i
ada bulan di luar
bersih dan mekar
menyeberangi cahayanya
lewat malam baru.
untuk saat ini
tak mungkin aku pandai
memilih yang cantik
pemandanganku retak
oleh luka dalam
ii
bagaimanakah rupa kenyataan?
ataukah pernah ada bentuk padanya:
yang baik dipilih
dengan perasaan hormat,
untuk penyumbang dikarangkan
terima kasih dan diucapkan selamat,
yang sederhana disudutkan pada kebiasaan,
yang jujur dianjur menjaga nilai
yang berani dibenarkan berkata awal?
tapi ini semuanya mimpi,
dilayangkan oleh purnama,
kerana yang kulihat hanya kacau:
yang licik jadi ketua,
yang kejam jadi hakim,
pemuji dipangkatkan tinggi,
pemikir diawas-awasi.
sarjana dipencilkan ke bilik,
si rajin dituduh bercita-cita,
si malas merancang kuasa.
gelap dunia ini
rimba subur
membeli sopan dan seni
kudengar ketawa besar
dari daerah peniaga
dan terkelip senyum
pada sekutunya yang bertakhta.
tiada lukisan, tiada puisi.
lagu telah tenggelam di bawah arahan,
penari dirogol oleh pengurusnya.
iii
bulan luntur
abuk malam terpercik ke parasnya
yang tinggal waktu lebihan
tanpa cahaya atau bersihnya.
Bulan Luntur
25 Mei 1983, Muhammad Haji Salleh
Mengapa BERSIH?
11 JULAI – “Anwar Dalang Perhimpunan Haram”, “BN tak takut”. “Proses demokrasi salah”. Stadium Merdeka dikatakan ada simbol negara kita tetapi stadium itu jugalah yang akan dirobohkan untuk mendirikan bangunan 100 tingkat dan konsert Justin Bieber. Ah, itulah orang politik akhirnya terbelit dengan kata-kata dan perbuatan sendiri.
Di sisi lain, ada yang mengatakan orang Melayu itu seperti boneka yang dimainkan ‘bangsa’ lain. Itu juga hak mereka untuk bersuara walaupun kemudiannya akan digelar sebagai bebal.
Perhimpunan aman Bersih 2.0 diadakan di 18 buah bandar atau mungkin lebih di seluruh dunia yang melibatkan Australia, New Zealand, Korea Selatan dan lain-lain. Di Kuala Lumpur, perhimpunan 9 Julai itu bukan sahaja memperlihatkan wakil-wakil rakyat seperti Saifudin Nasution, Liew Chin Tong dan banyak lagi, tetapi juga bersama orang ramai yang basah dengan rahmat rabbal alamin.
Mungkin mengejutkan ramai orang, tetapi yang melaungkan kata-kata semangat, bukan oleh Melayu ‘boneka’ sahaja tetapi juga etnik Cina dan India. Inilah Malaysia yang rakyat perlukan. Tiada sempadan kelas, etnik, agama yang menghalang hasrat rakyat yang inginkan keadilan (atau dengan ‘K’ besar). Itu semua campak ke tepi. Tiada siapa-siapa lagi yang mampu untuk berkompromi dengan penindasan melainkan makhluk yang busuk.
Entah bagaimana, novel Shit karya Shahnon Ahmad cukup melambangkan kebusukan ini;
“Tapi begitulah bila PM (P**iMak) takutkan pada bayang-bayangnya yang tak pernah ternampak oleh sesiapa itu. PM sebenarnya takut pada dirinya sendiri. Kepala taik takut pada kepala taiknya sendiri. Inilah kedudukan yang sahih dan jitu. Begitulah bila berada dan berkuasa dalam sistem taik yang busuk lagi membusukkan.
Segala-galanya boleh ganjil, boleh luar biasa, pelik dan kadang-kadang langsung tak masuk akal kepala taik sesiapa; baik kepala taik para kepala atau kepala lutut bukan kepala, lebih-lebih lagi kelapa palat yang memang tak dapat melihat dan tak dapat mendengar realiti keliling itu. Bagaimana hendak melihat kalau mata pun tak ada. Bagaimana hendak mendengar kalau telinga pun tak ada. Kerjanya hanya berpandu kepala naluri saja. Dan kalau naluri pun busuk dan membusukkan juga?”
Perdana Menteri yang tercinta turun padang hanya selepas 24 jam perhimpunan diadakan petang Sabtu. Tidak cukup berani untuk berdepan dengan massa. Semalam, kelihatannya yang beramai-ramai bersama beliau itu hidungnya terletak, orang luar, mungkin orang yang sama dalam ‘perhimpunan’ Patriot itu.
Malah, berdasarkan borak kosong dengan orang awam, mereka mengatakan baju Patriot disebarkan dengan percuma kepada mamat-mamat Bangladesh di KL. NGO terus mengutuk perhimpunan ini seperti pengerusi silat gayong – Hishammuddin Rais kata taktik persilatan ghaib amat berkesan semalam.
Betullah kata Rosmah Mansor sebelum ini yang ditemu bual akan hal suaminya, PM kita ini pandai bergurau, jika lihat di berita TV3 jam 8 malam semalam, orang yang dimaksudkannya itu mungkin Khairy Jamaludin! Bukanlah ketua pembangkang.
Malah, kodok besar yang selama ini menyanyikan lagu sumbang, juga tidak ada petang Sabtu itu. Kodok itu seperti watak Encik Ghaffar*. Rakyat masih ingat kata-kata Ibrahim Ali yang sungguh-sungguh memberi amaran supaya orang Cina duduk rumah pada 9 Julai. Rupa-rupanya dia yang tak berani tunjuk muka.
Tanggal 9 Julai sudah cukup membuktikan pihak yang berani dan pihak yang kecut. Berani kerana benar, takut kerana salah, pepatah yang dirasakan sesuai dalam situasi ini.
BERSIH dan pakcik makcik dan anak-anak muda kacak serta jelita
Bersih 2.0 yang dikatakan hanya akan melagakan Melayu sesamanya, menjayakan agenda pembangkang, menjadi alat kepentingan politik dan macam-macam lagi, telah menunjukkan ia perayaan yang dikongsi rakyat multietnik, mereka berganding tangan melindungi satu sama lain, menghulur tangan bagi mereka yang tersungkur di jalan dan memberi garam, air mineral kepada yang lain.
Mereka yang berlainan etnik dan agama juga melindungi pakcik makcik dan anak-anak muda kacak dan jelita yang sedang melakukan solat. Mengerjakan solat di tanah tinggi, dalam hujan, tetapi tetap diganggu dengan tindakan polis FRU yang meneruskan arahan yang diterima mereka.
Di situ, hari itu cukup membuktikan rakyat telah menolak politik primordial yang berasaskan warna kulit, agama, ‘bangsa’. Mereka berkongsi agama berteras Cinta, mendahulukan kebajikan bersama daripada kepentingan diri.
Selain itu, orang kurang upaya juga didapati hadir dan bergerak bersama dalam laungan “Hidup Rakyat” “Daulat Tuanku” dan nyanyian lagu Negaraku. Kehadiran OKU perempuan juga sehebat bilangan lelaki. Mereka turun ke jalan, tidak seperti lagak Maria Sunari dan Musa Elba**.
Unit Amal juga mengawal lalu lintas, orang yang hadir walau pun beribu, membuka jalan kepada kereta-kereta, biarpun itu kereta polis! Pemandu, penumpang, malah mereka yang berada dalam monorail menyatakan sokongan mereka dengan membunyikan hon dan melambai-lambai. Siapakah yang dapat dibodohkan dengan berita “Bersih 2.0 tidak mendapat sokongan”?
“JKM dan polis menyelamatkan 17 anak yatim” Itulah tajuk berita yang diulang-ulang. Malah menurut Shahrizat Abdul Jalil, dia sungguh kesal apabila kanak-kanak dijadikan sebagai ‘human shield’.
Manusia itu cukup warasnya, yang gila itu mereka yang bermain-main dengan kuasa. Muslimah, amoi Cina juga India, marka-marka semuanya bersama dengan kawan, teman lelaki, keluarga.
Di mana letaknya keharusan bagi mereka-mereka ini turut membabitkan “bayi 7 bulan” seperti dijual berita. Yang berlaku semalam adalah FRU dengan senang hatinya menyembur air dan membaling gas pemedih mata kepada pelancong dalam pasar raya, di hospital Tung Shin, mereka yang mengerjakan solat di masjid, bapa yang sedang membawa anaknya berjalan-jalan di Kuala Lumpur – mereka yang tidak terlibat dalam perhimpunan ini.
Propaganda murahan media perdana
Seperti biasa, media TV1, TV2, TV3, NTV7, TV9, 8TV, Astro Awani dan banyak lagi tidak akan putus-putus menyaring dan memilih berita yang serasi dengan kepentingan rejim sedia ada. Bukan semalam, tetapi sejak minggu-minggu lepas.
Sekejap melaporkan kerugian peniaga sebanyak RM1 juta, sekejap RM100 juta? Setelah kerajaan mengarahkan peniaga-peniaga menutup kedai, kini melalui presiden Ikhlas dengan tag 1Malaysia di dadanya menawarkan khidmat percuma peguam kepada peniaga-peniaga?
Berita Harian juga tidak terlepas mempamerkan gambar pemuda memegang senjata berupa pisau semasa ‘perhimpunan haram’. Propaganda murahan itu tidak laku. Media bukan lagi satu.
Rakyat multietnik semalam membawa bunga, membawa cinta kasih dan diberi kepada alat-alat penguasa. Turut kelihatan juga belon-belon kuning yang berjoget-joget dibawa angin untuk menyampaikan mesej “balloons not bombs”.
Namun, itu dibalas dengan tuba; disiram dengan air dan gas pemedih mata. Tetapi sungguh Tuhan itu sangat belas kasihNya, dengan ar-Rahman dan ar-Rahim hujan turun dengan selebat-lebatnya sedang di kawasan lain seperti Gombak sedang panas seterik-teriknya. Angin bertiup ke arah trak-trak FRU yang bersusun, masih menyimpan hajat mencampakkan lagi gas pemedih mata.
Tambah menariknya, apabila media yang dijadikan aparatus kerajaan dalam mengabsahkan kata-kata dan tindakan kerajaan terus menipu orang ramai.
Antaranya, mereka yang menyertai perhimpunan ini dibayar sebanyak RM200? Dan mereka menggantungkannya pada kenyataan seorang ‘mangsa’ sahaja. Walhal, yang jelas berlaku semalam adalah ekspresi rakyat yang mencapai kesedaran atas penindasan yang mereka alami.
Gas pemedih mata dan tren rakyat
Pemerintahan BN selama lebih lima puluh tahun itu cukup untuk membuatkan siapa-siapa sahaja turun. Dan kini penganjur dan pengikut perhimpunan ini dikatakan “menderhaka/ mengkhianati perintah YDP Agong”, siapakah yang berdolak-dalih dalam hal ini?
Stadium tidak diberi, permit tidak dikeluarkan, pertubuhan Bersih diharamkan semata-mata yang di atas itu tidak mampu atau mahu mengabulkan tuntutan berkehendakkan pilihan raya bersih.
Orang ramai ada di Brickfields, ada juga di Hospital Tung Shin, dan ada juga yang memenuhkan jalan-jalan di hadapan KLCC, tertera ‘Daulat Tuanku’ di situ. Mereka duduk sambil mendengar ucapan.
Helikopter yang berlegar-legar di langit pun tidak mampu menutup suara dan telinga yang ingin mendengar. Ada juga yang sanggup keluar dari BMW mewah untuk duduk mendengar bersama. Ada yang bertumit tinggi juga melihat dari kejauhan.
Hari itu di sekitar Kuala Lumpur diakhirkan dengan ‘tren rakyat’. Semasa tiba di KL central pada malamnya, ramai yang meletak punggung di lantai menantikan pembohongan tepat jam 8 malam.
Mereka mentertawakan berita yang dilaporkan penyampai berita itu yang berkeurt-kerut dahi berpeluh sejuk. Jelas, Berita Utama TV3 hanya menjadi hiburan, bukannya kata-kata yang berfungsi sebagai alat hegemoni.
Semasa menuju pulang, ramai yang masih melaungkan “Hidup, hidup, hidup Rakyat!” dalam tren. Dan memberi laluan kepada orang lain, perempuan dan orang tua. Kata mereka ini tren rakyat, dan dengan senangnya perempuan masuk ke dalam gerabak bukan-perempuan.
Mereka bersama-sama mendengar kata-kata nasihat dan komen-komen orang tua yang juga penumpang. Gelak ketawa yang juga seolah difahami pelancong luar yang ada.
Budak-budak muda itu terus mendengar dengan leka dan menyatakan hormatnya. Mereka tahu mereka benar. Sesudah tiga orang tua itu turun di Bandar Tasik Selatan, kedengaran takbir dilaung berkali-kali.
Komuter berhenti di UKM. Khabar menyatakan FRU dan kereta black Maria telah menjadikan UKM sebagai tempat mereka keluar masuk. Universiti yang didirikan atas usaha rakyat, kini menjadi balaci penguasa yang zalim! Itulah mesej yang tertera di media baru seperti Tweeter, Facebook, WhatsApp.
Hak untuk bersuara
Tren tiba di stesen terakhir iaitu Seremban, pemandu teksi ketika ditanya juga menyokong Bersih 2.0 akan keperluan pilihan raya yang bersih kerana adanya penipuan melalui undi hantu, undi pos dan pengiraan.
Itulah pandangan Ravi (bukan nama sebenar) ketika ditanya. Dia amat prihatin dengan sistem pilihan raya sedia ada. Pemandu ini juga mengatakan harus bagi SPR menunaikan tuntutan ini, dan kerajaan BN tidak sepatutnya takut seperti yang semua nampak sekarang.
Mungkin juga pemandu Kalthom dan Ah Seng datang dengan komen yang sama atau pun di daerah lain Kata orang, jika satu perbuatan itu busuk, lambat laun akan terbau juga.
Walau bagaimana pun, tidak dinafikan ia mungkin menjadi landasan buat mereka yang mempunyai kepentingan politik tetapi ia juga hasrat warga, hak yang telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Hak untuk bersuara.
Penguasa bukan sahaja menggunakan berpuluh trak FRU tetapi polis dengan anjing buruan, polis berkuda di sekitar KL dan telah memberi amaran awal jika keadaan tidak terkawal, tembakan dengan peluru juga akan dibenarkan.
“Dispersed or we’ll shoot” itu tidak lagi hanya tembakan gas pemedih mata. Penguasa harusnya menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat dan melindungi semuanya bukan melindungi diri sendiri atau cuba memelihara status quo dan tembolok diri dan anak cucu cicitnya.
Teringat akan kata Tamrin Gil:
“Kita duduk dalam dunia semacam inilah – dunia bom, dunia khuatir, dunia koyak-rabak. Dan dalam dunia begini orang semuanya terkejar-kejarkan nama, pangkat, kekayaan dan segala kesenangan, mengejar dan mengautnya sendiri-sendiri, menjadi manusia haloba dalam serba-serbi…”
Harapan yang ada kini, bulan tidak akan luntur daripada menerangi kegelapan dengan cahaya dan bersihnya. Jika tidak, akan ada lagi yang mengucapkan “Mi Ultimo Adios!”***.
Nota:
* Encik Ghaffar ialah watak dalam cerpen Tamrin Gil karya A. Samad Said. Encik Ghaffar ialah orang yang bersungguh-sungguh menjunjung kebudayaan Melayu dari hujung rambut ke hujung kakinya dan berharap benar orang Melayu lain juga begitu. Tetapi di rumahnya sendiri menjadi tempat perjumpaan untuk berdancing dengan orang-orang yang entah dari mana.
** Maria Sunari dan Musa Elba ialah watak dalam karya A. Samad Said berjudul Malam Merangkak ke hujungnya. Kedua-dua watak ini ialah pasangan kaya yang sedang hangat bercinta, dunia ibarat hanya mereka berdua sahaja. Tidak mempedulikan anak-anak yang mengejar kereta mewah itu.
*** Mi Ultimo Adios (Salamku Terakhir bagi Tanah Air) ialah sajak termasyhur Jose Rizal yang ditulisnya sebelum dihukum tembak mati tanpa mahu menggunakan penutup mata. Ia gugur semasa usianya 35 tahun.