Kenyataan Akhbar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Pulau Pinang pada 7 Jun 2011
DAP berkeras menyatakan bahawa kesemua pelajar cemerlang SPM sewajarnya diberi biasiswa pengajian luar negara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan bukannya jaminan biasiswa pengajian ‘1Malaysia Development Berhad’ (1MDB) yang menawarkan pengajian di universiti awam tempatan dan universiti swasta tempatan sebagai langkah untuk berlaku adil terhadap pelajar tersebut, ganjaran sewajarnya berdasarkan prestasi cemerlang dan bukannya kepada pelajar yang mempunyai pencapaian sederhana serta menunjukkan komitmen negara mengekalkan tenaga kerja mahir dan berbakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengumumkan semalam, 500 geran khas pengajian akan diberikan oleh 1MDB kepada pemohon (JPA) yang gagal. Biasiswa bernilai RM7,500 setahun adalah untuk pengajian di universiti awam tempatan manakala bagi pengajian di universiti swasta tempatan dalam pengajian atau bidang kritikal akan diberikan biasiswa bernilai RM15,000 setahun dan RM7,500 bagi bidang lain.
Pada masa yang sama, DAP mengecam tindakan Kerajaan BN kerana gagal untuk menegakkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban dengan mengeluarkan butiran atau maklumat terperinci pelajar-pelajar yang telah mendapat tawaran biasiswa pengajian luar negara. Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek masih berdiam diri dan tidak memberi sebarang kenyataan berkaitan kegagalan menteri-menteri MCA untuk memberi biasiswa pengajian luar negara kepada kesemua pelajar cemerlang SPM. Chua sepatutnya membaca artikel oleh Datuk Seri Ong Tee Keat dalam Malaysiakini yang menyatakan bahawa kegagalan BN memberi biasiswa pengajian luar negara JPA kepada kesemua pelajar cemerlang SPM tersebut telah memberi tanggapan yang negatif kepada BN.
Kegagalan MCA dalam mendapatkan biasiswa tersebut yang juga turut dikritik oleh mantannya, Ong, sepatutnya menjadi isu tetapi sebaliknya MCA cuba mengalihkan perhatian umum dengan membuat serangan terhadap Kerajaan PR Pulau Pinang yang dikatakan menipu bahawa Pulau Pinang tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar cemerlang. MCA mendakwa Pulau Pinang mempunyai dana yang cukup besar untuk diberikan sebagai biasiswa pengajian luar negara memandangkan Pulau Pinang telah mendahului senarai pelaburan tertinggi pada tahun 2010 dengan nilai RM12.2 bilion.
Sekiranya MCA tidak mampu membezakan antara pelaburan luar negara dan pelaburan dalam negara dengan pendapatan, maka MCA tidak layak untuk menjadi sebahagian daripada jentera kerajaan. Pelaburan yang dimiliki oleh sektor swasta adalah untuk mencipta peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi, bukan menjana pendapatan Kerajaan Negeri untuk berbelanja. Mungkin para pemimpin MCA perlu menghadiri kursus asas kewangan. Tambahan pula, Kerajaan PR Negeri Pulau Pinang masih lagi cuba untuk membetulkan serta membersihkan penyalahgunaan kuasa dan salah laku sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM230 juta yang terpaksa ditanggung oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sehingga memaksa MPSP muflis secara praktikalitinya dan isu skandal tanah Tang Hak Ju yang menyebabkan Kerajaan Negeri terpaksa membayar RM40 juta.
Walaupun pendapatan terhad, Pulau Pinang masih lagi memberi pinjman kepada pelajar cemerlang universiti awam tempatan di Pulau Pinang yang layak mendapatkannya. Kerajaan PR Pulau Pinang turut menambah peruntukkan (bukan pinjaman) kepada pelajar-pelajar miskin sekolah-sekolah rendah dan menengah. DAP berjanji bukan seperti BN, bahawa semua pelajar cemerlang layak mendapat biasiswa pengajian yang saksama sekiranya Pakatan Rakyat (PR) menang pilihanraya akan datang dan mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Janji untuk memberi penghargaan biasiswa pengajian luar negara kepada semua pelajar cemerlang secara saksama adalah keperluan dalam memastikan Malaysia tidak berada dalam lingkungan ‘middle-income’ atau berpendapatan sederhana sebaliknya menjadi negara yang berada dalam lingkungan berpendapatan tinggi dengan pendapatan per kapita USD15,000 pada masa hadapan. Malaysia akan memberi gambaran yang salah sekiranya kita memberi penghargaan kepada pelajar yang sederhana berbanding pelajar cemerlang, tidak mempunyai ruang keadilan dan kesaksamaan kepada pelajar yang menonjol dan cemerlang serta secara berterusan membenarkan para cendakiawan dan cerdik pandai berhijrah. Masanya telah tiba untuk kita melabur usaha dan tekad kita untuk masa hadapan dengan membelanjakan puluhan bilion ringgit dalam melahirkan tenaga kerja mahir berbanding menghabiskan wang ringgit untuk rasuah dan projek-projek ‘gajah putih’ seperti pembinaan Menara Warisan seratus tingkat yang menelan belanja RM5 bilion.
LIM GUAN ENG