
Sokongan 148 ahli parlimen terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang menjadi asas kepada penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 pada sidang Dewan Rakyat semalam, membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam meneruskan agenda reformasi institusi.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sdr Nga Kor Ming memuji kepimpinan serta sikap progresif Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membuka lembaran baharu bagi memperkukuhkan lagi institusi Parlimen, selepas 33 tahun.
Sdr Nga berkata usaha ini juga merupakan satu kejayaan yang besar dalam usaha reformasi institusi negara oleh Kerajaan MADANI.
Ia yang dilaksanakan susulan pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1966 pada tahun 1992 merupakan satu langkah ke hadapan Kerajaan MADANI dalam menentukan hala tuju institusi demokrasi negara.
Terdahulu, Perdana Menteri turut berkata pindaan akta tersebut adalah bagi mengukuhkan doktrin pengasingan kuasa bagi memastikan Parlimen berfungsi sebagai badan legislatif yang benar-benar bebas, berwibawa dan berdaya saing.
Kata beliau, tanpa kawalan berlebihan oleh mana-mana pihak, keadilan dapat ditegakkan, kebebasan terus dipelihara dan kuasa tidak disalahgunakan sekali gus menjadi asas kepada sebuah negara yang telus dan berintegriti.
Dalam pada itu, Sdr Nga turut mempersoalkan peranan 57 Ahli Parlimen pembangkang PN yang tidak mengundi bagi pindaan akta itu serta 17 Ahli Parlimen yang tidak hadir ke sidang Dewan Rakyat hari ini, dalam menjaga kepentingan rakyat serta mengekalkan keseimbangan dalam sistem pentadbiran negara.
“Seluruh Ahli Parlimen seharusnya bersikap bertanggungjawab dalam menyumbang serta memastikan sistem pentadbiran negara setiasa diperkukuhkan dari semasa ke semasa demi kebaikan rakyat dan negara,” kata beliau.
Dewan Rakyat pada Selasa (4 Mac 2025) telah meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025.