Pelantikan Aru Bin Ayon, wakil dari Kampung Dusun Kubur di kawasan DUN Chennah, menandakan satu langkah bersejarah kerana buat pertama kalinya seorang wakil dari komuniti Orang Asli dilantik sebagai ahli majlis dalam pentadbiran tempatan Negeri Sembilan. Beliau yang berusia 60 tahun akan berkhidmat sebagai Ahli Majlis di Daerah Jelebu dalam negeri tersebut. Langkah ini bukan sahaja mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam memperjuangkan keadilan dan kepelbagaian, tetapi juga memperkukuh penyertaan komuniti Orang Asli dalam pentadbiran tempatan.
Upacara mengangkat sumpah tersebut berlangsung di hadapan Yang Dipertua Majlis Daerah Jelebu (MDJ), Tuan Abdul Rahim bin Aziz, semasa mesyuarat bulanan majlis tersebut. Pelantikan ini direalisasikan oleh ADUN Chennah merangkap Setiausaha Agung DAP, Sdr Anthony Loke Siew Fook, yang telah mencalonkan Aru Bin Ayon sendiri sebagai wakil komuniti Orang Asli.
Pelantikan ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Madani untuk memastikan penyertaan yang lebih inklusif dalam pentadbiran tempatan. Ia juga diharapkan bahawa lebih peluang dapat diberikan kepada komuniti Orang Asli untuk menyuarakan keperluan dan cabaran mereka secara langsung di peringkat kerajaan tempatan.
Dengan pelantikan ini, Majlis Daerah Jelebu kini dianggotai oleh wakil daripada pelbagai latar belakang, iaitu Melayu, Cina, India, dan kini Orang Asli. Komposisi ini mencerminkan semangat keharmonian antara kaum dan kepelbagaian yang diharapkan dapat membawa idea yang lebih kreatif dan menyeluruh dalam pentadbiran tempatan.
Dengan sejarah yang tercipta ini, mudah-mudahan ia membawa insipirasi kepada lebih ramai individu daripada komuniti Orang Asli untuk melibatkan diri dalam proses pentadbiran dan pembangunan masyarakat.