Nama Hannah Yeoh sentiasa menjadi perhatian sama ada sebagai ahli politik mahupun anggota kabinet kerajaan. Tiada siapa sangka, hampir setahun telah berlalu sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Belia & Sukan pada 3 Disember 2022 yang lalu. Pada mulanya, ramai yang memandang sinis kerana seorang wanita mengetuai sebuah kementerian yang sinonim dengan cabaran dan perlawanan.
Namun, beliau dengan jayanya menongkah arus serta memperbaiki mutu kementerian ini dengan cara kepimpinannya yang tersendiri. Tanpa menjanjikan bulan dan bintang, beliau fokus menyelesaikan masalah dan memperkukuhkan inisiatif serta program-program yang memberi impak kepada industri sukan khususnya, dan rakyat Malaysia secara umumnya.
Sewaktu hari pertama menjejakkan kaki di KBS, beliau telah berjanji untuk fokus lima kerangka iaitu sukan dapat diakses untuk semua, keadaan yang selamat kepada atlet, kebajikan atlet, memperkasakan program sedia ada dan aspek belia.
Melalui lima kerangka inilah, kita dapat melihat dengan jelas reformasi-roeformasi yang berjaya dikecapi dalam masa lebih kurang setahun mengemudi kementerian ini. Berikut merupakan senarai reformasi yang berjaya diusahakannya:
1) Kod sukan selamat untuk melindungai persekitaran sukan & atlet
Kod Sukan Selamat telah dilancarkan sebagai panduan dan rujukan kepada Komuniti Sukan mengenai skop sukan selamat dan tanggungjawab Komuniti Sukan secara jelas dan menyeluruh.Kod ini juga memberi tafsiran kepada jenis-jenis salah laku yang berlaku dalam sukan berpandukan kepada garis panduan antarabangsa dan juga undang-undang tempatan. Pelancaran ini adalah bukti bahawa Hannah Yeoh dan kementeriannya memberi komitmen agar persekitaran sukan kita bebas daripada segala bentuk penderaan dan gangguan seterusnya meningkatkan tahap pencapaian sukan negara di peringkat antarabangsa.
2) Townhall dengan atlet untuk dengar sendiri luahan
Kebiasaannya, menteri akan hanya mendengar laporan daripada ketua dari persatuan-persatuan sukan sahaja. Beliau mengambil langkah berbeza dengan mendengar secara terus daripada para atlet. Beberapa sesi ‘townhall’ bersama ratusan atlet telah diadakan bagi mengetahui cadangan daripada para atlet berkenaan dengan perkara yang perlu diberi perhatian penuh dalam pengurusan.
3) Peningkatan bilangan sukan yang diiktiraf dari 51 jenis sukan ke 103
Bagi merancakkan serta meraikan lebih banyak bakat di negara ini. Sebanyak 103 sukan diiktiraf di bawah Perintah Pembangunan Sukan (Pindaan Jadual Pertama) 2023, berbanding 51 sukan sebelum ini. Sukan seperti e-sukan dan sukan tempur disenaraikan sebagai sukan yang diiktiraf di negara ini.
4) Mengurangkan birokrasi penganjuran sukan melalui Hari Terbuka KBS
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan untuk mengurangkan birokrasi dan mempermudah urusan, terutamanya kepada pihak penganjur dalam mengelola acara dan program sukan menerusi Hari Terbuka KBS. Melalui Hari Terbuka KBS ini, sebanyak 14 kaunter perkhidmatan dibuka terdiri daripada jabatan dan agensi di bawah KBS serta beberapa agensi kementerian lain yang terlibat dalam kelulusan penganjuran acara sukan. Menariknya, Hari Terbuka KBS ini akan diadakan pada Jumaat pertama setiap bulan. Jika dulu kelulusan dalam masa 3 bulan, kini ia lebih cepat serta diharapkan dapat merancakkan penganjuran sukan sekali gus mengembangkan ekonomi dalam sektor sukan.
5) Kelas Renang untuk kanak-kanak golongan B40
Untuk menjadikan sukan lebih terbuka, KBS telah memperkenalkan program Kemahiran Latihan Asas Sukan: Renang (KLAS Renang) bagi kanak-kanak dariapada keluarga B40. Fasa 1 telah disertai lebih 700 peserta dan sasaran seramai 5,760 peserta bagi fasa kedua. Ia kini telah diperluaskan ke 36 buah lokasi di seluruh negara. Objektif utama inisiatif ini adalah bagi mengurangkan kadar kematian akibat lemas menerusi pendedahan teknik asas berenang kepada kanak-kanak dalam kalangan keluarga B40. KLAS Renang kini telah diperluaskan kepada golongan OKU dan warga emas.
6) Memperkenalkan Jualan Sukan Rahmah
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkenalkan inisiatif Jualan Sukan Rahmah (JSR) 2023 dengan penglibatan 10 syarikat peruncitan sukan pada Oktober lalu. Jualan itu dibuat secara fizikal dan maya bersempena dengan sambutan Hari malaysia ke-60 dan Hari Sukan Negara. Diharapkan dengan jualan barangan sukan dengan harga murah dan berpatutan ini dapat meningkatkan penglibatan rakyat dalam aktiviti sukan dan rekreasi.
7) Memberi nafas baharu kepada program Rakan Muda
10 gaya hidup yang diperkenal dalam usaha memperkukuh jenama Rakan Muda yang diberi nafas baharu. Gaya hidup ini termasuklah Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Muzik, Rakan Mahir, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin. Dua Gaya Hidup yang baru diperkenalkan adalah Rakan Demokrasi dan Rakan Litar. Rakan Demokrasi diperkenalkan bersesuaian dengan keputusan kerajaan yang sebelum ini telah menurunkan hak mengundi kepada golongan belia berusia 18 tahun. Semua aktiviti dan perancangan berkaitan Rakan Muda adalah berdasarkan peruntukan sedia ada selain usaha kementerian mengadakan kerjasama dengan rakan strategik seperti foodpanda, Grab, Lazada dan Shopee.
8) Melancarkan Inisiatif 1Sukan 1Fasiliti
Demi pembangunan sukan, adalah penting semua persatuan sukan kebangsaan (PSK) mempunyai home-base atau tempat yang tetap untuk berlatih. Walaupun penyediaan tempat latihan adalah tanggungjawab PSK, inisiatif 1Sukan 1Fasiliti adalah usaha KBS untuk menyokong PSK dalam usaha mereka untuk mendapatkan tempat latihan yang tetap bagi tujuan pembangunan prestasi dan bakat sukan. Sejak bulan April 2023, KBS telah menerima dan mempertimbangkan sebanyak lapan permohonan daripada PSK yang mana telah dipadankan dengan fasiliti dan kemudahan di bawah KBS, kementerian/ agensi kerajaan dan juga pihak swasta.
9) Mewujudkan Klinik Kesihatan Wanita untuk atlet
Buat pertama kali dalam sejarah, Institut Sukan Negara (ISN) mewujudkan Klinik Kesihatan Wanita sebagai inisiatif menangani isu-isu kesihatan atlet wanita di Pusat Perubatan Sukan Negara. Penubuhan klinik ini adalah hasil maklum balas menerusi sesi townhall dikendalikan bersama atlet wanita negara pada Ogos 2023.Para atlet mengalami kesukaran untuk mendapatkan khidmat pakar doktor wanita. Antara perkhidmatan disediakan adalah khidmat perundingan dan konsultasi, pemeriksaan kesihatan wanita, rujukan luar dan sesi pendidikan kesihatan wanita.
10) Pembaharuan fasiliti Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ)
Melelui sumbangan Tunku Mahkota Johor, SNBJ telah menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia dengan perasmisan bersama TMJ dan Hannah Yeoh. Pihak SNBJ juga telah membeli kanvas untuk menutup padang dari terkena hujan yang sebelum ini tidak pernah diuruskan. Selain itu, demi memastikan SNBJ bersifat inklusif, kini sekolah boleh anjur hari sukan di Stadium Nasional Bukit Jalil secara percuma.