Walaupun ciapan biadab dan tidak sensitif daripada akaun Twitter Presiden Gerakan, Dominic Lau telah dipadam selepas dikecam netizen, ternyata nasi sudah menjadi bubur.
Dominic kemudian mendakwa akaun twitternya digodam setelah ciapan “Kalau saya tanding PRK Pulai ok tak?” muncul sekitar hanya sejam selepas jenazah Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub selamat dikebumikan.
Tangkap layar ciapan daripada akaun Dominic itu dikongsikan beberapa pengguna Twitter lantas mengundang kecaman bertalu-talu kerana dianggap tidak menghormati kematian penyandang kerusi Parlimen Pulai terbabit.
Mengecam hal itu, Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching menganggap tindakan terbabit sebagai langsung tidak sensitif dan melampau.
“Saya sedar beliau mendakwa akaunnya telah digodam. Kita tengoklah nanti jika Twitter boleh mengemukakan sebarang laporan tentang isu ini, untuk membuktikan bahawa akaun tersebut telah digodam, dan oleh siapa,” ujarnya menjawab soalan wartawan.
“Datuk Seri Salahuddin Ayub adalah seorang rakan baik. Biar apa pun perbezaan politik, kita mesti menghargai sumbangannya kepada negara,” tambahnya lagi yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital.
Menyifatkan ciapan terbabit sebagai suatu perkara yang tidak wajar, Nie Ching menegaskan bahawa meski sebuah pilihan raya kecil tidak mungkin dapat dielakkan, namun pihak-pihak berkenaan sewajarnya menghormati keluarga dan rakan-rakan Allahyarham Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu.
Ini bukan pertama kali bagi mana-mana pemimpin Perikatan Nasional mendakwa akaun Twitter mereka digodam setelah tertangkap menggunakan platform terbabit dalam keadaan mencurigakan.
Sebelum ini, Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir turut mendakwa akaunnya digodam selepas didapati menyukai banyak ciapan pornografi sejak sekurang-kurangnya tahun 2019.
Sebenarnya tidak susah untuk membuktikan sama ada akaun twitter seseorang telah digodam.
Twitter membolehkan pengguna memeriksa rekod log masuk ke akaun melalui fungsi tetapan privasi aplikasi terbabit.
Melalui pilihan ‘apps and sessions’ aplikasi terbabit, pengguna boleh melihat keseluruhan sesi aktif mereka selain melihat rakaman log masuk yang dilakukan melalui peranti lain. Setiap daripadanya juga boleh diketik untuk melihat tarikh, masa dan lokasi log masuk; termasuk peranti jenis apa yang digunakan.
Itu belum mengambil kebolehan untuk menggunakan langkah pengesahan dua langkah yang memberi lapis keselamatan tambahan bagi mengelak akaun pengguna digodam.
Maksudnya selain daripada kata laluan, pengguna akan perlu memberikan nombor pin unik yang dihasilkan oleh aplikasi lain seperti Google Authenticator, untuk mengakses akaun Twitter mereka. Tentu sekali pengguna berprofil tinggi seperti Dominic Lau mempunyai pengurus media sosial yang menetapkan prosedur operasi supaya keselamatan akaun Presiden Gerakan itu tidak dikompromi.