Serangan Fitnah Melampau: Tindakan Tegas Perlu Diambil

teo nie ching

Saya mewakili Wanita DAP dengan tegas mengecam serangan fitnah yang dilemparkan terhadap Ahli Parlimen Bukit Bendera, Saudari Syerleena Abdul Rashid melalui media sosial baru-baru ini.

Fitnah yang mendakwa beliau ‘berjuang menukar agama rasmi Malaysia’ dan ‘akan menyerang institusi Islam khususnya JAKIM’ adalah tidak bertanggungjawab dan berpotensi menimbulkan ketegangan serta perpecahan dalam masyarakat. Serangan-serangan seperti ini yang ditujukan khususnya kepada ahli Melayu dalam DAP, adalah kesinambungan daripada retorik berbahaya seperti ‘kafir harbi’ yang mesti dihentikan segera.

455279062 1064033705086244 1895660690469616908 n

Saya juga ingin tekankan bahawa fitnah terhadap wanita Melayu dalam DAP tidak hanya mencemarkan nama baik mereka, tetapi juga boleh membuka pintu kepada keganasan berasaskan gender. Kajian World Economic Forum (WEF) dalam laporan Gender Gap Index 2024 telah pun menunjukkan bahawa Malaysia menduduki antara tangga yang tercorot dari segi pemerkasaan wanita dalam politik. Jadi, bagaimana kita nak memerkasa lebih ramai wanita untuk sertai politik jika situasi fitnah sebegini terus berlaku?

Sebelum kita mendabik dada, inginkan kesaksamaan gender dan lebih ramai penglibatan wanita dalam politik, kita harus memperbaiki persekitarannya dahulu di mana wanita itu rasa selamat dan disokong untuk mara ke hadapan. Dan kerana itulah program seperti HERLEAD ialah mustahak untuk menyokong trajektori karier seseorang wanita itu dan ia juga menyediakan satu ekosistem di mana pertalian persaudaraan antara wanita itu boleh diguna dalam apa-apa situasi.

Akhir sekali, saya percaya bahawa pihak polis akan menjalankan siasatan secara telus dan adil terhadap laporan yang telah dibuat oleh Saudari Syerleena Abdul Rashid. Bagi pihak DAP Wanita, kami yakin bahawa kebenaran akan terbukti dan keadilan akan ditegakkan bagi menghentikan budaya fitnah yang semakin berleluasa ini.

Terima kasih.

YB Teo Nie Ching
Ahli Parlimen Kulai
Ketua Wanita DAP

Recommended Posts