Setahun Kerajaan Perpaduan: Apa pencapaian MOT di bawah Anthony Loke?

whatsapp image 2023 11 24 at 12.05.34 pm

Kerajaan Perpaduan amat komited terhadap agenda untuk mengawal kos sara hidup rakyat dan merancakkan ekonomi Malaysia. Saban hari, satu per satu bantuan diumumkan oleh pihak Kerajaan. Setiap kementerian seakan-akan berlumba-lumba untuk mengumumkan inisiatif masing-masing yang sudah tentu berpaksikan satu agenda utama, iaitu membantu rakyat.

 

Tidak ketinggalan juga bagi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang dilihat sebagai menteri yang rajin turun padang dan berusaha keras dalam menyelesaikan masalah mobiliti harian rakyat. Masih ingat tindakan Anthony yang membuat “spot check” servis perkhidmatan awam dengan menggunakan sendiri pengangkutan awam ketika waktu puncak tanpa pengetahuan pihak pengurusan Prasarana hanya beberapa hari selepas beliau diberikan mandat sebagai Menteri Pengangkutan?

 

Itulah uniknya seorang yang bernama Anthony Loke yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP. Kejayaan beliau dalam melakukan banyak pembaharuan sebagai Menteri Pengangkutan semasa pemerintahan Kerajaan Harapan selama 22 bulan yang lalu telah menyebabkan ramai rakyat Malaysia ternanti-nanti reformasi yang bakal dilakukannya selepas diberikan amanat untuk kembali dipilih sebagai Menteri Pengangkutan di bawah kabinet Kerajaan Perpaduan.

 

Sama seperti sebelum ini, Anthony Loke sekali lagi membuktikan bahawa beliau sememangnya layak untuk menjawat jawatan penting dalam kabinet Kerajaan Perpaduan, apabila banyak reformasi dan pencapaian yang berjaya dilakukannya dalam masa kurang setahun mengemudi Kementerian Pengangkutan (MOT). Berikut merupakan antara pencapaian dan reformasi utama Kementerian Pengangkutan di bawah Anthony Loke:

 

REFORMASI PENGANGKUTAN AWAM

  1. Kekerapan LRT laluan Kelana Jaya ditambah baik ke 3 minit pada waktu puncak

LRT laluan Kelana Jaya telah berjaya mencapai kekerapan satu tren setiap tiga minit pada waktu puncak pada penghujung bulan Oktober 2023 yang lalu, susulan operasi tiga buah tren baharu empat gerabak bagi laluan Kelana Jaya yang telah memulakan operasi pada September 2023 bagi meningkatkan kekerapan perkhidmatan waktu puncak.

 

2. Fokus keselesaan pengguna pengangkutan awam

Beberapa hari selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah meluangkan masa selama dua jam untuk meninjau sendiri keadaan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya ketika waktu puncak tanpa pengetahuan pihak pentadbiran Prasarana. Tindakan Anthony untuk membuat ‘spot check’ bagi melihat sendiri keadaan sebenar yang dilalui pengguna ini telah tular dan mendapat respon positif dari rakyat Malaysia yang memuji tindakan tersebut. Hasilnya, beliau mengarahkan agar kerja-kerja penyelenggaran fasiliti pengangkutan awam dibudayakan bagi memastikan kemudahan awam negara sentiasa berada pada tahap terbaik untuk keselesaan para pengguna.

 

3. Pelaksanaan koc wanita di MRT

Bagi meneruskan usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan penumpang wanita semasa menggunakan perkhidmatan awam, MOT telah memperkenalkan koc khas untuk wanita  di transit aliran massa (MRT) dengan permulaan membabitkan laluan Kajang bermula Oktober 2023. Selain MRT, MOT turut merancang untuk memperkenalkan koc khas untuk wanita untuk penumpang LRT juga selepas ini.

 

4. Pas percuma bagi pelajar sekolah dan OKU

Pengenalan pas perjalanan percuma MyRailLife adalah inisiatif MOT bagi membantu meringankan beban perbelanjaan pengangkutan kepada semua pelajar sekolah dan golongan OKU. Bermula 15 Februari 2023, semua pelajar sekolah tahun satu hingga tingkatan enam yang berumur dari tujuh tahun sehingga 19 tahun serta golongan OKU boleh menikmati perkhidmatan KTM Shuttle Timuran Sektor Gemas-Tumpat, KTM Komuter Sektor Lembah Klang dan KTM Komuter Sektor Utara secara percuma.

 

5. Inisiatif MyBAS50 Johor

Mac lalu, Anthony telah melancarkan inisiatif MyBAS50 bagi perkhidmatan myBAS Johor Bahru iaitu pelaksanaan pas bulanan tanpa had khas untuk rakyat Johor. Perkhidmatan ini merangkumi 19 laluan di lima koridor iaitu Kota Tinggi, Masai, Kulai, Gelang Patah dan Pontian. Dalam tempoh permulaan pelaksanaan pas MyBAS50, jumlah langganan telah mencapai sehingga 1,004 pengguna sebulan, selain menyaksikan peningkatan 40% purata penumpang bulanan sejak diperkenalkan.

 

INISIATIF PENGANGKUTAN DARAT

6. Pembaharuan lesen memandu sehingga 10 tahun

Mei lalu, MOT telah memperkenalkan inisiatif pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk tempoh 10 tahun dengan kadar bayaran istimewa. Ini bermakna, rakyat Malaysia kini boleh memperbaharui lesen memandu mereka untuk tempoh maksimum 10 tahun dan ini adalah antara inisiatif yang dilaksanakan oleh MOT di bawah pentadbiran Anthony Loke untuk mengurangkan beban rakyat.

 

7. Pendigitalan ‘roadtax’ dan lesen memandu

Bermula 10 Februari 2023, pemilik kenderaan persendirian tidak lagi perlu memaparkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau ‘roadtax’ dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian secara fizikal dan ia boleh dimiliki dan diakses secara digital melalui aplikasi MyJPJ. Pembaharuan tersebut dibuat susulan aduan orang ramai mengenai pelekat roadtax yang disifatkan leceh dan menyusahkan dan strategi pendigitalan ini adalah penyelesaiannya.

 

8. Had usia kenderaan e-hailing dilanjutkan dari 10 tahun ke 15 tahun

Dalam usaha mengurangkan beban sara hidup rakyat, Anthony Loke juga telah mengumumkan had usia maksimum penggunaan kenderaan dalam kelas teksi dan e-hailing dilanjutkan kepada 15 tahun daripada 10 tahun berkuat kuasa 1 Jan 2023. Jelasnya, walaupun had usia kenderaan ditingkatkan namun pemandu masih perlu memastikan aspek kebersihan dan keselamatan dipatuhi dengan membuat pemeriksaan berkala setiap tahun. Dengan pelaksanaan dasar baharu ini diharapkan agar dapat membantu meringankan beban para pemandu teksi dan e-hailing.

 

MARITIM

9. Perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang

MOT telah melancarkan feri ulang-alik yang lebih selesa dan canggih dari Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) ke Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth. Pelancaran empat buah feri baharu itu telah mencatatkan sejumlah 801,268 penumpang sehingga 31 Oktober 2023. Menurut Anthony, feri baharu itu dibangunkan dengan konsep baharu serta ciri-ciri keselamatan yang penuh dan ia juga dilengkapi dengan dua buah enjin yang boleh beroperasi dalam jangka masa panjang.

 

PENGANGKUTAN UDARA

10. Inisiatif FlySiswa

FlySiswa ialah inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar IPTA bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan. Ia dijangka bakal memanfaatkan lebih 56,000 pelajar. Sehingga 10 November 2023, seramai 50,041 pelajar yang layak dan sebanyak 35,519 baucar tiket telah dikeluarkan. Ini adalah bukti Kerajaan Perpaduan cakna keperluan rakyat, khususnya golongan pelajar.

Recommended Posts