RUU Perkhidmatan Parlimen 2025: Komitmen Terhadap Parlimen Yang Kukuh dan Berautonomi

0ec49f07 khoo poay tiong fbpic 150723

Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 akhirnya dibentangkan di Parlimen, menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuhkan institusi Parlimen Malaysia. Saya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Dato’ Seri Azalina Othman Said atas kejayaan ini.

RUU ini merupakan langkah signifikan ke arah mewujudkan sebuah Parlimen yang lebih kukuh dan berautonomi, sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh kerajaan-kerajaan sebelum ini.

RUU Perlu Ditambah Baik

Walaupun saya menyokong penuh RUU ini, saya mengakui bahawa masih terdapat ruang untuk penambahbaikan. Saya menghargai ketelusan Menteri Undang-undang yang mengakui perlunya penambahbaikan dan memberi komitmen bahawa perubahan akan dibuat dalam tempoh peralihan dua tahun.

Berdasarkan perbincangan dalam Dewan, termasuk pandangan daripada kedua-dua pihak Kerajaan dan Pembangkang, saya ingin merumuskan beberapa aspek utama yang perlu diperbaiki:

1. Akauntabiliti Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP)
– MPP harus dipertanggungjawabkan kepada kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
– Saya menyokong cadangan untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bersama (Joint Committee) bagi menasihat dan memantau tugas serta aktiviti MPP, termasuk isu kewangan Parlimen.
– Jawatankuasa ini juga boleh menjadi platform untuk mengumpulkan input mengenai belanjawan Parlimen.
– MPP perlu membentangkan laporan tahunan kepada Parlimen, termasuk penyata kewangannya, dan kewajipan ini harus dimasukkan dalam peraturan MPP serta diperkukuhkan dalam Akta Perkhidmatan Parlimen melalui pindaan seterusnya.

2. Ketelusan dalam Pengambilan Kakitangan
– Kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya nepotisme dalam pengambilan kakitangan perlu ditangani.
– RUU ini perlu menjamin dan melindungi ketidakberpihakan serta profesionalisme kakitangan Parlimen.
– Peraturan pekerjaan di Parlimen perlu merangkumi peruntukan yang menghalang nepotisme serta memastikan semua kakitangan menjalankan tugas secara saksama dan tidak berpihak.

Peranan JKPK dalam Memantau Pelaksanaan Penambahbaikan

Sebagai anggota Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, saya berharap JKPK akan diberi peluang untuk mendapatkan penerangan dan laporan berkala daripada Kumpulan Nukleus bagi memastikan penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

Komitmen Kerajaan Madani Diharapkan

Saya berharap Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi akan memberikan komitmen yang jelas dan spesifik untuk menyokong serta melaksanakan cadangan-cadangan ini. Penambahbaikan ini bukan sahaja mencerminkan kehendak kebanyakan Ahli Dewan tetapi juga memenuhi harapan masyarakat sivil terhadap reformasi institusi Parlimen di Malaysia.

Dengan sokongan dan usaha berterusan, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 diharap akan menjadi titik tolak kepada sebuah Parlimen yang lebih bebas, berkesan dan berintegriti dalam menjalankan peranannya sebagai institusi tertinggi negara.

Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka
Ahli JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi
5 Mac 2025

Recommended Posts