Semua pihak harus menghormati proses kehakiman; henti guna kepercayaan saya sebagai senjata politik

471343481 1131106385049034 1312897989763068485 n

Saya merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember 2024 yang menolak saman fitnah saya terhadap Tan Sri Musa Hassan.

Saya menghormati proses kehakiman, namun sudah pasti saya kecewa dengan keputusan tersebut. Peguamcara saya telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 26 Disember 2024. Saya telah mengarahkan peguamcara saya untuk memohon agar rayuan ini didengar dengan kadar segera.

Saya dinasihatkan oleh peguamcara saya bahawa belum ada alasan penghakiman bertulis penuh yang dikemukakan oleh Mahkamah Tinggi. Setakat ini, hanya terdapat alasan ringkas yang disenaraikan secara bertulis melalui sistem e-review mahkamah pada 23 Disember 2024. Oleh itu, adalah tidak wajar pada peringkat ini untuk membuat apa-apa kesimpulan tentang apa yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi secara keseluruhannya berserta alasan-alasannya.

kl43 26112024 hannah mahkamah 4834671 20241223123838

Saya difahamkan bahawa terdapat banyak mesej-mesej dan video-video Whatsapp yang bersebaran di luar sana yang telah mempolitikkan keputusan ini dan memberi gambaran bahawa saya berhasrat untuk memurtadkan orang Muslim dan/atau menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian. Ini tidak benar sama sekali.

Saya senantiasa menghormati dan mendukung Perlembagaan Persekutuan serta kedudukan Islam sebagai agama persekutuan. Terdapat sekatan undang-undang yang jelas terhadap penyebaran agama selain Islam kepada umat Islam di Malaysia. Saya telah mengangkat Sumpah Jawatan saya serta bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Ianya adalah Sumpah yang saya ambil dengan serius dan akan saya patuhi pada setiap masa.

Semua pihak harus menghormati proses kehakiman dan memastikan bahawa mereka tidak melakukan apa-apa yang melanggar undang-undang mahupun menjejaskan hak saya di hadapan Mahkamah. Laporan polis akan dibuat terhadap video-video/mesej-mesej berniat jahat yang mampu menjejaskan rayuan saya.

Sepertimana yang telah berlaku berkali-kali dalam kerjaya politik saya, kepercayaan saya sekali lagi dijadikan senjata politik oleh pelampau-pelampau agama di luar sana. Saya menyeru semua pihak untuk berdiri teguh membendung percubaan-percubaan ini dan untuk tidak menyebarkan mesej-mesej tersebut apabila mereka melihatnya dalam talian.

Hannah Yeoh
26 Disember 2024

Recommended Posts