodi adalah suatu pembelaan dan pengecualian kepada kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta yang sama.”
Dalam erti kata lain, hantaran parodi (dan juga satira) jika memenuhi elemen Seksyen 233(1)(a) adalah suatu kesalahan jenayah.
Fahmi Reza telah disabitkan dan dikenakan hukuman penjara 1 bulan dan denda RM30,000, jika gagal 6 bulan penjara di Mahkamah Sesyen. Kami merayu ke Mahkamah Tinggi, dan akhirnya hukuman tersebut ditukar dengan mengenepikan hukuman penjara dan mengurangkan denda kepada RM10,000. Mahkamah Rayuan telah mengekalkan hukuman yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi.
Akan tetapi, sabitan terhadap Fahmi Reza dikekalkan di semua peringkat rayuan. Pembelaan berasaskan parodi kami tidak berjaya.
Semalam, RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 telah dibentang. RUU ini meliputi pelbagai aspek dalam Akta 588. Saya tidak bercadang untuk mengulas RUU ini secara menyeluruh.
Namun demikian, saya ingin merujuk kepada Fasal 91 RUU tersebut, iaitu cadangan pindaan kepada Seksyen 233. Dalam RUU, akan dimasukkan “Huraian” bagi memperjelaskan elemen-elemen seperti lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik sifatnya.
Huraian 4 bagi Fasal tersebut, berbunyi:
“…Kandungan berbentuk satira atau parodi atau dalam keadaan yang jelas bahawa ia ialah fiksyen, adalah tidak palsu”.
Maknanya, sekiranya RUU ini diluluskan, hantaran berbentuk satira dan parodi, seperti yang dihantar oleh Fahmi Reza 8 tahun lepas, tidak akan terangkum dalam elemen ‘palsu’ yang menjadi elemen kesalahan dalam Seksyen 233.
Kandungan yang ‘jelas’ merupakan fiksyen, juga tidak memenuhi elemen ‘palsu’.
Ada banyak lagi Huraian-huraian yang dicadangkan bagi memperjelaskan elemen-elemen Seksyen 233. Di samping itu, elemen jelik kita mempunyai ambang yang lebih tinggi untuk menjadi jenayah; bukan setakat ‘jelik’ sahaja tetapi jelik yang ‘melampau’.
Dalam hari-hari yang mendatang, RUU akan hebat diperkatakan dan dibincangkan massa. Akan ada yang setuju dan akan ada yang bantah.
Namun, dalam hal satira dan parodi, dengan pembentangan RUU ini, Kerajaan mengiktiraf bahawa keduanya adalah suatu bentuk penyampaian kritikan atau ulasan yang sah (legitimate), dan bukannya jenayah yang perlu dihukum.
Jika pindaan ini diluluskan, satira dan parodi dalam seni dan sastera akan lebih dilindungi. Inilah yang sepatutnya.
Syahredzan Johan
Ahli Parlimen Bangi
3 Disember 2024