Sepuluh minit bersama Tony Pua

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua merangkap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara meluangkan sedikit masa dengan penyelaras Roketkini Mazir Ibrahim untuk berkongsi pandangan tentang isu-isu yang mengempiskan poket rakyat serta memenuhkan kantung para kroni UMNO-Barisan Nasional. Gambar-gambar oleh Wira Andika.

Apa pandangan saudara dengan isu-isu ekonomi semasa, terutamanya masalah tol lebuh raya?

Sejak Perdana Menteri Najib Razak mengambil alih kerajaan, beliau telah memperkenalkan program transformasi, tujuannya untuk meningkatkan pendapatan rakyat. Matlamatnya adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

Masalahnya ialah kita nampak perkara-perkara buruk yang berlaku sebelum ini, masih terus berlaku, kita tak nampak sebarang transformasi yang substansif itu berlaku. Kita hanya nampak skandal rasuah masih berterusan.

Contohnya isu tol. Konsesi terus diberikan secara rundingan terus kepada pihak-pihak tertentu (kroni) tanpa sebarang ketelusan. Apa yang telah terjadi ialah kerajaan telah menjual masa depan anak-anak kita kepada pihak suarikat tol tersebut.

Bagaiman masa depan anak kita di jual? Mudah saja. Kerajaan beri konsesi kepada pihak syarikat, bila tol siap nanti anak-anak kita kena bayar tol dengan kadar yang cukup tinggi, ini menjadi ironik dengan niat kerajaan yang mahu membantu rakyat tetapi dalam masa yang sama akan membebankan rakyat.

Kos Lebuh Raya Pantai Barat, kosnya RM3.1 bilion, kini selepas rundingan terus, kos semakin meningkat pula menjadi RM7.1 bilion. Jika kos meningkat, tentulah kadar tol juga akan meningkat. Malah tempoh konsesi pula meningkat dari 30 tahun kepada 60 tahun. Bagaimana mungkin kerajaan, selepas rundingan dengan syarikat lebuh raya telah menjadikan kos itu bertambah? Seharusnya semakin berkurangan, ini tidak lojik.

Kita tak nampak apa-apa perubahan dari segi persaingan dalam ekonomi. Hanya ada monopoli yang ianya menyebabkan harga barang terus tinggi. Hal ini berterusan, contohnya beras, ia dimiliki oleh Tan Sri Syed Mokhtar menerusi syarikat Bernas.

Mengapa hingga kini, sebuah syarikat saja yang terus memonopoli jualan dan import beras di Malaysia? Mengapa tidak boleh ada peniaga lain dibenarkan mengimport beras dan menjualnya sendiri. Inilah salah satu sebab mengapa kos sara hidup terus tinggi. Kerana monopoli dibiar dan dikekalkan. Begitu juga halnya denga gula.

Apakah punca keadaan ini berlaku?

Puncanya kerana Barisan Nasional mementingkan faedah kepada rakan-rakan mereka (kroni), bukan kepada rakyat. Kontrak diberi kepada syarikat yang ada kaitan dengan kepentingan politik BN.

Bayangkanlah sebuah syarikat yang untungnya sekitar RM28 juta, telah diberi kontrak RM7 bilion. Untung syarikat ini sangat kecil dan kerugian syarikat ini pula melebihi RM20 juta tetapi ia dapat kotrak berbilion ringgit. Inilah contoh kronisme.

Punca telah dikenal pasti, jadi bagaimana Pakatan Rakyat akan atasi isu ini untuk kepentingan rakyat?

Pertama, dalam isu tol. Bagi tol-tol yang kadarnya terlalu tinggi (tidak munasabah) atau untungnya keterlaluan, kita akan turunkan atau hapuskan tol-tol ini, mungkin tidak dalam tempoh 1 tahun, mungkin secara beransur-ansur.

Atau kita kaji semula tempoh konsesi tol yang mana ianya akan menguntungkan rakyat. Kita akan laksana secara praktikal kerana kerajaan akan bayar beransur-ansur kos pembinaan tol tersebut.

Bila Perdana Menteri membatalkan setengah dari kadar tol pada syarikat Grand Saga di Cheras, itu bukan penghapusan tol. Kerana kerajaan guna cukai orang ramai untuk bayar pampasan kepada syarikat tol itu.

Ini sebenarnya tak diperlukan kerana kerajaan boleh beli semula tol tersebut dengan kos yang agak rendah kerana syarikat tol sudah untung. Lepas ambil alih itu rakyat tak perlu bayar tol lagi. Tetapi, ini sebaliknya, rakyat masih tetap kena bayar.

Inilah cara kerajaan untuk terus memberi habuan kepada kroni mereka tetapi kerajaan memberi gambaran seolah-olah kerajaan sangat prihatin kepada rakyat dengan mengurangkan kadar tol. Ini muslihatnya.

Kedua, bagi lebuh raya yang akan dibina, kita akan buat secara tender terbuka. Ini penting kerana persaingan akan lebih sihat. Syarikat akan bersaing, siapa lebih tawarkan kos paling rendah, kadar tol paling rendah dan jangka masa konsesi yang paling pendek. Ini lebih telus dan berbaloi.

Contohnya penjualan tanah di Pulau Pinang, di Bayan Mutiara. Ia dibuat dengan tender terbuka.  Sungguh pun kerajaan menetapkan kadar harga dari RM80 tetapi apabila pakai rizab nilai menjadikan ianya sekitar RM200 kaki persegi (sekitar 2 kali ganda). Ini yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan, bukan kerajaan negeri.

Tetapi oleh kerana kita buat tender terbuka, pihak swasta telah membeli dengan kadar RM240 kaki persegi. Kerajaan negeri dapat untung lebih tinggi. Kalau beri secara rundingan terus (kroni), pasti pihak swasta akan membeli dengan kadar tersebut, malah pihak swasta akan dapat diskaun lagi. Ini merugikan kerajaan dan rakyat.

Kini kerajaan negeri Pulau Pinang dapat jual RM240 kaki persegi, untungnya sekitar RM1.1 bilion, Jadi RM500 juta kerajaan negeri ambil dan peruntukan untuk pembinaan rumah kos sederhana untuk rakyat. Inilah faedahnya.

Rumusan tentang isu skandal-skandal seperti skandal NFC, apa masalah sebenarnya?

Masalahnya mudah. BN tidak mempunyai azam politik untuk menghapuskan rasuah, pembaziran dan kronisme berterusan. Perdana Menteri terus menyokong kroni walau pun ternyata mereka telah salah guna kuasa. Mereka yang bersalah ini tidak takut kerana mereka dilindungi tanpa apa-apa pendakwaan di mahkamah, mereka tak perlu letak jawatan. Ini telah menjadi budaya dan mengakar dalam amalan politik BN dan UMNO.

Dalam skandal NFC, apa yang PR boleh cadangkan?

Bagi kita, jika benar-benar mahu tingkatkan hasil pengeluaran daging lembu dan hasil pendapatan penternak lembu, kita seharusnya berikan bantuan itu kepada para penternak lembu. Mereka ada pengalaman dan mereka ini ramai jumlahnya. Bukan memberi kepada satu syarikat yang tiada lembu dan tiada pengalaman menternak lembu. Syarikat ini tiada kelayakan.

Sebaiknya kita bantu semua penternak lembu. Tak perlu bagi RM250 juta. Sebaliknya sekitar RM 100 ribu pun sudah memadai untuk membantu mereka. Kita boleh dapat membantu sekitar 2,500 orang petani atau penternak lembu. Ini lebih praktikal kerana ramai yang dapat manfaatnya, bukan bantu hanya satu syarikat saja.

Apa halangan kita untuk keluar dari ‘middle income trap’ dan apa langkah-langkah yang boleh dibuat untuk mengatasinya.

Halangan paling besar ialah kerajaan tidak melabur semula keuntungannya ke dalam ekonomi. Tetapi apa yang berlaku ialah pembaziran, ketirisan, rasuah, pecah amanah dan lain-lain. Oleh itu, ekonomi kita tidak dapat berkembang ke tahap yang diharapakan.

Kedua, persaingan. Amalan perniagaan dalam negara kita adalah menerusi sistem kroni bukan kerana merit yang berdasarkan kecekapan syarikat. Dalam sistem kroni ini, yang benar-benar bagus, efsien atau cekap tidak mendapat tempat dan dipinggirkan.

Kalau kualiti syarikat kita tidak bagus, kita tidak dapat bersaing dengan syarikat antarabangsa dan kita tak dapat meningkat ekonomi kita. Ringkasnya, untung negara tidak dilabur semula ke dalam ekonomi dan kedua syarikat kita tidak berdaya saing kerana adanya sistem kroni.

Apa komen saudara apabila ahli politik menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC)

Inilah budaya politik UMNO BN. Tak kira sama ada berkemampuan atau tidak, saya tak nafikan mungkin saudara Khairy Jamaludin ada kemampuan (menerajui Perbadanan Usahawan Nasional Bhd – PUNB) tetapi bagaimana dengan Tan Sri Isa Samad (yang memimpin Felda)? Beliau ada reputasi dalam rasuah politik. Ini budaya yang perlu dihapuskan

Apa yang penting adalah lantikan itu mestilah berdasarkan kemampuan, merit dan ianya haruslah telus. – Roketkini.com

Recommended Posts