Sasar 10,000 pengundi sekitar Lembah Klang hujung minggu ini – Tony Pua

KUALA LUMPUR, 23 MEI – DAP akan menggerakkan kempen daftar undi di sekitar Lembah Klang mulai hujung minggu ini berikutan ura-ura kemungkinan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun ini, kata Setiausaha Penerangan DAP Tony Pua.

Pua mensasarkan sekurang-kurangnya lebih 10,000 daripada 737,000 akan mendaftar di dua kawasan tersebut dalam tempoh dua hari kempen.

“Kami mahu menarik lebih ramai orang. Harapan kami ialah untuk mendaftarkan lebih kurang 10,000 pendaftar baru,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

DAP akan menyediakan 12 meja pendaftaran di kawasan strategik mulai hujung minggu ini termasuk Petaling Jaya, Subang Jaya, Puchong, Serdang, Sekinchan, Kepong dan Damansara.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata beliau telah mendapat maklumat dari Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa 175,997 pengundi baru telah mendaftar pada suku terakhir tahun lalu di mana DAP telah mendaftarkan 22,589 orang.

“Manakala, sejak Januari sehingga April tahun ini, kita telah mendaftarkan 7,222 pengundi baru di Selangor saja,” jelasnya.

Beliau juga menegur “harga” yang perlu dibayar kepada SPR, iaitu RM13.81 untuk mendaftar seorang pengundi berbanding hanya RM1 sahaja dikenakan melalui parti politik yang diberi mandat oleh SPR.

“Ternyata gerak kerja SPR tidak efektif dan memakan kos yang tinggi. Sehingga hari ini, potfolio suruhanjaya itu kekal suram dan tidak memuaskan,” katanya.

Menurut Pua, SPR menjangkakan lebih 4 juta orang akan mendaftar sebagai pengundi di Malaysia.

“Rakyat Malaysia mempunyai kuasa untuk menentu masa depan, tetapi demokrasi yang diamalkan telah dilembamkan oleh sesetengah pihak.

“Parti politik pembangkang tiada pilihan lain selain mengendalikan sendiri proses pendaftaran (mengundi),” katanya.

Beliau turut menjelaskan pendaftaran pengundi memerlukan masa yang “panjang dan penuh pancaroba,” sambil mengingatkan bahawa sekurang-kurangnya lebih dari empat bulan diperlukan untuk dimasukkan dalam senarai mengundi.

“Ini kerana proses pendaftaran hanya dikemaskini setiap tiga bulan. Maka, kita berharap semua rakyat Malaysia untuk daftar mengundi secepat mungkin, agar rakyat dapat menunjukkan hak bersuara dan memilih kerajaan yang mereka mahukan,” katanya

Kempen DAP akan bermula pada Sabtu dan Ahad (28 dan 29 Mei) ini di:

Metro Point, Kajang (11pg-9mlm),

Waterfront, Desa Parkcity (10pg – 8mlm),

Klang Parade (10pg – 10mlm)

Market Kuala Kubu Baru (830pg-10.30mlm)

Pasar Pagi Pandan Perdana (8pg-11pg)* Sabtu sahaja

Pasar Taman Muda (8pg-11pg) *Ahad sahaja

Tingkat satu, One Utama, Petaling Jaya (10pg-10mlm)

PJ Digital Mall (10pg-9mlm)

Puchong IOI Mall (10pg-10.30mlm)

Restoran Sheng Hui Sekinchan (8pg-12ptg)

Mines Shopping Centre (11pg-9mlm)

Pusat Membeli Belah Empire, Subang Jaya (10pg-10mlm)

 

Recommended Posts