Apabila YB V. Sivakumar mula menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Sumber Manusia hampir setahun yang lalu, mungkin beliau juga tidak sangka pelbagai cabaran yang bakal dihadapinya. Mana tidaknya, dengan bilangan pekerja formal seramai 16.31 juta di Malaysia setakat Jun 2023, semestinya tugas ini cukup berat. Syukur selepas masa yang diberikan, Kementerian di bawah naungannya kelihatan lebih aktif dalam isu-isu berkait dengan perburuhan, pembangunan kemahiran, pekerjaan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, kesatuan sekerja dan macam-macam lagi.
Kisah kejayaan KSM di bawah pimpinan YB Sivakumar boleh dibuktikan dari pelbagai anugerah, pencapaian, dan pelaksanaan yang dilakukan hanya dalam masa setahun.
Penerusan Legasi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah
Kementerian Sumber Manusia amat prihatin tentang kebajikan dan perlindungan golongan suri rumah apabila berlakunya bencana domestik serta apa-apa penyakit yang menjejaskan keupayaan suri rumah dalam menguruskan rumah tangga. Di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kementerian Sumber Manusia telah meneruskan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah untuk tahun 2023. Skim ini memanfaatkan golongan suri rumah dengan menawarkan perlindungan terhadap bencana domestik dan kecacatan semasa menjalankan tugasan sebagai suri rumah. Ini menunjukkan usaha Kerajaan Perpaduan untuk terus mengambil langkah yang progresif dan inklusif dalam memperkukuh perlindungan keselamatan sosial. Buat masa sekarang, terdapat 200,194 suri rumah yang telah berdaftar.
Penerimaan Anugerah Pengurusan IBS
Pada 15 November, Kementerian Sumber Manusia telah menerima Anugerah Pengurusan IBS (Sistem Binaan Berindustri) Terbaik Kos IBS Di Bawah RM1 bilion sewaktu Majlis Anugerah Pembangunan Negara Tahun 2023. Anugerah ini adalah untuk mengiktiraf usaha dan komitmen kementerian bersama jabatan-jabatan dan agensi yang berkenaan dalam melaksanakan projek pembangunan selaras dengan matlamat Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12. Ini bermaksud bahawa kementerian di bawah pimpinan YB Sivakumar cakna tentang kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Memperkukuh Pendidikan TVET di Malaysia
Di bawah naungan YB Sivakumar, kita telah saksikan pertukaran Memorandum Kerjasama Transformasi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional antara Kerajaan dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Syarikat Swasta. Peristiwa ini akan membawa kerjasama antara semua Institusi Latihan Kemahiran Awam dengan pihak GLC dan syarikat swasta dalam memperkasa dan memperkukuh pendidikan TVET di Malaysia.
Komitmen Kementerian Sumber Manusia terhadap pendidikan TVET juga dilihat melalui pelaksanaan Kursus Peningkatan dan Latih Semula Digital Tenaga Kerja (TVETDIGITAL) dimana program tersebut menyediakan kursus kemahiran berasaskan digital dan teknologi Industrial Revolution 4.0 (IR4.0) kepada pekerja-pekerja di semua Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia. Kursus ini bertujuan meningkatkan tahap produktiviti pekerja melalui aplikasi teknologi teknikal di samping meningkatkan kesiapsediaan industri menjelang IR4.0. Seramai 13,144 pelatih yang berjaya meraih manfaat daripada kursus yang dilaksanakan oleh Jabatan Tenaga Manusia ini, menjangkau sasaran awal mereka iaitu 3,200 pelatih.
Selain itu, ada juga usaha perluasan kursus jangka pendek yang merangkumi “Upskilling & Reskilling” di mana 78,788 pekerja telah dilatih melalui 3,007 kursus.
Dalam memperkasakan lagi industri TVET, KSM telah melancarkan Laporan Kolaborasi Industri-Akademia (IAC) yang melibatkan pelbagai pemegang taruh.
Meningkatkan Keberkesanan MYFutureJobs
Inisiatif MyFutureJobs yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO juga berjaya menempatkan seramai 108,177 individu dalam pelbagai sektor pekerjaan sejak permulaan tahun ini. MyFutureJobs bertujuan untuk menjadi penghubung yang kondusif antara majikan dan individu yang sedang mencari kerja di bawah satu platform bagi memudahkan proses mencari kerja. Bagi meningkatkan lagi keberkesanan MYFutureJobs, PERKESO juga telah menjalankan pelbagai karnival kerjaya bagi meluaskan lagi akses peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia. Seramai 200,514 individu berjaya mendapat penempatan.
Melakukan operasi menyelamatkan para pekerja yang terabai
Kementerian Sumber Manusia sentiasa cakna akan senario perburuhan negara dan sentiasa tegas dalam melawan amalan buruh paksa. Dengan itu, KSM di bawah naungan YB Sivakumar telah menubuhkan Jawatankuasa Menyelamat di bawah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung (JKTS) dan turut dibantu oleh agensi lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyelamatkan para pekerja yang telah menganggur selama hampir 3 bulan tanpa sumber pendapatan.
Usaha KSM tidak berhenti begitu sahaja, malah, KSM juga turut melaksanakan proses Pertukaran Majikan buat semua para pekerja yang teraniaya. JKTS selanjutnya melaksanakan proses pindah majikan di bawah Mesyuarat Permohonan Pertukaran Majikan Khas. Sehingga 9 November 2023, sejumlah 1058 pekerja asing terabai ini telah berjaya mendapat penempatan pekerjaan dengan majikan baharu. Selain itu, Operasi Bersepadu Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia telah melakukan pemeriksaan ke 24,858 premis pekerjaan.
Melakukan operasi terkejut Ops Pasar Borong di sekitar Kuala Lumpur
KSM bersama jabatan dan agensi berkaitan telah mempergiatkan pelaksanaan operasi dan penguatkuasaan di pasar-pasar borong berkenaan bagi mengatasi masalah amalan buruh paksa. Antara kesalahan yang diperiksa termasuk pelanggaran waktu kerja, tidak membayar gaji mengikut Perintah Gaji Minimum dan juga cara bayaran gaji secara tunai dan bukan melalui bank. Penguatkuasaan ini konsisten demi memastikan kebajikan para pekerja dipelihara dan keharmonian perburuhan negara terus diperkasa. KSM juga di bawah naungan YB Sivakumar menyasarkan agar Malaysia bebas daripada amalan buruh paksa menjelang tahun 2030.
Jelajah Madani Bersama Menteri Sumber Manusia
Program Jelajah Madani bersama Menteri Sumber Manusia, YB Sivakumar merupakan salah satu usaha Kementerian Sumber Manusia untuk mendekati masyarakat melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti temuduga kerjaya, pemeriksaan kesihatan, pameran agensi kerajaan dan macam-macam lagi. Program ini juga merupakan peluang berharga bagi anak muda untuk mencari peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran mereka.
Melancarkan buku Garis Panduan Mencegah dan Membasmi Amalan Buruh Paksa di Tempat Pekerjaan
Buku ini merupakan satu dokumen komprehensif bagi memberi panduan dan pendedahan kepada semua pihak berkepentingan khususnya majikan, pekerja, kesatuan pekerja dan pihak berkaitan mengenai buruh paksa. Garis panduan ini dirangka untuk menentukan secara jelas beserta perincian dan takrifan buruh paksa, petunjuk serta langkah ke arah mencegah amalan buruh paksa. Penerbitan garis panduan ini adalah antara usaha JTKSM dalam memenuhi komitmen di bawah Pelan Tindakan Nasional Buruh Paksa (NAPFL) 2021-2025.
Selain itu, terdapat juga booklet “Get It Right” (https://www.earthworm.org/campaigns/get-it-right) yang boleh diakses orang awam.