Saranan KSN tentang pentingnya kita perbaiki perkhidmatan Jabatan Imigresen harus disokong

3ef0e2dc 6b33 424a 8707 020918442c93

Saya ingin menyatakan sokongan penuh terhadap saranan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar, yang menekankan betapa pentingnya kita memperbaiki perkhidmatan Jabatan Imigresen, terutama selepas menerima maklum balas negatif daripada pelancong-pelancong yang datang ke negara kita. Saya rasa saranan ini sangat tepat pada masanya dan seiring dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan integriti dan profesionalisme penjawat awam kita.

Dalam hal ini, saya ingin menegaskan yang saranan KSN ini tidak patut dipandang ringan oleh mana-mana pegawai yang mungkin kurang serius atau tidak kisah sangat dengan tanggungjawab mereka. Oleh itu, saya cadangkan agar pihak KSN ambil langkah tambahan dengan menghantar pegawai penyamar untuk buat pemeriksaan rambang terhadap kakitangan imigresen di barisan hadapan seperti di lapangan terbang, pelabuhan, kawalan sempadan, dan sebagainya. Ini penting sebab pegawai imigresen di titik pemeriksaan ini adalah gambaran pertama negara kita kepada pelawat asing. Sama ada mereka akan membawa cerita buruk atau menggalakkan orang lain untuk datang ke Malaysia, semuanya bergantung kepada kesan pertama yang mereka alami di sini.

Saya juga setuju dengan kenyataan KSN yang mengatakan bahawa pelancong sering dilayan dengan buruk oleh pegawai imigresen, seperti yang dinyatakan dalam laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, di mana Jabatan Imigresen mendahului senarai aduan berkaitan integriti tahun ini. Ini adalah satu perkara yang serius, sebab industri pelancongan adalah salah satu penyumbang utama kepada pendapatan negara kita. Tanpa sumber pendapatan ini, ekonomi negara boleh terjejas dengan teruk.

Oleh itu, saya menyeru agar tindakan disiplin yang tegas diambil terhadap mana-mana “kerbau membawa lumpur” dalam Jabatan Imigresen yang melanggar etika kerja. Mereka yang didapati bersalah bukan sahaja perlu dikenakan tindakan tatatertib, malah perlu dipecat supaya mereka tidak terus mencemarkan nama baik Jabatan Imigresen dan negara kita.

Terima kasih,
Lim Lip Eng
Ahli Parlimen Kepong

Recommended Posts