RUU Profesion Undang-undang (Pindaan) 2024 diluluskan Dewan Rakyat – bukti komitmen Kerajaan MADANI terhadap akses kepada keadilan

469503618 1034959295310354 4243255495706535501 n

1. Hari ini, Rang Undang-undang (RUU) Profesion Undang-undang (Pindaan) 2024 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat. RUU untuk meminda Akta Profesion Undang-undang 1976 (Akta 166) ini dinanti-nantikan oleh pengamal undang-undang dan sebahagian besar cadangan-cadangan pindaan ini datang daripada Majlis Peguam Malaysia.

2. Cadangan substantif di dalam RUU ini sudah lama dikemukakan oleh Majlis Peguam, bermula daripada draf RUU yang dihantar pada tahun 2019, dan kemudian suatu lagi draf pada tahun 2021.

3. Matlamat Majlis Peguam untuk membawa cadangan pindaan-pindaan ini adalah untuk menambahbaik profesion guaman. Ini dicapai dengan memodenkan amalan guaman, mempertingkatkan kebajikan para peguam dan memastikan bahawa terdapatnya akauntabiliti yang lebih tinggi dalam profesion guaman.

4. Dalam Fasal 12 RUU ini, terdapat cadangan untuk memasukkan Bahagian VA ke dalam Akta ibu, mengenai Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam.

5. Sebelum adanya Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan atau YBGK yang diberi dana oleh Kerajaan, Bar Malaysia sudahpun menjalankan skim Bantuan Guaman sejak tahun 1982.

6. Skim Bantuan Guaman Majlis Peguam ini dibiayai oleh para peguam yang akan memberi dana kepada pusat ini setiap tahun. Bantuan guaman pula diberikan oleh peguam sukarela yang tidak dibayar fii guaman.

7. Dengan RUU ini, Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam akhirnya dimaktubkan dalam undang-undang. Dengan cadangan pindaan ini Majlis Peguam mempunyai punca kuasa kukuh untuk mengendalikan Pusat Bantuan Guaman ini.

8. Cadangan untuk memasukkan Bahagian VA ini suatu pengiktirafan kepada usaha Bar Malaysia selama ini untuk memberikan bantuan guaman.

9. Selain itu, RUU ini juga mencadangkan supaya Pusat ini boleh mengeluarkan Sijil Bantuan Guaman kepada orang yang memerlukan bantuan guaman dan layak dan mereka ini akan dikenali sebagai ‘orang yang layak dibantu’.

10. Apabila suatu permohonan dibuat di bawah Seksyen 76G, menurut 76H yang dicadangkan, Pusat Bantuan Guaman akan memaklumkan Mahkamah dan prosiding digantung tidak melebihi 21 hari sementara siasatan dibuat Pusat Bantuan Guaman untuk menentukan sama ada pemohon itu layak mendapat bantuan guaman.

11. Sekiranya Sijil Bantuan Guaman ini dikeluarkan untuk pemohon, menurut Seksyen 76J, orang tidak boleh diperintahkan untuk membayar kos Mahkamah kepada mana-mana pihak.

12. Dengan pindaan ini, seseorang yang tidak berkemampuan masih boleh bawa tindakan undang-undang dan dilindungi daripada perintah untuk membayar kos.

13. Ini merupakan suatu anjakan paradigma yang mengubah cara kita mengurus pemberian bantuan guaman. Ia juga memberi perlindungan kepada orang yang layak menerima bantuan guaman.

14. Oleh itu, peruntukan Bahagian VA yang dicadangkan dan telah diluluskan ini benar-benar mendukung prinsip access to justice dan memastikan bahawa orang yang kurang berkemampuan juga boleh menegakkan hak mereka di Mahkamah.

15. Selain itu, kuasa yang diberikan kepada Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam untuk menentukan kelayakan, menggantung prosiding dan mengeluarkan Sijil Bantuan Guaman ini adalah suatu pengiktirafan dan penghormatan kepada semua peguam, daripada dulu sehinggalah hari ini, yang memberikan khidmat bantuan guaman dengan sukarela di bawah skim Bantuan Guaman Majlis Peguam.

16. Bar Malaysia selama ini telah membuktikan bahawa ianya boleh melaksanakan tanggungjawab dan ini menunjukkan keyakinan Kerajaan dalam institusi ini.

17. Penghargaan dirakamkan kepada Majlis Peguam, termasuk semua yang terlibat untuk merangka RUU ini dan membawanya kepada pihak Kerajaan.

18. Akhir sekali, RUU ini adalah suatu bentuk reformasi pentadbiran undang-undang yang telah direalisasikan di bawah Kerajaan MADANI ini dan membuktikan sekali lagi bahawa Kerajaan ini benar-benar mendukung reformasi.

Syahredzan Johan
Ahli Parlimen Bangi
9 Disember 2024

Recommended Posts