Saya ingin mengucapkan terima kasih atas komitmen penuh yang diberikan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek di Parlimen semalam untuk mempertimbangkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada murid-murid Tingkatan 6.
Langkah ini sangat dialu-alukan dan akan membawa perubahan positif kepada ribuan murid Tingkatan 6 yang selama ini menghadapi cabaran kewangan tanpa bantuan kewangan khusus.
Dalam belanjawan tahun 2024, Kerajaan telah memperuntukkan RM788 juta untuk BAP, yang akan ditingkatkan kepada RM791 juta pada tahun 2025. Bantuan ini bertujuan meringankan beban keluarga dalam penyediaan keperluan asas
persekolahan bagi semua pelajar sekolah.
Walau bagaimanapun, murid Tingkatan 6 sering terlepas pandang dalam mendapatkan sokongan yang diperlukan, berbanding pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Matrikulasi yang menerima elaun sara hidup. Dengan komitmen yang telah diberikan oleh Menteri Pendidikan, kita berharap bantuan ini dapat memberi dorongan kepada lebih ramai murid Tingkatan 6 untuk terus berusaha tanpa perlu terbeban dengan perbelanjaan harian yang boleh mengganggu fokus pembelajaran mereka.
Langkah ini juga mencerminkan keprihatinan Kerajaan dalam memastikan pendidikan yang lebih inklusif dan saksama untuk semua. Sebagai wakil rakyat, saya akan terus memantau perkembangan inisiatif ini dan berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin demi kesejahteraan murid-murid Tingkatan 6.
Terima kasih kepada Menteri Pendidikan atas komitmen ini, dan saya percaya ini adalah permulaan yang baik dalam usaha memperkasa pendidikan di peringkat Tingkatan 6.
Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka