9 JUN – Lumrah kejadian alam, manusia sememangnya berbeza dari segi fizikal, mentaliti dan gender secara amnya. Namun begitu, ibarat pepatah Melayu, “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat” dan kesepakatan ini telah menyatukan kita sesama manusia dalam sesebuah perkara.
Kesepakatan inilah yang bakal membina sebuah masyarakat dan negara untuk terus mencipta kejayaan serta kegemilangan. Walau pun begitu, tanpa mengenal saiz otak, ada kalanya kesepakatan ini goyah akibat persepsi dan interpretasi berbeda yang ditaakul oleh setiap minda individu manusia yang berakal. Hakikat ini adalah suatu intipati wajib dalam meneruskan kehidupan sebagai manusia mahu pun rakyat selagi hayat dikandung badan.
Pastinya kini, semua rakyat seolah-olah dapat menghidu rombakan pucuk pimpinan negara yang semakin hampir. Mulai dari hari ini, mata perlu tajam, telinga perlu peka, minda perlu pasti dalam mencorak masa depan yang lebih baik untuk anak-anak kita.
Dalam tempoh kurang dari 3 bulan, harga gula naik, harga elektrik naik, harga minyak tak sempat naik dan terbaru berkuatkuasa 11 Julai 2011, caj langganan stesen TV kabel monopoli swasta utama negara, Astro akan naik. Implikasinya, kos sara hidup kita semua makin meningkat dan membebankan. Pelbagai strategi terpaksa diatur dalam sesebuah perbelanjaan isi rumah demi memenuhi tuntutan kriteria kos hidup masa kini. Persoalannya, adakah semua pengorbanan kita sebagai rakyat ini berbaloi?
Kerajaan tidak menumpukan kepada agenda untuk lebih memperkasakan rakyat, namun lebih kepada agenda mencekik poket rakyat. Dalam masa yang singkat, rakyat terpaksa akur dengan hasrat kerajaan menaikkan pelbagai harga barang. Walau pun pelbagai penjelasan atau saranan diberi kepada rakyat, naik tetap naik dan rakyat tetap perlu berbelanja.
Apakah ini tidak boleh dianggap memperkosa rakyat lagi? Wajarkah subsidi ditarik sedangkan sebanyak 40 peratus isi rumah di Malaysia masih berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan? Antara tahun 2000 hingga tahun 2010, kadar kenaikan pendapatan isi rumah di Malaysia hanya 2.6 peratus dan ini tidak mampu dipadankan dengan kos sara hidup yang kian meningkat.
Mungkin terlalu banyak untuk diperjelaskan oleh pihak kerajaan sehingga terlupa menjelaskan isu di antara pengunduran Tan Sri Ani Arope, bekas Ketua Pegawai Operasi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang turut menyumbang kepada penarikan subsidi oleh kerajaan. Apatah lagi isu pemberian biasiswa JPA yang kini sedang hangat diperkatakan.
Pujian dan sokongan patut diberikan kepada inisiatif memperkasakan rakyat. Berbekalkan pengalaman mentadbir negeri kurang dari 5 tahun, kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang mampu memberi wang penghargaan warga emas kepada semua anak negeri yang berusia lebih dari 60 tahun.
Malah kini, inisiatif ini turut dipanjangkan kepada ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU). Elaun tambahan sebanyak RM100,000 setiap tahun kepada Guru Kafa dan pelbagai inisiatif lain yang memperkasakan rakyat patut disokong. Kenapa masih ada yang cuba menafikan inisiatif seperti ini adalah sangat tidak dapat difahami. Alangkah baiknya jika, golongan seperti ini menafi akan perkara yang membebankan rakyat dan bukan kepada perkara memperkasakan rakyat.
Terkini, Pusat Dialisis CAT pertama ditubuhkan dan ditempatkan di Balik Pulau. Berdasarkan statistic, Pusat Dialisis CAT ini akan diuruskan oleh pihak swasta sebanyak 48 peratus NGO sebanyak 40 peratus dan Kerajaan Negeri sebanyak 12 peratus.
Dengan hanya bayaran sebanyak RM30, pesakit dapat menikmati perkhidmatan di pusat ini. Mengapa? Satu lagi inisiatif bijak yang diambil oleh kerajaan negeri Pakatan di kala berlakunya peningkatan pesakit buah pinggang dan 6 buah pusat dialisis di Hospital Pulau Pinang sukar untuk memenuhi kehendak peningkatan tersebut. Wajarkah keprihatinan kerajaan negeri menjaga kesihatan rakyat ini dipolitikkan?
Adakalanya kita mungkin berbeza mazhab politik, namun jangan sampai kepentingan kita tergadai sebagai rakyat. Akibat marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Berilah ruang atau peluang kepada akal untuk menilai sesuatu perkara. – Roketkini.com